Monday, October 31, 2011

:: SURAT : Tiada kenaikan pangkat... walau ada ijazah sarjana ?




Peroleh ijazah sarjana, tiada kenaikan pangkat


2011/10/31

RAMAI pegawai kerajaan memperoleh ijazah Sarjana hasil usaha dan penat lelah mereka belajar. Selepas memperoleh ijazah sarjana itu, tiada kelebihan diperoleh sama ada dari segi kewangan mahu pun kenaikan pangkat.

Ramai juga yang berkhidmat di jabatan tertutup dan tidak ada banyak peluang kenaikan pangkat. Terpaksa tunggu sehingga seseorang pegawai itu pencen, baru berpeluang naik pangkat, itu pun kalau bernasib baik.
Saya mewakili rakan lain yang memperoleh ijazah sarjana lebih tujuh tahun tetapi tiada apa kelebihan yang diberikan. Malah ada rakan yang lebih rendah kelulusan mereka mendahului kami dinaikkan pangkat.

Saya mencadangkan supaya kerajaan memberi sedikit imbuhan kepada pemegang ijazah sarjana sebagai menghargai pengorbanan mereka, contohnya memberi satu atau dua kenaikan mata gaji.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sepatutnya mewujudkan peraturan apabila seseorang penjawat awam memperoleh ijazah sarjana atau Ijazah Sarjana Kedoktoran (PhD), beliau diberi kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) atau setidak-tidaknya memberi satu atau dua kenaikan mata gaji sebagai ganjaran dan insentif.

Ini akan memberi lebih semangat atau rangsangan kepada pegawai berkenaan untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang. Kalau itu dapat dilakukan adalah amat baik sekali. JPA diminta memberi perhatian serius.

PENJAWAT AWAM SETIA, Segambut, Kuala Lumpur.