Thursday, January 28, 2010

:: Sekolah Berprestasi Tinggi... Sabah dan Sarawak tercicir?

Sekolah S’wak kurang cemerlang?

by Mohd Norhadie Sahari
Kekurangan guru bertauliah punca tidak terpilih, STU kecewa tiada sekolah dari S’wak dalam 20 SBT

MIRI: Kekurangan guru yang bertauliah serta kelemahan kemudahan serta prasarana di Sabah dan Sarawak merupakan antara sebab utama mengapa tiada sekolah dari kedua-dua negeri ini terpilih dalam senarai 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Presiden Kesatuan Guru-Guru Sarawak (STU), William Ghani Bina melahirkan kekecewaan apabila tiada salah satupun sekolah menengah dan rendah yang cemerlang dari Sarawak, turut tersenarai dalam SBT.

“Ini membuktikan bahawa sekolah-sekolah di negeri ini masih belum mencapai tahap cemerlang dan masih ketinggalan berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia,” katanya ketika dihubungi semalam.

William memberitahu, salah satu sebab utama sekolah-sekolah di Sarawak masih belum mencapai tahap cemerlang adalah kerana kekurangan guru-guru bertauliah mengajar di bandar dan luar bandar negeri ini.

“Ini bukan bermaksud guru-guru yang ada sekarang tidak berkualiti namun kita memerlukan guru-guru yang benar-benar bertauliah untuk mengajar pelajar-pelajar yang berpotensi untuk cemerlang,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat perbezaan sistem pembelajaran di bandar dan luar bandar, beliau menyifatkan pengalaman serta kemahiran seseorang guru amat penting dalam menyampaikan ilmu.

“Apa yang penting, seorang guru harus komited dan memberikan komitmen yang tinggi dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar dan jangan hanya menunggu habuan daripada kerajaan,” katanya.

William seterusnya memaklumkan bahawa guru-guru dari Semenanjung Malaysia yang enggan mengajar di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak juga perlu dikenakan tindakan segera.

“Dalam surat akujanji, mereka sudah menunjukkan taat setia dan bersedia untuk mengajar di mana-mana sahaja di negara ini, maka tiada sebab mereka tidak mahu mengajar di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, kekangan kemudahan yang belum setara di sekolah luar bandar turut menyebabkan guru-guru dari Semenanjung Malaysia menolak untuk mengajar di Sabah dan Sarawak.

“Jika perlu, kemudahan yang disediakan di sekolah bandar perlulah dipanjangkan ke sekolah-sekolah di luar bandar supaya pelajarnya lebih selesa ketika belajar sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan sekolah,” tambah beliau lagi.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan 20 sekolah SBT yang terdiri daripada 14 buah sekolah menengah dan enam buah sekolah rendah di seluruh negara.

Beliau berkata, sekolah tersebut dipilih daripada kalangan sekolah-sekolah yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan bidang kebitaraan.

Menurutnya, SBT bukanlah sekolah elit yang akan memberi manfaat kepada ha-nya sebilangan kecil pelajar, sebaliknya setiap sekolah di negara ini mempunyai peluang yang sama dan boleh bersaing untuk diiktiraf dalam senarai SBT.