Sunday, March 14, 2010

:: Skim baru pensyarah IPTA & IPG tahun 2010 ?

13 Mac, 2010 19:13 PM

KSN Bincang Skim Baru Profesor Minggu Depan

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Skim baru perkhidmatan pensyarah di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut perguruan dijangka dapat dilaksanakan pada tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Katanya beliau akan mengadakan perbincangan mengenai modeliti bagaimana untuk melaksanakan skim menaikkan gred perkhidmatan profesor di IPTA dengan kesemua Naib Canselor IPTA minggu depan.

Perbincangan itu akan turut dihadiri oleh ahli akademik kanan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Zulkefli A.Hassan, katanya kepada pemberita di Kelab Golf Perkhidmatan Awam di sini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-11 (Mappa XI) Selasa lalu bahawa kerajaan akan mengkaji skim perkhidmatan itu bagi membolehkan profesor dinaikkan pangkat hingga tahap Turus berbanding Gred Khas A pada masa ini tanpa perlu memegang jawatan pentadbiran.

Sebelum itu, Mohd Sidek, yang juga pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) telah menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Golf Persahabatan Pemudah bersama Media 2010.

Mohd Sidek berkata tindakan segera yang diambil oleh pihaknya dalam melaksanakan skim perkhidmatan baru itu adalah selaras dengan prinsip Perdana Menteri yang mahu tindakan dilakukan dengan cepat.

-- BERNAMA