Saturday, January 09, 2010

:: Isu nama Allah: Pandangan Hasmi Hashim

Allah dan Kartun Hina Nabi

Jan 6th, 2010 | By Admin | Category: Hasmi Hashim, Penulis Tamu, Rencana

Oleh HASMI HASHIM

…Bagaimana politik-Islam sudah [dibawa] masuk ke dalam kotak mancis dan boleh terbakar sesama sendiri.”

~ Temubual Ummahonline [Terbit: 20 Mac 2006].


Bangkitnya isu “nama Allah”, teringat saya isu “kartun hina Nabi”, hampir 4 tahun lalu. Bagi saya, isu nama Allah ini tidaklah serumit isu kartun yang merebak baik di Eropah, Amerika dan khususnya negara-negara majoriti umat Islam. Bangunan dan harta benda dirosakkan, dibakar.

Kartun hina Nabi itu diterbitkan sebuah akhbar di Denmark beraliran ekstrem kanan, Jyllands-Posten.

Slogan yang mengerikan pun segera berkumandang. Jiwa umat dibakar tanpa belas; bukan hanya oleh pihak Jyllands-Posten, tetapi oleh pemimpin Islam sendiri.

Api emosi mula merebak ke Malaysia. Demontrasi pun direncana, dianjur. Termasuk oleh Dewan Pemuda Pas di Mesjid Negara; disertai oleh segelintir pimpinan AMK Pusat.

Dalam masa sama, sebuah akhbar di Sawarak, Sarawak Tribune yang menerbitkan kembali kartun berkenaan, juga didesak agar ditutup. Desakan itu datang bukan sahaja daripada Pemuda Umno, tetapi juga Pemuda Pas

Rumusan saya, andai kita meminta kerajaan tutup Sarawak Tribune, kita sebenarnya telah memberi ruang agar suatu hari kelak kerajaan mencari alasan untuk menutup Harakah, mahupun Suara Keadilan, misalnya.

Ia ke arah membungkam kebebasan bersuara keseluruhannya. Kalangan teman pimpinan yang bertindak sebelum berfikir, terdiam bila dihadapkan hujah sebegini.

Apa yang tak terlihat ialah prinsip “Negara Hukum” itu sendiri. Mengambil tindakan terhadap editor yang terlibat (itupun selepas melalui proses perundangan), dan bukannya menutup terus keseluruhan akhbar berkenaan dengan jumlah ratusan pekerjanya akan terjejas.

Dalam kekalutan itulah, saya memberanikan diri mengutara pandangan ‘berbeza’, apabila ditemubual oleh portal Ummahonline, yang terbit dengan judul, “Nabi Yang Perlu Bela Saya Kelak”.

Pandangan yang dilihat ‘asing’ itu bukan bererti saya tidak kasehkan Baginda Nabi Muhammad SAW. Kerana kasehkan Nabi-lah, maka saya terpaksa mengambil risiko keluar daripada sentimen popular demi mengkristalkan pandangan politik Muslim.

Untuk mengelakkan salah faham, sebuah NGO generasi muda, Open Dialogue Centre (ODC) menjemput saya bercakap mengenai isu berkenaan yang dirancang bersama Ketua Pemuda Pas, Sallehuddin Ayub dan Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Hussein.

Surat jemputan dihantar.

Seperti yang terduga, mereka tak hadir. Diganti oleh wakil masing-masing daripada Umno dan Pas. Saya ‘ditengah-tengah’. Debat malam itu berakhir dengan baik tetapi beberapa ketika kemudian, segelintir yang gagal berhujah dengan kebenaran, mula menuduh saya dan teman-teman sebagai “Islam liberal”. Ahhh, menjengkelkan!

Saya sayang Pas, sama seperti saya sayangkan Keadilan. Saya tidak runsing kalau Umno mahu masuk gaung assabiyah. Tetapi tak sanggup saya biarkan, khususnya AMK dan Pemuda Pas tersalah pandang dan mengambil jalan binasa.

Bersyukur apabila keputusan saya bersuara, bukanlah keputusan yang salah dan sedikit sebanyak dapat meredakan api sentimen yang sia-sia. Umno, sang hipokrit yang agung itu pun tak pergi setara kononnya untuk membela Nabi.

Beberapa hari ini, mereka cuba membakar lagi sentimen umat atas isu nama Allah ~ dalam masa sama hendak ditutup kenyataan hidup rakyat yang semakin merempat. Kita mahu tahu, apakah nas, dalil dan ayat Quran yang akan dipetik PM Najib Razak untuk dibentangkan kehadapan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, bagi kononnya menyelesaikan isu ini.

Umno dan Najib mungkin tak sedar, dia sudah tak mampu lagi memerangkap Pas. Bezanya Pas dalam isu nama Allah berbanding perangkap Umno sebelum ini apabila Pas mengeluarkan kenyataan jelas bahawa penggunaan nama Allah oleh penganut Kristian tidak bertentangan dengan Islam.

Ketegasan Pas (walaupun ada sedikit percanggahan dengan satu-dua pemimpinnya pada peringkat awal) menunjukan parti itu sanggup meletakkan kebenaran lebih tinggi daripada kepentingan politik-kekuasaan. Kalau Umno, seperti Ketua Pemudanya mahu menuduh Pas mengorbankan kepentingan Islam, jelas nyata beliaulah nanti yang akan dilihat sebagai jahil terhadap agama sendiri.

Sekurang-kurangnya kenyataan ’selamat’ Pemuda Umno akan terlihat bahawa parti itu sanggup membuat pertimbangan politik walaupun di atas isu yang sebegini mustahak; selain masih tetap mahu memperbodoh umat.

Ada juga hujah kononnya tak menjadi amalan Melayu-Islam untuk mengizinkan penganut agama lain menggunakan nama Allah; dan kenyataan awal terbit daripada misalnya mulut mantan perdana menteri, Dr Mahathir Mohammad selain daripada Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkiflee Nordin.

Orang yang berkata sebegini adalah orang yang terkeliru, mungkin buta sejarah kalaupun bukan pendusta.

Kita lihat di dalam karangan Munshi Abdullah (1796–1854), iaitu “Hikayat Munshi Abdullah”, bukan sahaja nama Allah, tetapi Munshi (orang bijak dan alim) itu jualah yang telah membantu dua orang paderi yang menjadi muridnya menterjemah al-Kitab daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu.

Tidak sepertimana Dr Mahathir, Munshi mengakui dia berdarah “keling” (seperti katakannya sendiri) namun diterima sebagai antara cendiakawan Melayu terawal yang membawa perubahan pemikiran kemodenan. Munshi hidup ditengah-tengah nilai kosmopolitanisme yang baru tumbuh di Melaka dan Singapura.

Dalam kekelang-kabutan ini, saya lebih berminat menunggu dan mahu mendengar pandangan tegas dan jelas daripada kaum muda; kalangan YB-YB muda dan termasuk juga pimpinan orang politik muda yang riuh rendahnya bukan kepalang terutama apabila ada pertandingan dalam parti.

Aduhai, terasa begitu sunyi. Betapa kita faham, bukan hanya cara politik selamat berkali-kali dipilih, tetapi juga politik kebudak-budakan.

Apapun, dengan membenarkan penganut agama lain (dalam kes terbaru bagi majalah The Herald) menggunakan nama Allah, maka umat Islam (khususnya Melayu Malaysia) bukan sahaja telah berjiwa besar, tetapi memahami dan melaksanakan tuntutan Islam itu sendiri.

Dengan lafaz Bismillahir-rohman-nir-rahim, maksud Quran yang menyeru jihad (berperang) dari Surah al-Hajj ayat 39-40 dipetik sebagai penutup bicara:

“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).

Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana berkata: “Tuhan Kami adalah Allah.” Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya; dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Berkuasa;–”

Benarlah segala firman dan janji Allah, amin.