Tuesday, July 22, 2008

:: Ulam dan kesannya

Rencana
21 Julai, 2008 14:29 PM

Terlebih Makan Ulam Boleh Memudaratkan Jantung?
Oleh Zulkiple Ibrahim
KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Abdollah Amat dimasukkan ke Bahagian Trauma dan Kecemasan di sebuah pusat perubatan awam di sini, pada awal pagi dua minggu lepas setelah beliau mengadu rasa kaku dan kebas di kedua-dua belah tangan dan kaki. Bekas guru yang berumur 62 tahun itu juga mengadu tidak selesa serta rimas pada bahagian dada selain rasa mual dan keletihan yang terlampau. Doktor yang bertugas menjalankan ujian darah terhadap Abdollah dan keputusan ujian tersebut menunjukkan kandungan kalium (potassium) dalam darah beliau adalah tinggi, 7.2 mmol/L. Dalam badan manusia, kandungan normal adalah 3.5-5.5 mmol/L. "Doktor yang merawat saya menyatakan dengan kandungan darah kalium setinggi itu, saya mungkin dapat serangan sakit jantung pada bila-bila masa", kata Abdollah yang juga merupakan seorang pesakit kegagalan buah pinggang, pada penulis di pusat perubatan itu baru-baru ini. Abdollah mengalami keadaan hiperkalemia, di mana tahap kalium dalam darah beliau melebihi paras yang normal. "Doktor menasihati saya supaya berhati-hati dalam pemakanan, terutamanya kurang makan ulam, iaitu makanan kegemaran saya", kata Abdollah.
APA ITU KALIUM?
Menurut Kan Chok On, pegawai sains perubatan kanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kalium adalah sejenis mineral yang wujud secara semulajadi dalam bahan makanan. Kalium memainkan peranan penting dalam aktiviti normal otot dan saraf, terutamanya jantung. "Kalium adalah mineral yang diperlukan untuk aktiviti normal jantung. Bagaimanapun bagi sesetengan orang, ia boleh memudaratkan kalau terlampau tinggi parasnya dalam darah", kata beliau. Kan, yang bertugas di bahagian rawatan nefrologi PPUM juga berkata: "Kandungan kalium berlebihan dikumuh melalui ginjal (buah pinngang). Bagi mereka yang telah gagal ginjal, proses ini tidak berlaku dan menyebabkan tahap kalium dalam darah meningkat. "Memang bahaya kalau kandungan kalium darah meningkat, terutamanya bagi pesakit buah pinggang". "Buah pinggang yang telah rosak, menyebabkan badan tidak berupaya untuk mengeluarkan lebihan kalium melalui air kencing, lantas keadaan mudarat seperi hiperkalemia mudah terjadi", kata Kan yang mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam perawatan dialisis untuk pesakit buah pinggang.
SIMPTOM HIPERKALEMIA
Menurut Kan, seseorang itu mungkin juga tidak mempamerkan tanda atau gejala yang beliau mengalami hiperkalemia. "Apabila tahap kalium naik terlampau tinggi, antara tanda-tandanya ialah rasa lemah otot, sakit dada serta palpitasi jantung di mana jantung berdenyut secara cepat dan tidak normal," kata beliau. Menyentuh tentang ulam pula, Kan berkata ini adalah dari jenis sayur-sayuran atau buah yang boleh dimakan secara mentah dan biasanya diambil dengan nasi. "Bagi masyarakat Melayu, mereka suka makan ulam seperti petai, dan pelbagai jenis pucuk seperti pucuk paku, pucuk ubi, daun selom, ulam raja dan juga sayuran hijau yang lain, tapi ini semua mengandungi tahap kalium yang tinggi."Begitu juga buah-buahan tropika seperti pisang, limau dan oren, buah kiwi, papaya, durian serta tembikai susu. Juga air buah seperti air kelapa dan jus prun. "Bagi orang yang mengalami kerosakan buah pinggang, anda perlulah mengurangkan pengambilan sayur seperti bayam, kangkung dan sawi, kata Kan.
APA YANG BOLEH DIMAKAN?
Seorang pakar pemakanan dengan sebuah institusi perubatan swasta, S. Y. Fong berkata jika pesakit masih mahu juga makan sayur-sayuran hijau, maka sayuran itu mestilah direndam dalam air bersih selama dua jam sebelum dimasak. Ini supaya kalium dalam sayuran dapat dilarutkan dalam air yang digunakan untuk merendam sayuran itu, katanya. "Sayuran itu boleh dimakan selepas dimasak, tapi elak daripada mengambil kuah sayur kerana dikhuatiri masih ada kalium dalam kuah itu". Fong menasihatkan pesakit buah pinggang supaya memakan taugeh, kubis, terung, kacang panjang, lobak, bunga kobis, timum dan bawang. "Elak atau kurangkan makan aiskrim, makanan serta minuman dalam tin, dadih, susu, coklat dan juga bahan gantian garam kerana semua ini tinggi kandungan kaliumnya.
RESIN
Menurut Fong lagi, jika langkah penjagaan makanan tidak berapa efektif, dan tahap kalium dalam darah masih tinggi, pesakit terpaksa mengambil ubat khas yang dikenali sebagai resin. "Resin seperti sodium polystyrene sulphonate, atau Kayexalate bolehlah di ambil. Resin ini akan bergabung dengan kalium dalam intestin dan kalium yang lebih itu akan dikeluarkan daripada badan dalam najis", kata beliau. Menurut Fong, resin ini adalah dalam bentuk serbuk dan dibancuh bersama air, kemudian diminum. Dos biasanya ialah 15 gm dan diambil empat kali sehari. Biasanya, setelah mengambil ubat selama 24 jam, kandungan kalium tinggi dalam darah akan mula menurun, kata beliau. -- BERNAMA