Guru lama mohon tukar ditolak
SETIAP kali pertukaran guru diumumkan, negeri Kelantan dan Terengganu adalah negeri yang paling kritikal. Berbagai cerita didengar, pertukaran guru dibekukan kerana penempatan guru sudah penuh. Namun begitu ada juga yang dapat bertukar ke Kelantan dan Terengganu. Saya sudah lebih 10 tahun mengajar di Kuala Lumpur dan beberapa kali memohon pertukaran. Namun keputusannya tetap sama, permohonan ditolak. Rumah yang saya beli di kampung sudah lima tahun siap, di Kuala Lumpur saya masih menyewa.
Saya agak kecewa kerana kawan saya yang baru empat atau lima tahun mengajar, sudah dapat bertukar balik ke Kelantan atau Terengganu tanpa alasan kukuh. Apabila ditanya, jawapannya, guna `orang dalam`.
Apabila keputusan pertukaran disemak bermula pada 6 November lalu, saya agak terkejut kerana dimaklumkan bahawa ada beberapa guru mendapat surat pertukaran yang dihantar Jabatan Pendidikan Negeri pada hari sama, siap dengan nama sekolah, sedangkan guru lain masih berdebar untuk menyemak keputusan kerana laman web untuk semakan pertukaran mengalami masalah pada hari berkenaan (6 November) dan keputusan hanya dapat disemak pada sebelah petang.
SAMPAI BILA,
Setapak, Kuala Lumpur.