Thursday, September 30, 2010

:: Bajet 2011... bagaimana ni ?






Ambil kira keadaan ekonomi lembap tahun depan


KUALA LUMPUR – Bajet 2011 yang bakal dibentangkan di Parlimen pada 15 Oktober ini perlu mengambil kira elemen yang dapat menangani kemungkinan pertumbuhan perlahan ekonomi dunia tahun depan, kata seorang pakar ekonomi.

Ketua Eksekutif Institut Strategik Pengajian Antarabangsa (ISIS) Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin (gambar) berkata, bajet tahun depan adalah penting kerana ekonomi dunia dijangka berdepan dengan keadaan lebih sukar.

Kerajaan perlu bersedia untuk menghadapi keadaan ekonomi dunia sebegitu," katanya kepada pemberita di luar Forum CEO anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di sini semalam.




Wednesday, September 29, 2010

:: Arkeologi... Mansuli di Sabah lebih tua dari Gua Niah di Sarawak





Penemuan arkeologi terbaru bukti Kepulauan Borneo didiami sejak 100,000 tahun lalu



MIRI: Penemuan arkeologi dan sejarah terbaru di Lahad Datu, Sabah telah membuktikan bahawa Kepulauan Borneo yang merangkumi pulau utama (Pulau Borneo) dan pulau-pulau kecil sekitarnya telah didiami oleh manusia sejak 100,000 tahun dahulu.

Tapak arkeologi terbuka Mansuli itu yang berjaya ditemui oleh sekumpulan ahli arkeologi dan sejarawan dari United Kingdom (UK) dan Sabah, dianggarkan berusia 100,000 tahun iaitu lebih tua dari tapak arkeologi Gua Niah di Sarawak.

Pengarah Muzium Sarawak, Ipoi Datan berkata, penemuan ini membuktikan ada lagi tapak arkeologi yang paling tua di Kepulauan Borneo selain Gua Niah.

“Penemuan terbaru ini menunjukkan Kepulauan Borneo sudah didiami oleh manusia sejak 100,000 tahun lalu berbanding penemuan di Gua Niah yang menunjukkan penemuan manusia berusia 42,000 tahun.

“Penemuan ini juga merupakan sebahagian kerta kerja yang akan dibentangkan semasa Seminar Antarabangsa Arkeologi Borneo yang berlangsung pada 27 hingga 31 Oktober di Miri,” katanya semasa sidang media di Mu-zium Sains Petroleum Miri semalam.

Hadir sama Penolong Kurator Muzium Sarawak, Mohd Sherman Saufi dan Pegawai Hubungan Awam Muzium Sarawak, Muhd. Zakeria Hattar.

Beliau menambah, kira-kira 30 kertas kerja akan dibentangkan meliputi semua aspek pra sejarah, tapak arkeologi dan pemuliharaan tapak arkeologi di seluruh Malaysia termasuk Sabah, Sarawak, Semenanjung selain Kalimantan, Brunei, Australia dan Filipina. “Penceramah terdiri daripada ahli sejarawan dan arkeologi dari Malaysia, Brunei, Kalimantan, Filipina, Australia dan UK,” katanya sambil menambah ini kertas kerja tersebut meliputi topik yang luas dari seluruh era sejarah.

Mengulas lanjut Ipoi berkata, seminar yang bertemakan “The Past, Present & Future Respect” adalah julung kali diadakan di Sarawak yang mana Miri telah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah.

Katanya, sebelum ini seminar tersebut diadakan di Semenanjung Malaysia dan beliau berharap selepas ini ia akan diadakan di Sabah, Brunei dan Kalimantan.

Antara objektif seminar ialah membincangkan penemuan terbaharu tapak warisan arkeologi di Borneo dan Asia Tenggara yang mana maklumat ini akan digunakan ahli arkeologi untuk melihat persamaan dan perbezaan yang dapat dikaitkan dengan teori terkini atau menghasilkan teori-teori baru.

“Selain itu berkongsi maklumat dan kepakaran dalam bidang arkeologi di Asia Tenggara. Melalui seminar ini, ia diharap dapat menganalisa kaedah penyelidikan, mengenalpasti isu dan masalah agar kita dapat menghasilkan penyelidikan saintifik yang lebih baik pada masa depan.

“Pada masa yang sama, mengumpulkan semua arkeologi dari seluruh Asia Tenggara untuk berbincang bagaimana dapat meningkatkan kesedaran tanggungjawab di kalangan mereka. Selain itu, berkongsi maklumat mengenai akta, tapak penggalian, artifak, perlindungan dan pemuliharaan,” kata Ipoi.

Beliau berkata, skop seminar meliputi pra sejarah, proto sejarah, arkeologi bersejarah, arkeologi etno, aplikasi sains dalam arkeologi dan pengurusan serta pemuliharaan tapak atau struktur arkeologi.

“Kita mensasarkan 200 peserta terdiri daripada ahli arkeologi di Brunei, Sabah, Sarawak dan Kalimantan dan Asia Tenggara, ahli akademik berkaitan arkeologi, sejarah, antropologi serta saintis alam sekitar,” tambahnya.

Selain itu pegawai kerajaan terutama dari jabatan kebudayaan, warisan, arkib, perpustakaan dan muzium selain pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah.

Setiap peserta yang mewakili jabatan atau swasta akan dikenakan yuran RM200, individu (RM150) manakala pelajar (RM50).

Bayaran ini termasuk semua maklumat mengenai seminar termasuk kertas kerja sepanjang tiga hari dan lawatan ke Taman Negara Niah dan Rumah Panjang Patrick di Sungai Tangap pada 31 Oktober.

Tarikh tutup untuk pendaftaran ialah pada 10 Oktober 2010 dan sila hubungi Mohd Radzi Ahmad di talian 019 – 2220412 atau fak 03 – 92810186 atau Mohd Sherman Sauffi/Awang Abdullah/ Nicholas Daby di talian 082 – 244 232 untuk keterangan lanjut.

Sementara itu, seminar ini dianjurkan bersama Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan dan Warisan Sarawak, Jabatan Muzium Sarawak dan Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia.

Majlis perasmian pada 27 Oktober dijangka akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud manakala Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan Dato Seri Utama Dr Rais Yatim dijangka merasmikan penutupan pada 30 Oktober.




:: Sekolah Harapan.. ibarat transit ?





Sekolah Harapan Untuk Semua Kaum

Kemudahan asas Sekolah Harapan termasuk empat kelas, bilik komputer, bilik mesyuarat dan pejabat pentadbiran.

KEDUDUKAN Rumah Harapan terletak bersebelahan dengan Sekolah Harapan memudahkan pelajar menghadiri sesi pembelajaran seawal pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Malah, sistem pembelajaran yang ditawarkan adalah sukatan daripada Kementerian Pelajaran.

Lebih dari itu, sekolah berkenaan disediakan untuk semua kaum termasuk yang bukan Islam.

Pengerusi Sekolah Harapan, Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata, golongan berkenaan juga seperti insan lain yang memerlukan tempat belajar khusus kerana tidak digalakkan berada di sekolah biasa berikutan keadaan mereka yang hamil luar nikah.

“Kemasukan pelajar hamil turut terbuka kepada mereka bukan Muslim dan rakyat di negeri lain namun keutamaan diberikan kepada rakyat Melaka.

“Sekolah Harapan ibarat transit yang menyediakan kemudahan persekolahan sehingga remaja terbabit bersalin,” katanya kepada Mingguan mStar.

Ab Rahaman berkata, sukatan pembelajaran terdiri daripada mata pelajaran teras di sebelah pagi manakala sebelah malam pula untuk pendidikan agama.

Lima mata pelajaran teras meliputi Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah dan Sains Am dikendalikan oleh guru daripada Jabatan Pelajaran Negeri.

Pemilihan pengajar di sekolah ini setaraf dengan guru di sekolah biasa, namun antaranya daripada guru pesara atau guru sekolah kebangsaan.

“Pelajar akan diberikan pendidikan khas melibatkan bidang berkemahiran dan keibubapaan selain bimbingan kaunseling pada hujung minggu,” katanya.

Mengenai sama ada pelajar akan menghuni Sekolah Harapan sehingga tamat belajar atau tamat peperiksaan, beliau menjelaskan sekolah itu diwujudkan sebagai tempat sementara kepada remaja terbabit belajar sebagai persediaan sebelum menduduki peperiksaan.

“Kita mahu memulihkan semangat remaja ini dengan memberikan peluang kedua untuk terus maju dalam hidup dan masa depan.

“Ini menjadi signfikan Sekolah Harapan sebagai kesedaran untuk mereka mengenai betapa besarnya kesilapan itu dan masih terbuka ruang untuk bertaubat,” ujarnya.

Beliau menambah, pelajar digalakkan untuk untuk menduduki peperiksaan, sekurang-kurangnya mempunyai pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Masa depan mereka masih terlalu jauh lagi. Banyak perkara perlu dilalui terutama pembelajaran yang tidak sepatutnya berhenti di tengah jalan,” katanya lagi.

Pelajar boleh meninggalkan sekolah itu selepas habis tempoh berpantang dan kembali ke pangkuan keluarga serta meneruskan pelajaran seperti pelajar biasa.

Dalam pada itu, Ab Rahaman menasihatkan ibu bapa kepada pelajar hamil agar menerima anak mereka seadanya dengan memberikan sokongan dan bimbingan.

“Ini akan mengembalikan semangat mereka untuk menjadi manusia berguna dan bukan dianggap sebagai sampah masyarakat hanya disebabkan kesilapan lalu yang mereka lakukan,” katanya.



:: Sekolah Harapan.. rumah harapan ?





Harapan Kedua Si Terlanjur

Penubuhan Sekolah Harapan mampu memberi sinar baru kepada mereka yang terlanjur.

MEREKA melangkah masuk ke Sekolah Harapan adalah dengan kerelaan hati, tetapi hakikatnya mereka tidak pernah rela untuk hamil sebelum bernikah apatah lagi dalam usia yang masih mentah.

Tidak seperti perahu terlajak yang dapat diundur kembali, kumpulan lima pelajar pusat perlindungan itu yang pernah terlanjur bersyukur kerana pusat perlindungan ini menyambut baik kehadiran mereka walau hanya untuk tempoh tertentu sahaja.

“Setakat ini kesemua mereka nampak gembira tinggal di sini. Masing-masing tidak menunjukkan tanda-tanda mereka menghadapi masalah atau tekanan,” kata Penyelia Rumah Harapan, Saimah Hiran kepada Mingguan mStar, beberapa hari selepas sekolah kontroversi itu beroperasi.

Walaupun baru dibuka, Saimah memberitahu, setiap pelajar tidak akan terlepas daripada mengikuti aktiviti yang disediakan pihak pengurusan.

Katanya, sehingga kini, lima pelajar yang masing-masing datangnya dari Melaka, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang itu juga tidak menghadapi masalah dalam pergaulan dan berkomunikasi.

Penyelia Rumah Harapan (asrama) Saimah Hiran (dua kiri) memberi taklimat kepada seorang pelajar yang mendaftar masuk ke Sekolah Harapan, baru-baru ini.

“Sebelum kelas bermula, kita adakan minggu orientasi selama seminggu bagi membolehkan mereka berkenal-kenalan dan menyesuaikan diri dengan kehidupan baru mereka.

“Kita juga telah menghantar mereka berjumpa doktor untuk memastikan kandungan mereka sihat dan selamat,” katanya.

Mingguan mStar turut berpeluang berbual secara eksklusif dengan salah seorang penghuni kumpulan pertama, berusia 17 tahun.

Kay (bukan nama sebenar) merupakan salah seorang daripada lima penghuni Sekolah Harapan yang mendapatkan perlindungan dengan kerelaan diri sendiri.

Kesal dengan keterlanjuran akibat terlalu mengikut nafsu, dia bagaimanapun reda dengan apa yang telah menimpa diri dan keluarganya.

“Saya tak akan mensia-siakan peluang ini. Apa yang mahu saya lakukan sekarang ialah menyambung semula pembelajaran dan mengambil peperiksaan di sini,” katanya.

Bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi, Kay berazam untuk belajar bersungguh-sungguh selain mahu mengubah diri menjadi insan yang lebih baik dan mampu berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara.

“Dalam keadaan saya sekarang ini, saya akan belajar selagi termampu dan buat yang terbaik. Saya betul-betul mahu berubah dan tak akan buat perbuatan yang sama lagi selepas ini,” jelasnya.

Mengimbas kembali bagaimana dirinya boleh ‘tercampak’ ke Rumah Harapan, Kay memberitahu dia dihamilkan tanpa kerelaan oleh jejaka yang tidak dikenali.

“Saya teraniaya. Kawan saya telah kenakan saya. Saya tak kenal dengan lelaki itu, tetapi setelah dipaksa saya pun terlanjur.

“Lepas dapat tahu saya mengandung, saya terus mencari jalan penyelesaian melalui Internet. Kebetulan juga pada masa itu abang saya tahu pusat perlindungan seperti ini akan dibuka.

“Bila dapat tahu ia bakal beroperasi dan menerima kemasukan, saya terus mendaftarkan diri dan syukur saya diterima masuk,” katanya.

Sementara menunggu saat-saat bayi dalam kandungannya yang kini berusia enam bulan dilahirkan, Kay mengakui gembira dan tenang dapat bersama-sama melakukan aktiviti bersama rakan-rakan lain.

“Kawan-kawan baik-baik belaka. Begitu juga guru-guru yang menjaga kami. Mereka mendidik dan tidak menggunakan kekerasan. Apa yang dapat saya kata, di sini saya langsung tak rasa tertekan.

“Aktiviti yang disusun pun memberi manfaat. Kami baca al-Quran, mengikuti tazkirah dan diwajibkan solat jemaah. Kami juga boleh belajar memasak,” katanya.

Kay berpendapat Sekolah Harapan sesuai untuk remaja yang pernah terlanjur atau melakukan kesilapan tetapi ingin kembali ke pangkal jalan.

Katanya, sebagai golongan yang masih muda dan perlu berdepan dengan pelbagai dugaan sehingga adakalanya menjadikan diri mereka terjebak ke kancah yang tidak sepatutnya.

“Apa yang penting, setiap orang yang buat pernah buat salah nekad untuk tidak mengulanginya lagi. Setelah apa yang berlaku, saya sedar bahawa saya banyak kelemahan dan saya sendiri ingin berubah,” katanya.

Dia menasihati remaja di luar sana supaya berhati-hati apabila berkawan supaya bagi mengelakkan daripada mereka menerima nasib yang sama seperti dirinya.



Tuesday, September 28, 2010

:: Bakun.. Sarawak tawar maksima RM7 bilion






Bakun: Tidak lebih RM7 bilion



Kerajaan negeri bida untuk ambil alih projek empangan itu pada harga RM6 bilion


BIDAAN: Taib bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Kuching semalam.

BIDAAN: Taib bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Kuching semalam.

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memberitahu kos pengambilalihan Empangan Hidroelektrik Bakun tidak akan melebihi RM7 bilion.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah menawarkan RM6 bilion ke atas dan mencari jalan untuk satu cara pembayaran yang lebih rendah.

Katanya, kerajaan persekutuan tidak mengemukakan sebarang nilai sehingga semalam.

“Kami telah membuat bidaan tetapi ia adalah fleksibel dari segi di mana kami akan mencuba untuk melihat jika cara pembayaran itu lebih rendah, maka kami akan bersetuju.

“Tetapi ada had dalam bidaan kami kerana keinginan untuk dapat menarik industri berat.

“Ada juga had dalam harga, dengan harga yang diketengahkan, berapa banyak yang kami dapat usahakan tanpa kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena majlis Hari Raya Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1 Divisyen dan majlis meraikan anggota cedera 1 Divisyen, di Kem Penrissen di sini semalam.

Taib yang juga Menteri Kewangan berkata bidaan mungkin mencecah sehingga RM7 bilion di bawah syarat tertentu.

“Kami tidak pasti kerana ia bergantung kepada cara pembayaran dan kosnya,” katanya.

Sama ada rundingan mengenai persetujuan pembelian tenaga di antara Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Sarawak Hidro Sdn Bhd masih berjalan, Taib berkata ia masih dalam rundingan.

“Saya mempunyai gambaran saya sendiri mengenai harga yang boleh kami tawarkan, itu adalah parameternya, yang mana kami akan dapat membuat keputusan… rundingan masih berjalan,” katanya.

Sabtu lepas, Menteri Kewangan Kedua Dato Seri Ahmad Husni Hanadziah berkata kerajaan persekutuan tidak mempunyai hasrat untuk mengaut keuntungan daripada penjualan Empangan Hidroelektrik Bakun.

Katanya, kos keseluruhan pembinaan projek berkenaan adalah RM7.3 bilion.

Jumaat lepas, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin memberitahu bahawa projek Bakun yang dimiliki Kementerian Kewangan akan diambil alih oleh kerajaan negeri.

Laporan menyatakan bahawa Sarawak berminat untuk mengambil alih projek empangan Bakun untuk industri intensif tenaga dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) termasuk loji peleburan aluminium dan industri lain.

Menurut sumber, empangan Bakun dijangka siap menjelang Disember tahun ini selepas 16 tahun pembinaan.

Tenaga yang dihasilkan daripada empangan ini boleh mencecah 2,400 megawatt.


Monday, September 27, 2010

:: Azizi memperihalkan Melayu Berfikir





Monday, September 27, 2010

Perihal Melayu Berfikir

Sekarang orang galak kembali bercakap tentang Melayu: Kuasa Melayu. Melayu akan hancur. Perpaduan Melayu. Kemudian ada pula dakwaan, menyesal jadi Melayu. Melayu lenyap pun tak apa. Yang penting Islam.

Fikir-fikir sungguh juga. Melayu batas geografinya sekadar sampai ke lubang kubur, lepas itu Melayu pasti akan lenyap. Malaikat tidak akan tanya, apa bangsamu.

Saya pernah menulis sebuah cerpen dalam tahun 80an dulu bertajuk ‘Menyesal Jadi Melayu.’

Tapi yang sangat anih, orang yang bercakap mempertahankan Melayu, termasuk mantan pemimpin yang mendakwa tentang pentingnya Melayu, merekalah yang menjahanamkan Melayu. Merekalah yang melingkup Bahasa Melayu. Mereka yang memusnahkan indentiti Melayu dan jati diri Melayu. Raja-raja Melayu. Hak Istimewa Melayu.

Yang bangang pula mereka tak pula kata Islam lebih baik.

Pemikiran Melayu mesti diubah sekarang, kata us. Monaliti.


Dua tiga malam yang lalu, saya hadir di kuliah maghrib di surau Taman Sri Petaling. Pengkuliahnya ialah Us. Monalito Ghazali (bukan orang Maxico) Sangat menarik kuliahnya tentang mentaliti dan pemikiran Melayu. Dia bagi contoh;

Saya letak di sini, sebelah kiri seekor babi . Di sebelah kanan seorang gadis comel.

Saya pasti sebelum saya buat apa-apa, anda sebagai orang Melayu/Islam akan marah kepada saya. Berdecit-decit bibir kerana marah. Babi tak sepatutnya di tunjuk di sini. Macamlah hebuh kepala babi dalam surau.

Orang akan lebih marah lagi apabila saya memegang paha babi, lalu mengoyak kangkang dia.

Anda pasti berpaling muka, meludah dan maki-maki saya.

Bagaimana kalau saya membuka dada babi, memegang memicit tetek babi. Anda akan menyumpah-nyumpah saya. Anda merasa jijik. Mungkin ada tuduhan kafir.

Begitu juga jika anda melihat kubang babi atau babi berjaras-jaras di atas lori di bawa ke tempat sembelih. Anda akan menutup hidung, meludah tanda meloya.

Begitu kebanyakan orang Melayu berfikir tentang babi.

Tapi dalam masa yang sama, dalam keadaan (orang Melayu) dalam sedar, sempurna akal, melihat saya memegang gadis ini, saya yakin anda tidak akan melihat dengan jijik, sebaliknya anda akan melihat untuk mempastikan apakah saya memegang gadis ini.

Kemudian mata anda akan terbeliak dan kagum apabila melihat saja membuka baju gadis ini, apa lagi kalau saya membuka dada dan memegang buah dadanya.

Anda akan berkata saya berani atau saya tidak sepatutnya buat begitu. Dan anda pasti tidak akan berpaling muka kerana jijik jika saya mencium pipi gadis ini.

Apa yang anda boleh berfikir jika begini yang berlaku? Tanya Ustaz Monalito. Fikiran yang bermain dalam kepala kita sebagai orang Melayu, orang tetap memandang jijik, marah, meluat dan sanggup mengutuk, membuat laporan polis jika saya berbuat begini dengan babi.

Tapi malang orang tidak merasa apa-apa, malah merasa hebatnya pula saya, beraninya saya memegang seorang gadis. Sedangkan dalam Islam, memandang ruang aurat bukan muhrim kita pun sudah haram, apa lagi jika kita melihat saya berbuat lebih dari ini.

Apakah melihat babi, memegang babi, mencium babi lebih hukumnya dari meilhat, memegang,mencium gadis?

Adakah orang Melayu mahu berfikir begini? Anih, fikiran orang Melayu songsang, maka sebab itu mereka membuta tuli mempertahankan Melayu tak tentu sebab.

Sama seperti gadis yang mengandung di luar nikah, kita menyediakan berbagai kemudahan, malah bertaraf ‘menteri’ pula menyambutnya. Pemikiran apakah namanya ini? (Ini bukan soal menghina) tetapi siapa pula yang mahu menyambut seorang hafiz atau seorang gadis yang menghafaz al Qur`an 30 juzuk dalam masa enam bulan? Menteri mana yang sanggup menyediakan sebuah rumah untuk anak-anak muda yang melakukan kerja-kerja agama?

‘Pemikiran orang Melayu masih terbalik sekarang,’ katanya. Dan akan ada lagi mereka yang bercakap tentang Melayu sedang dalam masa yang sama mencemik Perpaduan Islam.

-Hahhh, cerpen saya tentang Melayu Surinam mahu jadi Melayu 1Malaysia belum juga siap.

Sunday, September 26, 2010

:: Datuk LCW...juara Terbuka Jepun



Chong Wei juara di Jepun kalahkan Lin Dan


2010/09/26



TOKYO: Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei muncul juara Terbuka Jepun selepas menewaskan pemain China dan musuh utamanya, Lin Dan, pada perlawanan final, sebentar tadi.

Pemain pilihan utama dari Malaysia itu hanya memerlukan masa 81 minit untuk menang ke atas Lin Dan, 22-20, 16-21, 21-17.



:: Apa itu 'kuasa Melayu'...kata Dr. Hassan Ahmad




utusan malaysia...



Apa itu ‘kuasa Melayu’?

ORANG Melayu baru sedar bahawa ‘kuasa Melayu’ di negara ini akan pupus, atau setidak-tidaknya Melayu tidak akan berkuasa lagi di negeri ini. Beberapa tanda digunakan untuk membuat ramalan tentang kemungkinan pupusnya kuasa Melayu di negara ini.

Hasil Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas dianggap oleh orang Melayu sebagai salah satu tanda terhakisnya kuasa politik Melayu apabila UMNO dan rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN) hilang kuasa majoriti 2/3 dalam parlimen dan jatuhnya negeri kuasa UMNO sejak kemerdekaan ke tangan Pas atau gabungan parti-parti Pakatan Rakyat, dan hilangnya pengaruh politik UMNO di Pulau Pinang. BN mula-mulanya kalah di Perak tetapi disebabkan tiga orang anggota DUN PR keluar parti dan menjadi anggota DUN mesra-BN, maka Mahkamah memutuskan bahawa BN-lah yang layak memerintah di negeri itu. Tetapi orang Melayu kekal memerintah di Kelantan, walaupun parti yang memerintah bukan BN/UMNO tetapi Pas.

Orang Melayu mungkin mengenang akan kuasa yang diwarisi oleh orang Melayu dari sejarah pemerintahan Melayu di negeri-negeri Tanah Melayu. Sejarah sebelum kemerdekaan menunjukkan bahawa sejak zaman berzaman, sebelum kedatangan penjajah Inggeris, yang memerintah di Tanah Melayu bukan orang lain tetapi orang Melayu, kerajaan Melayu, raja-raja Melayu, pembesar-pembesar Melayu. Benar, sejak Perjanjian Pangkor tahun 1874, British mulai ‘mencampuri’ urusan pentadbiran negeri Melayu, terutama di Negeri-negeri Melayu Bersekutu atau Federated Malay States. Tetapi sejarah itu tidak menunjukkan bahawa kuasa pemerintahan Melayu jatuh sepenuhnya ke tangan kuasa baru, iaitu kuasa British. Tidak. Raja Melayu tetap bertahta (tidak diturunkan dari tahtanya) dan memerintah walaupun dengan ‘nasihat’ pegawai British. Di Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu (Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah-Perlis) pentadbiran masih hampir sepenuhnya berada dalam tangan raja Melayu, menteri besar Melayu dan para pegawai pentadbir Melayu. British cuma menjadi ‘penasihat’.

Tetapi akhirnya kerana kelemahan raja-raja dan golongan bangsawan Melayu yang memerintah bersama-sama British itu, kuasa politik Melayu makin lama makin merosot sehinggalah sampai pada tahun 1946 apabila British kembali ke Tanah Melayu (selepas Jepun kalah Perang) untuk mentadbir semula Tanah Melayu dan kemudian cuba mengubah status Tanah Melayu atau ‘British Malaya’ menjadi ‘koloni British’ melalui rancangan Malayan Union-nya.

Orang Melayu seluruh Tanah Melayu bangkit menentang rancangan itu, kerana kalau tidak ditentang Tanah Melayu akan menjadi tanah ‘Jajahan British’, raja-raja Melayu akan hilang hak dan kedaulatannya dan akan dijadikan subject raja British dan bangsa Melayu menjadi ‘rakyat British’ sama seperti halnya dengan Hong Kong, tidak lagi sebagai rakyat raja Melayu atau negeri Melayu. Semasa seluruh bangsa Melayu di Tanah Melayu, termasuk Melayu di Singapura, bangkit menentang rancangan Malayan Union itu kaum-kaum lain tidak menyokong protes itu. Mereka mungkin itu adalah masalah orang Melayu, masalah raja dan negeri Melayu, bukan masalah mereka. Pada masa itu mereka bukan rakyat raja atau negeri Melayu. Mereka adalah ‘orang asing’ atau ‘pendatang’. Jadi, mereka tidak turut membantah kerana menganggap Malayan Union itu ialah masalah Melayu bukan masalah mereka. Barangkali mereka suka Tanah Melayu menjadi koloni British dan mereka menjadi ‘rakyat British’ atau ‘British citizens’.

Malayan Union yang gagal itu digantikan dengan kesatuan baru yang disebut Federation of Malaya yang diperintah oleh raja baru, iaitu the British raj (seperti di India) yang diwakili di Tanah Melayu oleh Pesuruhjaya British sebagai ‘ketua eksekutif’. Tetapi Federation of Malaya itu sebenarnya ialah Federation of Malay States atau ringkasnya Persekutuan Tanah Melayu, bukan Persekutuan Malaya. Ini menunjukkan bahawa ‘negeri Melayu’ tidak dihapuskan seperti yang cuba dihapuskan oleh British melalui rancangan Malayan Union-nya. Ada ‘Negeri Melayu’ bererti ada raja Melayu, ada kerajaan Melayu. Kita menyebut ‘sejarah’ ini untuk menangkis pendapat yang mengatakan bahawa sebelum kemerdekaan ‘Negeri Melayu’ atau ‘Kerajaan Melayu’, atau dengan kata lain ‘kuasa Melayu’ sudah tidak ada lagi. Maka orang pun percaya - dan ini termasuk para pemimim Melayu - bahawa dalam tahun 1957 lahirlah sebuah ‘negara baru’ yang disebut negara Federation of Malaya (kemudian dalam tahun 1963, menjadi ‘Persekutuan Malaysia’), tidak lagi ‘persekutuan tanah Melayu’ atau ‘persekutuan negeri-negeri Melayu’. Ini suatu penghinaan kepada bangsa Melayu yang sudah mempunyai negeri atau negara atau kerajaan sejak sekurang-kurangnya abad ke-13 lagi.

Kemerdekaan

Selepas kemerdekaan, UMNO yang pada waktu itu mampu memerintah tanpa bergabung dengan kaum-kaum lain, sanggup berkongsi dengan kaum-kaum lain untuk memerintah negeri ini selepas British meninggalkan Tanah Melayu, demi ‘perpaduan kaum’ (konon!). Dalam PRU pertama (1956), UMNO memenangi lebih daripada 2/3 kerusi Parlimen. Calon-calon dari parti komponen Perikatan, iaitu MCA dan MIC, kalau saya tidak silap, semuanya atau hampir semuanya menang di kawasan yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu.

Itulah agaknya yang dimaksudkan oleh Melayu sebagai ‘kuasa Melayu’, iatu kuasa politik Melayu. Tetapi mengapakah sekarang orang Melayu takut ‘kuasa’ itu akan hilang? Apakah yang mereka takut: hilang kuasa UMNO atau hilang kuasa Melayu? Dalam Parlimen, orang Melayu masih merupakan golongan majoriti, kalau kita ambil kira kerusi UMNO, kerusi Melayu Pas, dan kerusi Melayu dari PKR. Kuasa Melayu untuk terus menjadi pemerintah di negeri ini tidak semestinya bererti kuasa UMNO sahaja.

Hari ini, sudah mulai banyak orang Melayu yang berkata, apa untungnya rakyat biasa Melayu jika UMNO terus memerintah. Mereka melihat sebahagian orang Melayu yang berkuasa dalam UMNO sudah tidak ada semangat dan jiwa Melayunya lagi, seperti ibu bapa mereka yang berarak menentang Malayan Union. Mereka dilihat tidak berani lagi ‘memperjuangkan’ nasib bangsa Melayu; UMNO baru ini dilihat semakin menyerah dan bertolak ansur dengan apa sahaja kehendak dan tuntutan orang bukan Melayu, termasuk hal-hal yang mereka tidak tuntut namun diberikan juga, konon untuk mengambil hati orang bukan Melayu, sedangkan tuntutan Melayu dituduh sebagai tuntuan ‘rasis’. Sama ada ini hanya persepsi orang Melayu terhadap UMNO sekarang atau ini memang kebenaran, UMNO kenalah kaji dengan jujur dan secara rasional untuk mengetahui sebabnya yang sebenar. Maka dalam keadaan nasib Melayu yang tidak menentu ini, lahirlah NGO Melayu yang dituduh ‘rasis’, iaitu Perkasa. Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perkasa lahir kerana mereka menganggap UMNO tidak lagi sanggup atau mampu mempertahankan hak dan kepentingan bangsa Melayu.

Dalam PRU yang lepas banyak penyokong tradisional UMNO lari ke parti-parti lain, khususnya Pas. Apa sebabnya? Apakah mereka sudah kecewa dan hilang kepercayaan kepada UMNO sebagai parti yang dapat membela nasib mereka atau apakah mereka percaya bahawa Pas dapat menjadi parti Melayu sebagai alternatif kepada UMNO? Dasar-dasar apakah yang dibawa oleh Pas yang menarik perhatian mereka?

Masalah

Saya rasa masalah ‘kuasa Melayu’ tidak terletak pada mana-mana parti politik Melayu atau pada soal ‘kuasa politik’ parti semata-mata. Kuasa politik bukan ditentukan oleh parti politik tetapi oleh rakyat, oleh pengundi. Sama ada kita suka atau tidak suka inilah demokrasi. Kuasa politik bukan terletak pada UMNO, atau Pas, atau DAP atau PKR tetapi pada rakyat. Dan rakyat hari ini, terutama golongan muda - ini termasuk pengundi Melayu yang masih merupakan pengundi majoriti di negara ini - nampaknya tidak lagi memilih parti hanya berdasarkan sentimen kaum tetapi berdasarkan soal sama ada parti itu dapat memerintah negara dengan adil, saksama, seimbang, bersih, cekap dan amanah. Mereka melihat apakah parti itu dipenuhi oleh golongan manusia yang perasuah, orang yang hanya mementingkan diri sendiri, kekayaan sendiri dan kesenangan kaum keluarga dan sahabat handai mereka, atau apakah parti itu dipimpin oleh orang-orang yang bersih dari segala macam rekod moral yang buruk, orang yang bercakap bohong, orang yang lebih mementingkan ekonomi ‘pasaran bebas’, ekonomi mesra pasaran, daripada ekonomi atau pasaran mesra-rakyat. Sehubungan ini saya teringat membaca suatu artikel dalam majalah Newsweek baru-baru ini yang menceritakan dasar ekonomi negeri China. Seorang pegawai tinggi kerajaan China berkata: In China we make the market economy to serve the people and the State, not the market, maksudnya, ‘Di negeri China ekonomi pasaran diarah berkhidmat untuk rakyat dan negara tidak untuk pasaran’. Barangkali kerana inilah China sekarang sedang berkembang untuk menjadi sebuah kuasa ekonomi dunia mengalahkan negara-negara Barat dan Jepun.

Kalau sesebuah parti Melayu diketahui oleh rakyat semua kaum sebagai parti yang ‘bersih’, yang akan memerintah dengan adil tidak kira kaum, saya kira semua kaum akan tertarik dengan parti itu. Ini soal prinsip, soal moral, bukan soal perkauman.

Jadi, soalnya, apakah dan siapakah yang salah jikalau ‘kuasa Melayu’ akan hilang. Jawabnya ialah, yang salah ialah orang Melayu sendiri, bukan kaum-kaum lain. Diberi kuasa yang banyak oleh rakyat, terutama pengundi Melayu, kuasa itu tidak digunakan dengan baik dan bijaksana; kuasa itu disalahgunakan, sehingga berlaku beberapa banyak skandal berlaku, skandal rasuah, skandal jenayah, skandal ekonomi. Selama 50 tahun orang Melayu mempunyai kuasa untuk mempertahankan hak dan kepentingan Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan, dalam soal dasar bahasa, dalam soal budaya dan lain-lain lagi, tanpa menjejaskan kepentingan kaum-kaum lain yang juga perlu diperjuangkan oleh penguasa-penguasa politik Melayu itu dengan adil dan saksama, sebagaimana dituntut oleh Perlembagaan, tetapi sejak mutakhir ini nampaknya keadaan orang Melayulah yang semakin terdesak. Maka lahirlah badan bukan kerajaan Melayu seperti Perkasa untuk mewakili suara dan keadaan rakyat Melayu yang terdesak itu.

Kemiskinan di kalangan orang Melayu, penduduk majoriti negara ini, dan kemiskinan di kalangan kaum lain juga makin meningkat. Jurang perbezaan antara golongan terkaya dengan golongan majoriti yang susah semakin membesar. Jikalau dasar ekonomi negara ini mesra-rakyat, keadaan ini sepatutnya tidak berlaku. Kita sibuk memajukan keadaan fizikal negara tetapi lupa memajukan keadaan moral rakyat dan negara serentak atau selaras dengan kemajuan materialistik.

Nasihat saya kepada orang UMNO ialah, tumpukan perhatian kepada reformasi atau transformasi moral dan budaya politik dalam UMNO. Ini akan menjadi asas atau ‘model’ untuk membolehkan UMNO menjadi ‘pejuang bangsa Melayu’ yang kredibel dalam bidang-bidang ekonomi, pendidikan dan sosial merentas kepentingan peribadi anggota-anggota parti itu sendiri. Saya tidak berkata bahawa ‘moral’ anggota-anggota dan kepimpinan parti-parti lawan semuanya bersih, hebat, cemerlang, Tidak. Yang penting ialah UMNO sebagai parti Melayu yang terbesar (atau masih terbesar?) hendaklah memperbaiki dan menampilkan imejnya sebagai parti yang benar-benar berjiwa ‘kebangsaan’, parti yang dapat menjadi pilihan utama rakyat, tidak sahaja rakyat Melayu tetapi juga rakyat bukan Melayu berdasarkan prinsip-prinsip keadilan, keseimbangan dan kesaksamaan merentas kepentingan kaum dan kepentingan peribadi para anggota parti.

Akhir kata, ‘kuasa Melayu’ tidak bererti kuasa untuk orang Melayu yang berkuasa melakukan apa sahaja menurut nafsu mereka, memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu dan memusnahkan hak dan kepentingan bukan Melayu. Kuasa Melayu bererti kuasa untuk mentadbirkan negara dengan cekap, adil, bijaksana, bersih, bertanggungjawab untuk kepentingan negara, bukan untuk kepentingan etnik atau kepentingan golongan dan orang-orang perseorangan yang berkepentingan peribadi. Kuasa Melayu tidak bererti kuasa anti-bukan Melayu, atau hanya kuasa pro-Melayu, tetapi kuasa untuk semua rakyat, kuasa untuk mewujudkan kemajuan, kesejahteraan, kemakmuran untuk semua rakyat. Kalau ini maksud kuasa Melayu, tidak ada sebab mengapa rakyat mesti takut kepada kuasa ini. Yang kita takut ialah, jika kuasa Melayu ini diberikan kepada atau jatuh ke tangan orang Melayu yang tidak layak menerimanya dan tidak mampu menggunakannya dengan sebaik-baiknya untuk kepentingan negara.