Thursday, February 18, 2010

:: Kes buli di SMK Bandar Semariang ?

Lima pelajar perempuan ditahan kes buli

Oleh Mohd Roji Abdullah
mdroji@bharian.com.my

KUCHING: Lima pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Semariang, di sini, ditahan bagi membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar berusia 15 tahun, Jumaat lalu.

Semua pelajar terbabit ditahan di rumah masing-masing semalam, selepas polis menerima laporan mangsa, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Huzir Mohamed, berkata lima pelajar terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Kes ini agak serius kerana mereka melakukan kekerasan terhadap mangsa secara beramai-ramai, tetapi polis sedang meneliti sama ada mereka perlu ditahan reman," katanya.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi Jumaat lalu, seorang pelajar perempuan SMK Bandar Semariang, mendakwa dibelasah sekumpulan pelajar perempuan sekolah sama.

Mangsa terjatuh selepas ditolak kumpulan penyerangnya dikatakan turut ditendang, dipijak dan tudungnya tertanggal selepas ditarik.

Seorang penyerang dikatakan bekas rakan karib mangsa dan dendam dipercayai punca kejadian itu.

Ibu mangsa, Hazleena Bujang Ali, 36, berkata sebelum kejadian itu anaknya dipanggil oleh seorang pelajar perempuan yang juga bekas rakan karibnya untuk menyelesaikan salah faham antara mereka.

"Setibanya di satu sudut di sekolah itu, sekumpulan pelajar lain sedang menunggu dan mereka terus membelasah mangsa tanpa belas kasihan.

"Anak saya menjerit, merayu supaya tidak dibelasah, tetapi kumpulan itu terus menendang dan memijaknya.

“Lebih menyayat hati perbuatan itu dirakam menggunakan telefon bimbit oleh salah seorang daripada rakan kumpulan penyerang dan saya sudah menyalin rakaman itu," katanya.

Hazleena berkata, berikutan kejadian itu anak sulungnya yang masih trauma, takut untuk kembali ke sekolah minggu depan kerana bimbang keselamatannya diancam.

"Anak saya juga sering mengadu sakit kepala dan pening selepas kejadian itu tetapi kami belum membawanya menjalani pemeriksaan lanjut kerana tidak mampu menanggung kos x-ray," katanya.

(Sumber: Berita Harian - 18.02.2010)