Friday, July 04, 2008

:: Dadah: Najis manusia sebagai ganti ?


Timur: Hidu najis lepas gian dadah kes terpencil: AADK
Oleh Betty Subaryati

KOTA BHARU: Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) percaya perbuatan menghidu najis manusia untuk menghilangkan gian terhadap dadah di kalangan penagih negara ini masih lagi terpencil. Pengarah AADK Kelantan, Wan Addenan Wan Mohd Noor, berkata kegiatan menghidu najis manusia di kalangan penagih adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada mereka yang terbabit tetapi belum disahkan kebenarannya. "Maklumat itu kami terima daripada penagih termasuklah mengenai perbuatan menelan tawas dan duit syiling untuk mengelak air kencing mereka positif ketika saringan dijalankan pihak berkuasa. Kegiatan menghidu najis manusia adalah kes terpencil tetapi kita membuat memantau tabiat itu," katanya di sini, semalam.
Dalam perkembangan lain, AADK Kelantan akan menganjurkan Karnival Hari Antidadah Antarabangsa (Hada) yang dijangka dihadiri lebih 10,000 pelatih dan bekas penagih dadah dari seluruh negeri ini mulai hari ini hingga 5 Julai di Padang Kompleks Sekolah dekat Wakaf Mek Zainab di sini. Katanya, Karnival Hada bertujuan meningkatkan kesedaran dan kesediaan masyarakat untuk bangkit bersama-sama memerangi ancaman dadah. "Karnival itu juga untuk menggerakkan masyarakat tempatan supaya bertindak memerangi gejala dan ancaman dadah di tempat masing-masing selain menyampaikan maklumat dan perkembangan terkini mengenai senario permasalahan dadah.

"Kita harap menerusi karnival selama tiga hari itu juga dapat meningkatkan kerjasama daripada semua pihak terutama pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya menangani gejala dadah di peringkat akar umbi," katanya. Wan Addenan berkata, sepanjang karnival itu berlangsung, beberapa acara menarik dipersembahkan, termasuk kumpulan nasyid dan kugiran yang disertai pelatih Pusat Serenti Jeli dan Bachok selain pertandingan mewarna dan kuiz serta seloka bersahut bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM).