Monday, July 07, 2008

:: RM15.5b keluar negara?


Warga asing hantar RM15.5b

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM17.2 bilion dihantar menerusi bank tempatan ke luar negara tahun lalu dengan lebih 90 peratus atau RM15.5 bilion, dikirim oleh rakyat asing yang bekerja dalam pelbagai sektor di negara ini. Jumlah wang kiriman pekerja asing ke luar negara itu adalah lebih tinggi berbanding cukai pendapatan individu yang dipungut oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM12 bilion pada tahun lalu. Sumber Jabatan Perangkaan menjelaskan, lebih 90 peratus kiriman wang setiap tahun itu adalah daripada pekerja asing.

Bagaimanapun, jumlah itu hanya membabitkan wang yang dihantar menggunakan perkhidmatan bank dan ia dipercayai lebih tinggi kerana ramai pekerja asing terutama pendatang tanpa izin membawa sendiri wang apabila pulang ke negara asal atau mengirim menerusi saudara mara dan rakan. Malah, Bank Negara Malaysia dalam laporan tahunan 2007 menganggarkan kiriman wang ke luar negara akan meningkat sehingga RM18.9 bilion tahun ini. Anggaran bank pusat itu turut disokong statistik terbaru Jabatan Perangkaan dikeluarkan Mei lalu, yang menunjukkan RM4.5 bilion dikirim ke luar negara dalam tempoh tiga bulan tahun ini, berbanding RM4.1 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pada 2005, sebanyak RM18.1 bilion dilaporkan dihantar ke luar negara dan RM17.9 bilion pada 2006. Menurut sumber itu, kiriman wang ke luar negara meningkat berikutan pertambahan kemasukan pekerja asing sama ada dalam sektor pekerjaan tidak mahir mahu pun profesional. Kenyataan itu disokong statistik Jabatan Imigresen tahun lalu yang menunjukkan pengambilan pekerja asing bertambah 7,000 orang setiap bulan dan dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa. Tahun lalu, Berita Harian turut melaporkan jumlah pekerja asing dalam pelbagai sektor di negara ini melebihi masyarakat India, iaitu kaum ketiga terbesar di Malaysia.

Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen dan Bahagian Perangkaan Demografi Jabatan Perangkaan Malaysia, sehingga 30 Jun 2007 jumlah pekerja asing mencecah 1.91 juta manakala masyarakat India 1.88 juta. Jumlah itu tidak termasuk hampir sejuta pendatang asing yang dipercayai memasuki negara ini secara haram serta hampir 10,000 tahanan di depoh imigresen.