Reka bentuk kediaman dorong kes pecah rumah
Oleh Abd Rahman Adam
KUCHING: Sikap masyarakat yang terlalu mementingkan nilai estetika serta reka bentuk rumah, tanpa mengambil kira ciri keselamatan, dikenal pasti punca meningkatnya kejadian pecah rumah di negara ini. Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim, berkata aspek keselamatan perlu diutamakan apabila merancang membina kediaman, termasuk mengenal pasti latar belakang kawasan supaya dapat memastikan ciri keselamatan yang perlu dilakukan. “Ini bagi mengelak menjadi mangsa kejadian pecah rumah dan samun sekali gus membendung kejadian sama berulang di kawasan kediaman masing-masing,” katanya ditemui selepas Seminar ‘Rumahku - Kediaman Selamat’ di sini semalam.
Seminar anjuran Malaysia Building Society Berhad (MBSB) dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Negeri Sarawak serta Kelab Sumber Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber itu bertujuan memberi panduan dan siri pertolongan cemas kepada peserta khususnya menyelamatkan warga tua, orang kurang upaya (OKU) serta kanak-kanak ketika berlakunya kebakaran. Kamal berkata, kejadian pecah rumah di Sarawak masih pada tahap terkawal namun keadaan itu tidak boleh dijadikan alasan mengabaikan keselamatan tempat kediaman. “Setakat ini, statistik menunjukkan jumlah kejadian dan jenayah di Sarawak masih kecil jika dibandingkan dengan kadar jenayah yang berlaku di Semenanjung,” katanya.