Wednesday, February 10, 2010

:: Isu Perak: Kata DS Najib dan DS Nizar

Jangan Terlibat Kegiatan Politik Tidak Hormati Keputusan Mahkamah - Najib

PUTRAJAYA, 9 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berharap rakyat Perak akan menumpukan kepada usaha pembangunan negeri itu dan tidak terlibat dalam sebarang kegiatan politik yang dianggap tidak menghormati keputusan mahkamah.

Perdana Menteri berkata sudah sampai masanya, semua pihak memberi tumpuan dan peluang kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menunjukkan kemampuannya bagi membela rakyat dan membangunkan negeri itu.

"Alhamdulillah, dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi sekali dalam sistem kehakiman kita, bererti isu dan saga siapa yang patut menjadi Menteri Besar dan bentuk kerajaan di Perak sudahpun muktamad.

"Saya berharap keputusan ini bererti isu ini sudah pun selesai sepenuhnya dan tidak wajar dan tidak patut sesiapa pun membangkitkan apa-apa lagi pertikaian berhubung dengan kesahihan kerajaan Perak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara GIIG Holdings Sdn Bhd dan Aluminium Corporation of China Limited untuk membangunkan kilang peleburan aluminium di Samalaju Industrial Park di Bintulu, Sarawak, di sini pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel lima hakim.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata semua pihak patut menerima hakikat berhubung keputusan mahkamah tertinggi itu walaupun mereka yang kalah mungkin mempunyai pandangan yang berlainan.

Najib berkata pada masa ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak hendak menumpukan kepada usaha memberikan khidmat terbaik kepada rakyat negeri itu.

Beliau berkata apa jua isu berkaitan pentadbiran kerajaan BN Perak boleh ditimbulkan apabila tiba pilihan raya umum akan datang.

"Apabila sampai pada masanya iaitu pilihan raya umum, rakyat boleh membuat penilaian yang sebenarnya. Sekarang bukan masa untuk kita berarak sana sini atau mengadakan perhimpunan di luar ke atau di bawah pokok atau di mana-mana pun... tidak perlu.

"Hanya tunggu masa pilihan raya umum nanti kalau rasa hendak buat apa-apa keputusan...pilihan raya masa yang sewajarnya," kata beliau.

-- BERNAMA


**************************************

RAYUAN DITOLAK HAKIM MAHKAMAH PERSEKUTUAN

Asalamalaikum dan salam sejahtera.

Keputusan penolakan rayuan saya oleh 5 orang hakim mahkamah persekutuan di Putrajaya pagi tadi (9 Feb 2010) telah diduga dan ramai rakyat Malaysia jua mengagakkan yang sama. Namun keputusan yang mengiyakan keputusan mahkamah rayuan terdahulu, tidak sekali menghalalkan rampasan kuasa kerajaan PR oleh Najib Tun Razak pada 5 Feb 2009. Ia juga tidak mengesahkan/ menghalalkan kerajaan BN yg diterajui oleh YB Zambry Kadir.

Apa yang jelas, hakim telah mengenepikan segala prinsip perlembagaan dan dahuluan (precedents) yang dibuat terdahulu oleh ramai hakim terulung dalam kes yang seakan2 sama sebelum ini. Kita menerima dengan terbuka hati dalam kesedihan kerana keputusan ini cukup berisiko tinggi di masa akan datang bagi negara Malaysia yang mengamalkan sistem pengasingan kuasa, demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan. Keputusan ini cukup merbahaya kepada masa depan falsafah dan doktrin ini.

Implikasinya ialah Yg di Pertuan Agong atau Sultan berkuasa memecat dan melantik sesiapa sahaja sebagai Perdana Menteri atau MB tanpa ke Parlimen atau DUN. Sistem pilihanraya juga boleh tercemar. Ini yang dikhuatiri akibat keputusan tesebut.

Apapun kita tetap percaya bahawa mahkamah hanya mentafsir undang2 dan penentuan siapa kerajaan dan siapa MB mesti ditentukan oleh rakyat melalui pilihanraya bebas dlm pembubaran DUN. Saya merayu agar semua penyokong PR khususnya di Perak agar bertenang dan bersabar dlm menghadapi masa yang getir ini. Yakin dan percayalah bahawa pasti ada hikmah dan barakah dalam ketentuan pagi tadi. Jangan kita bertindak melulu dan liar serta membuat sesuatu provokasi. InshaAllah kita akan atur strategy bagi menghadapi sebarang kemungkinan kerana masih ada 2 kes di mahkamah tinggi KL dan mahkamah session Ipoh untuk menentukan status dan kedudukan 3 ekor katak yg melompat tempoh hari. Kita trus berdoa.

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh warga dan rakyat Perak yg menyokong PR dan akan trus menyokong PR demi keadilan dan kebenaran terlaksana di Perak. Saya juga bermohon banyak kema'afan dan keampunan kepada semua jika terdahulu ada terkeluar kata2 atau perwatakan yang tidak disengajakan. Lawan tetap lawan bagi memulihkan demokrasi dan memberi semula hak kepada rakyat Perak yang mana hak tersebut telah di rampas oleh UMNO BN. Tertanya juga kadang2 bahawa masih ada tangan2 ghaib yang menghantui kebebasan hakim sehingga tergamak sedemikian rupa!!

Selamat berjuang. Hidup Rakyat.!!

8 komen