Thursday, October 13, 2011

:: SURAT : Keluhan pelajar pasca-siswazah...


Pelajar separuh masa kecewa yuran pengajian mahal


2011/10/12

PELAJAR separuh masa pengajian pasca-siswazah sering kali dianaktirikan. Bukti paling ketara, yuran pengajian bagi pelajar separuh masa adalah dua kali ganda daripada pelajar sepenuh masa dengan alasan pelajar separuh masa adalah golongan bekerja.

Jadi, dengan mudah mereka dianggap mempunyai kemampuan untuk memberi yuran yang lebih mahal.
Persoalannya, kenapa perlu dikenakan bayaran dua kali ganda sedangkan objektif universiti awam bukan untuk mencari keuntungan.
Hakikatnya, pelajar separuh masa lagi teruk membanting tulang dan berhempas pulas untuk hidup di bumi Malaysia yang mencabar. Kebanyakan pelajar separuh masa bekerja makan gaji di syarikat swasta yang gajinya tidaklah seberapa.

Sebaliknya, pelajar sepenuh masa terdiri daripada mereka yang bekerja dalam sektor awam yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak kerajaan tetapi dalam masa sama masih mendapat gaji penuh.

Oleh sebab itu, tidak patut pelajar separuh masa dikenakan yuran dua kali ganda kerana gaji pekerja swasta bukan dua kali ganda daripada pekerja sektor awam.

Teruk lagi kini universiti membuat penetapan bahawa pensyarah bertaraf Profesor tidak dibenarkan mengajar pelajar separuh masa. Agak pelik kerana kami membayar dua kali ganda kepada pihak universiti tetapi tidak mendapat kualiti perkhidmatan terbaik.
Malah terdapat pensyarah yang ingin membuat kerja mudah dengan mencantumkan kelas sepenuh masa dengan kelas separuh masa pada hujung minggu. Akibatnya, kelas sempit dengan lebih 40 orang pelajar.

Ini sudah taraf sekolah rendah di kampung. Dengan bayaran lebih RM4,000 satu semester, adilkah kami mendapat layanan sedemikian? Pensyarah itu masih mendapat dua gaji iaitu gaji mengajar dua kelas.

Juga pelajar separuh masa tidak layak mendapat biasiswa MyMaster Brain15. Alasan yang sama diguna pakai, pelajar separuh masa banyak duit. Kalau kaya, tiada kuasanya kami hendak belajar. Baik berjoli.

Pohon Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil tindakan sewajarnya agar kami pekerja swasta yang menyambung mengaji separuh masa di universiti awam tidak teraniaya.

PELAJAR SEPARUH MASA TERANIAYA,
Shah Alam, Selangor.