Permatang Pasir jadi momentum perubahan PRU13 |
Dzulfikar Mashoor Tue | Aug 25, 09 | 10:50:07 pm MYT | |||||||
BUKIT MERTAJAM, 25 Ogos: Pakatan Rakyat berkeyakinan kemenangan calon PAS Mohd Salleh Man di Dun Permatang Pasir dengan 4,551 majoriti mengalahkan calon Umno, Rohaizat Othman akan memperkukuhkan momentum untuk mengambil alih kerajaan persekutuan dalam pilihanraya umum ke-13 kelak.
Naib Presiden PAS yang juga Pengarah pilihanraya ini, Datuk Mahfuz Omar, menganggap Umno semakin sukar memadamkan momentum perubahan rakyat bersama Pakatan sejak pilihanraya umum 8 Mac tahu lalu lagi. "Umno sudah kalah 7 (kali) dan menang di Batang Ai sahaja. Kalau main bola, secara kebiasaannya itu (kekalahan berterusan) menandakan bahawa Umno akan kalah dalam permainan keseluruhannya...pilihanraya ke-13 kelak. "Hari ini (25 ogos) adalah hari jadi saya (dan) saya kira ini hadiah hari jadi saya. Pilihanraya ke-13 kelak, rakyat pula dapat hadiah kemenangan peringkat persekutuan, insyaAllah." Bagi beliau, Umno tidak boleh lagi kata ini (kemenangan) sama dengan kemenangan mereka di Manik Urai, kononnya berjaya kurangkan majoriti (sehingga) 65 undi. "Najib (Perdana Menteri) boleh katakah Umno berjaya di Permatang Pasir, sedangkan Pakatan dapat empat ribu lebih (4,551 undi)." Nada yang sama turut disampaikan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng. Menurut Lim Guan Eng, Pakatan Rakyat bukanlah seperti yang digembar-gemburkan oleh Umno sebagai Pakatan yang 'rapuh'. Sebaliknya, Pakatan Rakyat mampu menggantikan BN dalam pilihanraya umum akan datang berdasarkan kekalahan berterusan parti-parti pemerintah. "Ini (Dun Permatang Pasir) bukan sahaja kemenangan bagi kerajaan negeri dan rakyat seluruh Pulau Pinang, tapi suatu terjemahan perasaan rakyat bahawa Umno sedang ditolak berterusan dalam setiap kali pilihanraya (kecil) yang diadakan." "Ini (kemenangan) menunjukkan sokongan kuat pada kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat (iaitu) DAP, PAS dan PKR. Bukan seperti Umno katakan, Pakatan kita (adalah) pakatan yang rapuh." "Bukan seperti Umno (dan) Barisan Nasional yang mengabaikan rakyat. Pakatan (rakyat) yang kukuh ini boleh memenangi pilihanraya (ke-) 13 nanti, sebab rakyat mahu sebuah (kerajaan) persekutuan yang ada 'jiwa' Malaysia, bukannya perkauman sempit." Timbalan Ketua Menteri 2, Dr. P. Ramasamy yang ditemui kemudian mengganggap kemenangan berterusan Pakatan Rakyat ini boleh menjadi 'gelombang perubahan' yang besar di Dun Seputeh, jika berlaku pilihanraya kecil; dan nasional. "Memanglah (benar). Saya tidak perlu sebutlah (soal kemenangan). Kemenangan ini sudah jadi gelombang...tentu jadi gelombang di (Dun) Seputeh jika jadi pilihanraya." "(Dun Permatang Pasir) sudah jadi gelombang perubahan yang berterusan Pakatan ke peringkat nasional juga." Bercakap di luar tempat perjumlahan pengundi IKBN kemudian, Salleh menganggap kemenangan tersebut bukan kejayaan peribadinya sahaja, tetapi kejayaan Pakatan Rakyat peringkat negeri dan federal. Ujarnya, Permatang Pasir mampu menjadi 'pembakar semangat' sekurang-kurangnya di Dun Seputeh, di samping pilihanraya ke-13 kelak. "Ini (kemenangan) bukan untuk saya, biarpun saya mewakili PAS bertanding di Permatang Pasir. Ini (kemenangan) untuk Pakatan Rakyat negeri (Pulau Pinang) dan semua kepimpinan pusat." "Kalau boleh, kemenangan ini jadi 'pembakar semangat'...sekurang-kurangnya di Kuala Seputeh jika jadi pilihanraya... pilihanraya ke-13 lebih-lebih lagilah." Daripada 14,832 atau 73.1% pengundi yang turun mengundi, Salleh memperoleh 9,618 undi, manakala Rohaizat mendapat 5,067 undi. Pada Mac tahun lalu, bekas penyandang Allahyarham Dato' Mohd Hamdan Abdul Rahman mendapat 5433 undi majoriti; dari 20,350 atau 82.5% undi keseluruhannya. Disebabkan peratusan turun mengundi berkurang sebanyak 9.4% dari piliharaya sebelumnya, bermakna undi tradisi PAS dan Umno juga masing-masing turut menyusut sebanyak 12.6% (1386 undi) dan 9.5% (504 undi). Tuntas bagi PAS/Pakatan adalah berjaya mengekalkan status quo mereka di 'kubu kuat' PAS tersebut. Manakala, Umno tidak boleh lagi menjadikan pilihanraya kali ini sama seperti Manek Urai - bukti rakyat mula menerima mereka dan menolak Pakatan Rakyat lagi. Selain kalah di Dun Permatang Pasir, Umno BN pernah kalah berterusan di Parlimen Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang; dan Dun Bukit Selambau serta Penanti sebelum ini. _ |