Baginda Sultan merasmikan BRIDEX 2009
Oleh Sim Y. H. & Awangku Fairol RMF
Oleh Sim Y. H. & Awangku Fairol RMF
Baginda Sultan dan Raja Abdullah II berangkat menyaksikan Pameran dan Persidangan Pertahanan Antarabangsa Brunei Kedua (BRIDEX) 2009 di Jerudong. Berangkat sama ke majlis berkenaan ialah Pengiran Muda Mahkota.
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bersama Raja Jordan, Raja Abdullah II hari ini berkenan berangkat dan merasmikan Pameran dan Persidangan Pertahanan Antarabangsa Brunei Kedua (BRIDEX) 2009 di Jerudong.
Berangkat sama ke majlis berkenaan ialah Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Azim, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Keberangkatan Baginda Sultan, Raja Jordan serta kerabat diraja dijunjung Timbalan Menteri Pertahanan, Pehin Kolonel (B) Dato Seri Paduka Haji Mohammad Yasmin Haji Umar dan Pemerintah ABDB, Pehin Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Halbi Haji Md Yussof, Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Dato Paduka Haji Abdul Majid Haji Mangarshah, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan serta delegasi jemputan antarabangsa.
Sejurus memasuki premis Kubah Tengah BRIDEX, Baginda Sultan dan Raja Abdullah II disembah kenalkan kepada delegasi antarabangsa dan seterusnya berkenan merasmikan bangunan Pusat BRIDEX serta menyaksikan tayangan klip video ringkas yang menerangkan mengenai kemudahan yang terdapat di bangunan berkenaan.
Baginda Sultan dan Raja Abdullah II kemudian dijunjung ke aras 1, Kubah bagi menyempurnakan perasmian BRIDEX 2009 dan berkenan menyaksikan persembahan udara oleh pesawat pejuang F-16 Tentera Udara Singapura, pertunjukan udara oleh helikopter Bell 412 dan pertunjukan pesawat pejuang Sukhoi SU-30 MKM Strike Fighter daripada Tentera Udara Diraja Malaysia.
Baginda Sultan dan Raja Jordan kemudian berkenan berangkat menyaksikan pertunjukan simulasi senario pertempuran laut dan darat yang menunjukkan keupayaan FNSS Savunma Sistemleri A.S Turki, ACV-300 IFV & Renault Trucks Defence, Sherpa 3, North Sea Boats, Surabaya Indonesia (LS&A of Brunei), Rigid Inflatable Boats (RIBS), Tentera Laut Singapura, Endurance, Tentera Laut Amerika Syarikat USS Russell, Tentera Laut Perancis, FNS Somme, Tentera Laut, Tentera Pembebasan Rakyat China dan Tentera Laut India, INS Khukri.
Kemudian Baginda Sultan dan Raja Jordan berkenan berangkat ke Bangunan Sayap Barat Dewan Pameran untuk menyaksikan pameran negara peserta termasuk Australia, Bulgaria, Kanada, Perancis, Itali, Jepun, Korea, Norway, Pakistan, Turki, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Seterusnya Baginda Sultan dan Raja Jordan berkenan berangkat ke Bangunan Sayap Kiri Dewan Pameran bagi menyaksikan pameran dari Brazil, Brunei, China, Jerman, India, Indonesia, Malaysia, New Zealand, Poland, Singapura, Sweden, Jordan dan Thailand.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Baginda Sultan dan Raja Jordan berkenan menghadiri majlis santap di Dewan Persidangan serta berkenan menandatangani Parchment Diraja.