Keadaan Dalam Negara Stabil, Aman Dan Selamat: PM
Oleh Ropikah Ahmad
Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa rakyat tidak perlu bimbang dan percaya dengan khabar angin yang mendakwa negara berada dalam keadaan kucar-kacir kerana ia tidak benar malah situasi negara sekarang adalah stabil, aman dan selamat. Katanya, keadaan ekonomi dan keselamatan negara juga adalah terkawal dan rakyat tidak perlu percaya dengan khabar-khabar angin berikutan situasi politik yang berlaku sekarang ini. “Orang pandai buat cerita macam-macam hingga jadi kelam-kabut, tabur fitnah itu, tabur fitnah ini,” katanya ketika mengulas keadaan dalam negara selepas pelbagai peristiwa membabitkan politik semasa berlaku.
Beliau menyatakan bahawa terlalu banyak fitnah yang ditaburkan ketika ini sehingga menimbulkan keresahan rakyat. "Kerajaan sentiasa berada dalam keadaan yang orang katakan mengawal semua dan kita tahu apa yang sedang berlaku dan insya-Allah negara kita akan selamat," tegasnya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat supaya tidak panik dan kelam-kabut ekoran perkembangan politik semasa kerana negara masih berada dalam keadaan yang terkawal. "Keselamatan negara ini masih terkawal dan berada dalam keadaan mengawal semua (perkara).
Kita tahu apa yang sedang berlaku dan negara ini akan aman dan selamat," katanya lagi. Tambah beliau, cerita-cerita tersebut tersebar dalam masyarakat dan akhirnya bertukar menjadi cerita lain selepas ditokok tambah oleh pelbagai pihak. “Kalau kita nak ambil kira daripada segi keselamatan negara, kita masih selamat dan kalau nak kata kestabilan politik saya tak mahu dianggap sebagai dikatakan bersikap seolah menafikan tidak ada apa yang berlaku,” ujarnya. Jelasnya lagi, memang ada pergolakan dalam politik seperti pemilihan UMNO tetapi dulu pun perkara itu berlaku juga dan ia tidak menjadi masalah besar. "Sekarang ini isu-isu di Parlimen juga begitu aktif dan riuh tetapi itu tidak boleh dianggap sebagai perkara yang boleh membawa kepada ketidakstabilan politik,” katanya lagi.
Perdana Menteri menjelaskan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan jika terdapat sebarang masalah dan menegaskan pada masa ini semuanya perancangan berjalan dengan baik, termasuk dari segi pentadbiran kerajaan dan juga pelaksanaan projek. Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa dalam sebuah laman blog pemuda yang membuat laporan kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga turut digembar-gemburkan mempunyai hubungan keluarga dengan menantunya. Perkembangan politik Anwar dan akuan bersumpah penyiasat persendirian terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga antara perkara yang menimbulkan keresahan orang ramai. Selain itu, penutupan Bursa Malaysia pada sebelah pagi juga turut dikaitkan dengan masalah dalam negara walaupun ia diakibatkan oleh masalah teknikal selepas sistem perkakasan komputernya gagal berfungsi.