Tuesday, January 16, 2007

:: Berita Harian: 15.01.2007

Banjir di Johor makin teruk
Lebih 100,000 dipindahkan di semua lapan daerah hingga malam tadi






LUMPUH: Keadaan jambatan yang merentangi Sungai Johor ditenggelami air yang memutuskan hubungan Kota Tinggi dengan Johor Bahru dan Mersing, semalam.


JOHOR BAHRU: Lebih 100,000 orang dipindahkan di semua lapan daerah sehingga malam tadi dalam banjir kali kedua di Johor – angka tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah bencana itu di negara ini.

Hujan lebat tidak berhenti di seluruh negeri yang dijangka berterusan sehingga Rabu ini menjadikan bencana itu semakin teruk dan lebih buruk berbanding banjir pertama melanda Johor 19 Disember lalu dengan 80,000 orang dipindahkan.


Sehingga jam 8 malam semalam, 101,680 penduduk dipindahkan akibat banjir yang bermula empat hari lalu. Sejumlah 30 jalan utama di seluruh negeri tidak boleh dilalui semua kenderaan, manakala Kota Tinggi, Tenggara, Mersing dan Segamat hanya boleh dihubungkan menggunakan helikopter.

Daerah Kota Tinggi paling teruk terjejas apabila seluruh kawasannya ditenggelami air akibat menerima jumlah hujan luar biasa sepanjang empat hari lalu iaitu lebih 600 milimeter (mm), berbanding purata tidak sampai 100 mm sehari biasanya.





DEMI KESELAMATAN: Mangsa banjir dibawa dengan bot melalui kawasan pekan Kota Tinggi ke tempat lebih selamat.

Hujan lebat menyebabkan paras kandungan air dalam tanah mencapai tahap tepu dan tidak lagi mampu menyerap air, manakala paras semua tasik, sungai, parit dan empangan terus meningkat sekali gus memberi isyarat keadaan boleh bertambah buruk.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata air Empangan Bekok di Batu Pahat dan Empangan Sembrong, Kluang terpaksa dilepaskan mulai semalam selepas ia mencecah tahap berbahaya serta mengancam keselamatan penduduk berhampiran.

“Kita terpaksa lepaskan empangan itu bagi mengurangkan tekanan apabila paras air semakin naik sehingga melepasi tahap bahaya,” katanya selepas taklimat Jawatankuasa Bencana Daerah di Hotel Katerina, Batu Pahat, semalam.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia pula memberi amaran banjir di Johor mungkin bertambah buruk kerana hujan lebat tanpa henti dijangka berlaku sekurang-kurangnya tiga hari lagi.

Sehubungan itu, katanya, amaran hujan tertinggi iaitu peringkat merah sudah dikeluarkan dan ia kekal sehingga hari ini khususnya di seluruh Johor serta selatan dan timur Pahang.

Jabatan itu turut mengeluarkan nasihat hujan lebat peringkat kuning bagi Terengganu Selatan, Selangor, Kuala Lumpur dan Perak Selatan mulai hari ini dan dijadual berlarutan sehingga Rabu.



DIRAI: Rita Paikuni bersama Zulham Jonit menaiki bot ke majlis persandingan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Parit Bingan, Batu Pahat.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, berkata Batu Pahat mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir yang dipindahkan iaitu seramai 34,462 daripada 7,683 keluarga yang ditempatkan di 118 pusat pemindahan.

“Sebanyak 22,656 keluarga dipindahkan di seluruh Johor dan kini ditempatkan di 331 pusat pemindahan,” katanya.

Di Johor Bahru, 17,796 mangsa banjir daripada 3,749 keluarga ditempatkan di 25 pusat pemindahan diikuti Kluang (16,207 orang, 3,797 keluarga, 56 pusat) dan Kota Tinggi (12,589 orang, 2,694 keluarga, 35 pusat).

Mersing (6,729 orang, 1,399 keluarga, 18 pusat); Muar (5,604 orang, 1,364 keluarga 21 pusat); Segamat (4,689 orang, 1,167 keluarga, 26 pusat) dan Pontian (3,312 orang, 803 keluarga, 32 pusat).

Selain itu, lebih 20,000 penduduk di seluruh negeri ini kini terpaksa bergelap selepas bekalan elektrik terputus apabila sejumlah 153 pencawang elektrik ditenggelami air.

Malah, antara jam 8 hingga 11.30 pagi semalam, seluruh daerah Kota Tinggi terputus bekalan apabila pencawang elektrik yang membawa talian 132 kiloVolt (kv) hampir tumbang dihanyutkan arus.



Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mohammad Mokhtar Mohd Ali, berkata bekalan elektrik di daerah berkenaan dipulihkan selepas talian itu dialihkan ke menara sementara.

“Bagaimanapun, kira-kira 30 peratus daerah Kota Tinggi, khususnya di bandar masih tidak mempunyai bekalan kerana 71 pencawang elektrik kami ditenggelami air,” katanya.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Syarikat Air Johor (SAJ) Sdn Bhd, Jamaluddin Jamil, berkata secara keseluruhannya bekalan air bersih di seluruh negeri masih berada dalam keadaan stabil.

“Bagaimanapun, dua loji air iaitu di Sungai Johor dan Yong Peng ditutup selepas dinaiki air. Loji Sungai Johor membekalkan air kepada sebahagian besar penduduk Johor Bahru dan mereka dinasihatkan menyimpan air,” katanya.

Ketika banjir di Johor semakin buruk, hujan berterusan di beberapa kawasan di Pahang dan Sabah turut menyebabkan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada masing-masing 1,764 orang dan 3,616 orang.

Jumlah mangsa banjir di daerah Rompin yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara mencecah 1,764 orang daripada 325 keluarga membabitkan kira-kira 10 kampung sehingga jam 5 petang semalam.

Antara kawasan terbabit ialah Kampung Kurnia, Kampung Perpat, Kampung Rekoh, Ladang Yayasan, Kampung Bukit Seruk, Batu 8 dan Kampung Garung dengan semua jalan utama ke sana ditutup kepada semua jenis kenderaan.

Di Sabah, 3,616 penduduk daripada 698 keluarga di lima daerah masih berada di pusat pemindahan banjir selepas 135 kampung mereka dinaiki air akibat hujan yang berterusan.

Daripada jumlah itu, 695 mangsa masih berada di pusat pemindahan di daerah Beaufort membabitkan 39 kampung, Pitas (602 orang, 42 kampung); Kota Marudu (491 orang, 30 kampung); Tenom (222 orang, 20 kampung) dan Beluran (168, empat kampung).

Kerajaan negeri menyediakan sebuah helikopter bagi kawasan Kota Marudu dan Pitas, untuk mengangkut bantuan ke kampung terpencil yang dilanda banjir sehingga jalan terputus.