Friday, January 29, 2010

:: Program Transformasi Kerajaan (PTK / GTP)

28 Januari, 2010 12:53 PM

Pencapaian Pendidikan Dipertingkat Menjelang 2012

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Berikut ialah intipati pelan hala tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk memperbaiki pencapaian pendidikan:

* meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah daripada 67 peratus kepada 72 peratus tahun ini dengan membabitkan kanak-kanak seawal umur empat dan lima tahun.

* meningkatkan kadar literasi daripada 87 peratus kepada 90 peratus serta meningkatkan kadar numerasi daripada 76 peratus kepada 90 peratus bagi pelajar Tahun 1, tahun ini menerusi program Literasi dan Numerasi (LINUS).

* mensasarkan sebanyak 20 buah sekolah menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada tahun ini.

* mensasarkan sebanyak dua peratus Pengetua dan Guru Besar yang melepasi sasaran layak untuk menerima ganjaran berdasarkan penilaian berasaskan prestasi dan mengkurangkan 10 peratus Pengetua dan Guru Besar yang tidak mencapai sasaran kelayakan berkenaan.

Kecemerlangan pencapaian pelajar adalah sangat penting dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang kompetitif, seiring dengan wawasan negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Menyedari kepentingan pendidikan awal adalah penting bagi kanak-kanak berumur empat dan lima tahun, Kementerian Pelajaran telah mengenal pasti pendidikan prasekolah sebagai salah satu fokus di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan.

Bagi meningkatkan kadar penyertaan dan kualiti pendidikan prasekolah, satu Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan serta Bahagian Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Prasekolah ditubuhkan untuk mentadbir semua penyedia prasekolah.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, berperanan mengkaji semula dasar pendidikan prasekolah kerajaan dan prasekolah swasta yang berdaftar termasuk kurikulum, kriteria kelayakan, latihan dan penilaian, menyelaras semua prasekolah (kerajaan dan swasta) serta memantau dan menilai pendidikan prasekolah bagi menggubal dasar prasekolah pada masa depan.

Kementerian Pelajaran juga melaksanakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bermula tahun ini yang memberi penekanan dalam aspek prinsip pendidikan yang holistik, proses pengajaran dan pembelajaran yang mengambil kira latar belakang pelajar, mentakrifkan penggunaan bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin sebagai bahasa instruksional serta melibatkan aktiviti menggalakkan pemahaman budaya pelbagai bangsa.

Kerajaan juga meningkatkan kualiti guru dan pembantu guru prasekolah menerusi program peningkatan kemahiran kepada 30,000 guru dan pembantu guru prasekolah sedia ada dan baru dalam tempoh tiga tahun selain menetapkan kriteria kelayakan minimum semua guru prasekolah ialah Ijazah Sarjana Muda.

Dalam mengembangkan pendidikan prasekolah, kerajaan juga menyeragamkan bantuan kepada murid prasekolah kerajaan termasuk pemberian geran per kapita kepada prasekolah kementerian Pelajaran, KEMAS dan JPIN, menambah bilangan kelas prasekolah khususnya bagi kanak-kanak berumur empat tahun dengan anggaran 10,000 kelas.

Bagi memenuhi sasaran itu, kerajaan meningkatkan kerjasama dengan pihak swasta dengan memperkenalkan insentif baru kepada pengusaha prasekolah swasta khususnya di kawasan miskin bandar dan luar bandar, di samping mematuhi standard kebangsaan.

Bagi memastikan kadar keciciran pelajar menurun, kerajaan memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran literasi dan numerasi yang mampu mengupayakan anak-anak supaya lebih produktif dan lebih berkeyakinan untuk menyertai aktiviti komuniti setempat dan masyarakat keseluruhan.

Proses saringan akan dilakukan terhadap pelajar tiga kali setahun iaitu pada bulan Mac, Jun dan September setiap tahun sehingga Tahun 3 bagi mengenal pasti pelajar sama ada perlu mengikuti program Literasi dan Numerasi (LINUS) serta membangunkan modul literasi dan numerasi yang baru di mana konsep mudah difahami akan diajar lebih awal dan penekanan ditumpukan kepada aplikasi konsep yang dipelajari.

Menyedari kekurangan guru dalam pengajaran literasi dan numerasi asas, seramai 17,000 guru telah mengikuti latihan intensif bermula November tahun lepas hingga Februari ini supaya mereka boleh menyampaikan modul pembelajaran dengan berkesan.

Selain itu, kerajaan juga memantau dan menyelia kira-kira 10 peratus sekolah yang tercorot, membina komitmen di kalangan pihak yang berkepentingan melalui program kesedaran dan aktiviti-aktiviti dan melantik fasilitator-fasilitator bagi membantu guru-guru literasi dan numerasi di sekolah-sekolah.

Dalam pada itu, Kementerian Pelajaran telah mengumumkan 20 buah SBT terdiri daripada 10 sekolah berasrama penuh, empat sekolah menengah harian, enam sekolah rendah seluruh negara, pada Isnin lepas.

SBT mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa dan menjadi sekolah pilihan masyarakat.

SBT akan menempatkan pelajar-pelajar cemerlang yang mampu menyaingi tahap pencapaian antarabangsa, melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan terkemuka dan berjaya menjadi pemimpin dalam bidang profesion masing-masing, di samping mewujudkan rangkaian 'mentoring and coaching' antara sekolah.

Kualiti SBT akan dilonjakkan dengan memberi autonomi dan akauntabiliti dalam pengurusan dan pencapaian murid.

Pengetua dan Guru Besar memainkan peranan penting dalam merancang, menyelaras dan memantau pengajaran dan pembelajaran di sekolah di samping memastikan suasana pembelajaran yang kondusif dengan mengurangkan tekanan dan gangguan luaran, serta mewujudkan persekitaran teratur di dalam dan di luar bilik darjah.

Berdasarkan pencapaian sekolah pada dua tahun sebelumnya, dianggarkan dua peratus Pengetua dan Guru Besar layak menerima ganjaran berdasarkan penilaian berasaskan pencapaian tertakluk kepada kriteria seperti Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) melebihi 90 peratus, Laporan Audit Kewangan tanpa teguran, bebas daripada tindakan disiplin dan mencapai sasaran literasi dan numerasi bagi sekolah rendah.

Mereka yang layak, disediakan ganjaran kewangan dan bukan kewangan misalnya program pertindikan, kenaikan pangkat serta sijil pengiktirafan manakala bagi mereka yang tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, akan diberikan latihan serta bimbingan.

Bagaimanapun, sekiranya latihan dan bimbingan tidak efektif, Pengetua dan Guru Besar terbabit mungkin menghadapi risiko dipindahkan ke sekolah lain atau dinasihatkan bersara pilihan.

-- BERNAMA