Sunday, November 11, 2007

:: Pandangan PM

Terkini


Pembangkang heret raja-raja ke kancah politik - PM


PENAMPANG 11 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan pembangkang menyerahkan memorandum berhubung dengan beberapa tuntutan mengenai proses pilihan raya di Malaysia kepada Istana Negara sebagai cubaan mengheret institusi raja terutama Yang di-Pertuan Agong ke dalam kancah politik.
“Bagaimanapun, saya percaya Yang di-Pertuan Agong lebih matang dan tidak terperangkap dengan taktik politik mereka (parti pembangkang),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konges ke-22 Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan di Hongkod Koisaan KDCA, di sini hari ini.


Ketika diminta mengulas sama ada tindakan pemimpin pembangkang itu adalah cubaan mengheret institusi raja ke dalam politik, Abdullah berkata:
“Tentu sekalilah. Apabila mereka bertindak begitu, mereka cuba mengheret raja dan Yang di-Pertuan Agong atau memerangkap (Yang di-Pertuan) Agong dalam politik mereka.”
Semalam, seramai 10 wakil termasuk Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang; Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim'; Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyerahkan memorandum itu kepada Istana Negara.


Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak berada di Istana Negara kerana telah berangkat ke Terengganu pada Jumaat untuk merasmikan serta mengambil bahagian dalam Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu 2007 di Setiu.


Mengenai perhimpunan haram yang dianjurkan oleh 26 badan bukan kerajaan (NGO) dan disertai parti-parti pembangkang di sekitar perkarangan Dataran Merdeka sehingga ke Masjid Jamek semalam, Abdullah berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada polis.
“Polis menangani perkara itu dengan baik dan saya amat gembira. Kita tidak suka perkara seperti ini berlaku. Ia memang satu bebanan kepada polis.
“Bila polis mengawal maka berlakulah sekatan jalan dan sebagainya yang menyusahkan rakyat.
“Pihak polis telah menjalankan tugas dan tanggungjawab (yang diamanahkan). Perhimpunan atau demonstrasi jalanan ini tidak menyenangkan rakyat... banyak orang marah,” katanya.
- Bernama