Pelajar dibuli rakan sekolah
by Mastura IsmailFebruary 25, 2010, Thursday
Aksi buli dirakam ke dalam telefon bimbit, mangsa ditumbuk dan ditendang
LIMBANG: Sekumpulan pelajar Sekolah Menengah di Limbang bertindak lebih berani apabila dilaporkan merakam dan memasukkan aksi buli yang dilakukan ke atas seorang pelajar lain ke dalam telefon bimbit sejak cuti Tahun Baru Cina lalu sebelum disaksikan sendiri oleh ibu bapa mangsa buli kelmarin.
Rakaman klip video lima minit itu dipercayai dilaku di sebuah bilik asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Limbang.
Ia memaparkan mangsa yang tidak berbaju dan berseluar biru dibelasah kira-kira lima pelajar senior, termasuk dipukul, ditendang sehingga mangsa cedera di bahagian muka dan badan.
Mangsa buli terbabit dipercayai seorang pelajar Tingkatan Dua, manakala pelajar yang memukulnya adalah pelajar Tingkatan Tiga sekolah yang sama.
Mangsa merayu supaya tidak dipukul, tetapi tidak diendahkan, sebaliknya mereka secara bergilir-gilir memukul dan menendang mangsa.
Difahamkan kejadian tersebut kini tersebar luas melalui rakaman telefon bimbit di sekitar daerah Limbang.
Ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, mereka menyedari perbuatan buli tersebut melalui tayangan video yang dirakam melalui telefon bimbit yang diberikan kawannya pada petang kelmarin.
“Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa apabila rakan saya menawarkan video terbaru dari sekolah terbabit (SMK Agama).
“Setelah meyaksikan rakaman itu, saya terkejut kerana mendapati anak saya yang hanya berseluar biru dan tidak memakai baju itu menjadi mangsa buli,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo semalam.
Beliau berkata, anaknya bukan sahaja ditumbuk bertalu-talu tetapi juga disepak oleh pelajar senior berkali-kali.
“Anak saya merayu supaya tidak dipukul tetapi tidak diendahkan, sebaliknya mereka secara bergilir-gilir memukul dan menendang anak saya tanpa belas kasihan,” katanya lagi.
Beliau berkata, anak ke-duanya itu berubah menjadi pendiam sejak cuti Tahun Baru Cina lepas.
“Dia tidak menceritakan kejadian berkenaan kepada kami. Namun, dia berubah menjadi seorang yang pendiam selepas menghabiskan cuti seminggu di kampung baru-baru ini.
“Malah ahli keluarga kami berasa hairan dengan perubahan sikapnya itu.
“Selain itu, anak saya juga mengadu lebam di bahagian mata kanannya ketika kami menghantar beliau ke sekolah selepas habis cuti Tahun Baru Cina lepas,” katanya.
Beliau menambah, sebelum ini anaknya sering meminta kepada ibu bapanya untuk bertukar sekolah.
“Rupa-rupanya kejadian tersebut ada kena mengena dengan permintaannya untuk berpindah ke sekolah sebelum ini,” jelas beliau.
Katanya lagi, pihak sekolah seharusnya memaklumkan perkara tersebut lebih awal dan memanggil mereka ke sekolah.
“Apa yang mengecewakan kami insiden itu tidak dimaklumkan kepada kami walaupun pihak sekolah mengetahui perkara tersebut.
“Malah, kami hanya menyedari kes tersebut melalui rakaman telefon bimbit,” katanya lagi.
Ibu bapanya yang berasal dari Lawas sudah membuat laporan polis di Balai Polis Limbang petang kelmarin.
“Ia memalukan dan tidak wajar berlaku. Saya kesal kerana tidak dimaklumkan lebih awal mengenai perkara ini dan hanya mengetahui mengenainya selepas melihat rakaman telefon bimbit.
“Saya sudah meminta pihak berkuasa melakukan siasatan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Polis Limbang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu Isnin lalu, dan pihaknya sudah memulakan siasatan.
Dalam pada itu, usaha Utusan Borneo untuk menghubungi Penolong Kanan sekolah terbabit gagal kerana beliau berada di luar kawasan.