Allah S.W.T, Tuhan Sekelian Alam
Sahabat Facebook saya, Noor Eqbal menganggap fenomena ini sebagai “pengalaman istimewa” dan “ini merupakan fasa penting yang perlu kita lalui bersama dalam pembentukan kematangan berfikir dan bermasyarakat”.
Terlepas apa juga pendirian beliau, isu ini nampak belum reda.
Jujurnya, saya menulis tentang isu ini buat kali kedua selepas seorang rakan non-muslim mengadu pengenalan-nya dengan Islam luluh-lantak tatkala menemukan sebahagian hujah muslim yang dilihatnya ekstrim atas slogan “membela nama Allah s.w.t”.
Tidak cukup dengan hujah Al-Quran dan tokoh muslim yang pro dan kontra, umat sampai mencari hujah paderi untuk menjustifikasikan boleh atau tidak boleh guna nama Allah s.w.t.. Juga tidak dilupa, hujah yang sering dipakai ‘masyarakat liberal’ iaitu ‘kontekstual’ kini dipakai oleh mereka yang mempertahankan penghalangan guna nama Allah s.w.t dengan hujah waqi’.
Saya mungkin antara paling banyak mendebatkan isu ini dan menyebelahi kelompok yang membenarkan guna kata nama Allah s.w.t. ini.
Memang agak memeranjatkan apabila sampai ada yang celupar mengkafirkan pihak bersebarangan dengan mereka walhal perbezaan pandangan yang ada jelas menunjukkan tiada dalil qat’i. Apatah lagi bila ayat-ayat muhkamat (jelas) – dan itulah isi pokok dalam Al-Quran, bukan mutasyabihat (terlindung) boleh dirujuk, serta tiada pertikaian persoalan nasakh-mansukh di sana.
Maka, ke mana dalil “asal segala sesuatu adalah harus selagi tidak ada dalil qat’i mengharamkan atau mewajibkannya”? Bukankah mengharamkan sesuatu yang halal adalah satu cabang syirik? Oh, saya tidak bermaksud menghukum. Sungguh saya melihat ini sebagai convivencia.
Sebuah keyakinan tentu saja tidak semudah itu digantikan dengan sebuah keyakinan yang lain. Itu pendirian saya dalam persoalan aqidah.
Ketika ada muslim berhujah tentang Kristianisasi, saya berpandangan bahawa penyebaran agama adalah satu lumrah. Apatah lagi bila agama tersebut disandar kepada Rasul Ulul-Azmi. Dalam kata lain, ada atau tidak Islam, ada atau tidak isu nama Allah s.w.t., penyebaran faham agama Kristian akan terus berlaku.
Saya percaya kita umat Islam tentu tidak senang jika ada di mana-mana belahan muka bumi ini ada yang mendakwa penggunaan nama Allah s.w.t. adalah hak mereka bersandarkan “kami negara Kristian” atau “agama kami guna dulu kata nama Allah s.w.t.”.
Ada yang melabelkan saya sebagai orang yang membenarkan kebatilan pada makna kalimah syahadah ini kerana ia telah disucikan Nabi s.a.w..
Soal saya – tatkala saya membenarkan mereka menggunakan nama ini, saya kekal mengaku Muslim dengan mempercayai Allah s.w.t. yang Maha Esa. Dan ketika Nabi Muhammad s.a.w. mengatakan “siapa yang menyakiti bukan Islam seperti mereka menyakiti aku”, adakah mereka mahu mengatakan ia satu pembenaran kepada kebatilan?
Dan sekali lagi, tentu saja kita, umat Islam tidak berhajat mendengar orang bukan Islam mengatakan faham Allah s.w.t. sebagai batil. Justeru, berimanlah dengan perintah Allah s.w.t. agar kita “tidak memaki Tuhan/sembahan mereka yang lain”.
Juga aneh, mereka menonjolkan pandangan Paderi yang juga ralat untuk memakai nama Allah s.w.t.. Tidak-kah mereka sedar bahawa hujah ralat Paderi ini sama dengan hujah mereka – bahawa nanti umat Kristian berpotensi masuk Islam? Dan isu kita di Malaysia ialah mereka mahu guna, berbeza dengan mereka yang tidak mahu guna.
Saya menemukan perintah kepada umat Islam untuk mengajak mereka yang bukan Islam kepada “kalimatun sawa’” (kalimah yang sama) dengan menegaskan bahawa pandang sarwa kami ialah: Allah s.w.t. itu Esa. Saya juga menemukan jawapan langsung daripada sumber Al-Quran bahawa ada yang tidak setuju atau berpaling; dan ketika itu Allah s.w.t. mengatakan “Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)”.
Bahkan, dalam surat-surat Nabi s.a.w. kepada ramai pembesar, Baginda s.a.w. memulakan dengan menyebut nama Allah s.w.t., terlepas apa juga faham si pembaca surat. Itu belum penjelasan Allah s.w.t. bahawa nama-Nya disebut “….biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah” di mana dalam ayat ini diizinkan berperang bagi mereka yang diusir dari kampung halaman tanpa alasan benar dan Allah s.w.t. mengatakan mereka ini golongan teraniaya.
Sebagaimana telah saya tulis sebelumnya dan pendirian yang dinyatakan kepada teman-teman; kebimbangan yang ada pada mereka itu baik, tetapi bagaimana anda menterjemahkan kebimbangan tersebut sudah jadi satu isu lain.
Lebih cermat, jika kita memerhatikan kalimah syahadah yang bermaksud: “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah s.w.t.”. Kata aku itu jelas menunjukkan ia adalah wilayah peribadi – keyakinan individu.
Dan jangan kita lupa bahawa ia bukan tuntutan tunggal Allah s.w.t. terhadap kita. Islam datang dengan ajakan manusia kepada self-sufficient di mana dosa tiap dari kita tidak ditanggung oleh individu yang lain. Justeru, tanggungjawab untuk beriman secara benar jatuh kepada tanggungjawab individu. Pada masa yang sama, kita juga diperintahkan untuk terus berdakwah. Dengan kata yang lain menyentuh isu ini, penerangan dan penegasan persoalan iman yang kita yakini itu memadai berbanding menggubal hukum larang-guna atau “hanya kami berhak guna”.
Pernah-kah kita terfikir bahawa saat ada sebahagian kita yang mengaku muslim ini melakukan “rasuah, salah guna kuasa, kezaliman dan perkauman”, dan pada masa yang sama beria mengaku beriman kepada Allah s.w.t. sambil minta dipertahankan mereka, ia telah memberi konsepsi salah tentang konsep iman kita kepada mereka yang tidak kita kenalkan Islam.
Maka pertentangan isu nama Allah s.w.t. ini untuk saya bukan sekadar literal atau konsepsi Allah s.w.t., bahkan ia boleh mengajak umat manusia bukan saja berbalah, tetapi menjernihkan semula fikiran kita terhadap kaedah berfikir dan bekerja kita dalam menegakkan apa yang kita percaya sebagai “berjuang di jalan Allah s.w.t.”.
Kegelisahan umat seharusnya ditangani dengan cara yang lebih hemah.
Saya hanya mahu menamatkan tulisan ini dengan petikan ayat Al-Quran, surah Al-Imran ayat ke-20:
Kemudian jika mereka mendebat kamu (tentang kebenaran Islam), maka katakanlah: `Aku menyerahkan diriku kepada Allah dan (demikian pula) orang-orang yang mengikutiku`. Dan katakanlah kepada orang-orang yang telah diberi Al Kitab dan kepada orang-orang yang ummi : `Apakah kamu (mau) masuk Islam`. Jika mereka masuk Islam, sesungguhnya mereka telah mendapat petunjuk, dan jika mereka berpaling, maka kewajiban kamu hanyalah menyampaikan (ayat-ayat Allah). Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.
dan hadiq qudsi:
”Aku di sisi (sebagaimana) sangkaan hambaKu denganKu, sekiranya dia (hambaKu) bersangka baik, maka baginya (natijah baik), dan sekiranya dia bersangka buruk, maka baginya juga (natijah buruk)”.
Amin Ahmad, mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan pernah memegang beberapa jawatan lain di peringkat Kolej, Fakulti Pengajian dan Universiti. Pernah mewakili delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Alumni Kepimpinan Muda Nahdah Asia, sebuah projek kerjasama Institut Kajian Dasar dan Yayasan Aman Sasakawa (SPF) dan alumni Cato University.