Penemuan arkeologi terbaru bukti Kepulauan Borneo didiami sejak 100,000 tahun lalu
by Sudan Ajang
September 28, 2010, Tuesday
MIRI: Penemuan arkeologi dan sejarah terbaru di Lahad Datu, Sabah telah membuktikan bahawa Kepulauan Borneo yang merangkumi pulau utama (Pulau Borneo) dan pulau-pulau kecil sekitarnya telah didiami oleh manusia sejak 100,000 tahun dahulu.
Tapak arkeologi terbuka Mansuli itu yang berjaya ditemui oleh sekumpulan ahli arkeologi dan sejarawan dari United Kingdom (UK) dan Sabah, dianggarkan berusia 100,000 tahun iaitu lebih tua dari tapak arkeologi Gua Niah di Sarawak.
Pengarah Muzium Sarawak, Ipoi Datan berkata, penemuan ini membuktikan ada lagi tapak arkeologi yang paling tua di Kepulauan Borneo selain Gua Niah.
“Penemuan terbaru ini menunjukkan Kepulauan Borneo sudah didiami oleh manusia sejak 100,000 tahun lalu berbanding penemuan di Gua Niah yang menunjukkan penemuan manusia berusia 42,000 tahun.
“Penemuan ini juga merupakan sebahagian kerta kerja yang akan dibentangkan semasa Seminar Antarabangsa Arkeologi Borneo yang berlangsung pada 27 hingga 31 Oktober di Miri,” katanya semasa sidang media di Mu-zium Sains Petroleum Miri semalam.
Hadir sama Penolong Kurator Muzium Sarawak, Mohd Sherman Saufi dan Pegawai Hubungan Awam Muzium Sarawak, Muhd. Zakeria Hattar.
Beliau menambah, kira-kira 30 kertas kerja akan dibentangkan meliputi semua aspek pra sejarah, tapak arkeologi dan pemuliharaan tapak arkeologi di seluruh Malaysia termasuk Sabah, Sarawak, Semenanjung selain Kalimantan, Brunei, Australia dan Filipina. “Penceramah terdiri daripada ahli sejarawan dan arkeologi dari Malaysia, Brunei, Kalimantan, Filipina, Australia dan UK,” katanya sambil menambah ini kertas kerja tersebut meliputi topik yang luas dari seluruh era sejarah.
Mengulas lanjut Ipoi berkata, seminar yang bertemakan “The Past, Present & Future Respect” adalah julung kali diadakan di Sarawak yang mana Miri telah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah.
Katanya, sebelum ini seminar tersebut diadakan di Semenanjung Malaysia dan beliau berharap selepas ini ia akan diadakan di Sabah, Brunei dan Kalimantan.
Antara objektif seminar ialah membincangkan penemuan terbaharu tapak warisan arkeologi di Borneo dan Asia Tenggara yang mana maklumat ini akan digunakan ahli arkeologi untuk melihat persamaan dan perbezaan yang dapat dikaitkan dengan teori terkini atau menghasilkan teori-teori baru.
“Selain itu berkongsi maklumat dan kepakaran dalam bidang arkeologi di Asia Tenggara. Melalui seminar ini, ia diharap dapat menganalisa kaedah penyelidikan, mengenalpasti isu dan masalah agar kita dapat menghasilkan penyelidikan saintifik yang lebih baik pada masa depan.
“Pada masa yang sama, mengumpulkan semua arkeologi dari seluruh Asia Tenggara untuk berbincang bagaimana dapat meningkatkan kesedaran tanggungjawab di kalangan mereka. Selain itu, berkongsi maklumat mengenai akta, tapak penggalian, artifak, perlindungan dan pemuliharaan,” kata Ipoi.
Beliau berkata, skop seminar meliputi pra sejarah, proto sejarah, arkeologi bersejarah, arkeologi etno, aplikasi sains dalam arkeologi dan pengurusan serta pemuliharaan tapak atau struktur arkeologi.
“Kita mensasarkan 200 peserta terdiri daripada ahli arkeologi di Brunei, Sabah, Sarawak dan Kalimantan dan Asia Tenggara, ahli akademik berkaitan arkeologi, sejarah, antropologi serta saintis alam sekitar,” tambahnya.
Selain itu pegawai kerajaan terutama dari jabatan kebudayaan, warisan, arkib, perpustakaan dan muzium selain pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah.
Setiap peserta yang mewakili jabatan atau swasta akan dikenakan yuran RM200, individu (RM150) manakala pelajar (RM50).
Bayaran ini termasuk semua maklumat mengenai seminar termasuk kertas kerja sepanjang tiga hari dan lawatan ke Taman Negara Niah dan Rumah Panjang Patrick di Sungai Tangap pada 31 Oktober.
Tarikh tutup untuk pendaftaran ialah pada 10 Oktober 2010 dan sila hubungi Mohd Radzi Ahmad di talian 019 – 2220412 atau fak 03 – 92810186 atau Mohd Sherman Sauffi/Awang Abdullah/ Nicholas Daby di talian 082 – 244 232 untuk keterangan lanjut.
Sementara itu, seminar ini dianjurkan bersama Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan dan Warisan Sarawak, Jabatan Muzium Sarawak dan Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia.
Majlis perasmian pada 27 Oktober dijangka akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud manakala Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan Dato Seri Utama Dr Rais Yatim dijangka merasmikan penutupan pada 30 Oktober.