Friday, January 15, 2010

:: Makanan sekolah berasrama.. balik asal ?

Peruntukan makanan sekolah asrama 240 hari

PULAU BANGGI (Kudat): Kementerian Pelajaran akan menambah semula peruntukan makanan bagi sekolah berasrama kepada 240 hari setahun dalam tempoh terdekat selepas mengambil kira kesukaran ibu bapa menyediakan perbelanjaan tambahan anak mereka pulang ke rumah setiap minggu berikutan asrama tidak menyediakan makanan setiap Sabtu dan Ahad.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kementerian turut mengambil kira pelajar daripada keluarga miskin yang tidak mampu membayar tambang pergi dan balik ke rumah setiap minggu atau menyediakan duit tambahan membeli makanan.

Beliau berkata, aspek keselamatan pelajar yang terpaksa pulang setiap hujung minggu turut diberi pertimbangan kerana mereka biasanya bersendirian, termasuk ke kawasan pedalaman.

"Sehubungan itu, kementerian akan menambah semula peruntukan makanan bagi sekolah berasrama kepada 240 hari berbanding 200 hari setahun yang ditetapkan sebelum ini.

"Pada masa sama, kementerian akan meneruskan peruntukan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk membantu murid dalam kelompok Ketua Isirumah Miskin Tegar (KIRMT)," katanya di Jeti Karakit di sini, semalam.

Terdahulu, Mohd Puad melawat tiga sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di Pulau Banggi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Karakit, SK Batu Layar, SK Look Tohok dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi.

Tiga lagi sekolah di daerah pedalaman di utara Sabah turut dilawati beliau iaitu SMK Kanibongan dan SK Kanibongan, Pitas yang bekongsi bangunan dan SMK Tandek, Kota Marudu.

Mengikut Pekeliling Kementerian Pelajaran tahun lalu, berlaku pengurangan peruntukan makanan daripada 250 hari kepada 200 hari bagi sekolah berasrama dan 250 hari bagi sekolah pendidikan khas berasrama berbanding 270 hari sebelumnya.

Peraturan itu turut merangkumi ibu bapa atau penjaga berpendapatan RM5,000 ke atas yang perlu membayar RM3 sehari, manakala berpendapatan bawah RM4,999 pula RM1 sehari.

Arahan itu membabitkan asrama di sekolah harian, sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah teknik dan vokasional, sekolah sukan dan seni.