Sunday, August 30, 2009

:: Apa ertinya menjadi orang Melayu

Apa ertinya menjadi orang Melayu! oleh Zin Mahmud

Artikel ini disalin daripada ARKIB Utusan Malaysia pada 28 Ogos 2009

Pelbagai pihak membuat bermacam-macam komen terhadap orang Melayu. Ada yang mengkritik sikapnya, budayanya dan juga bahasanya. Orang Melayu bersifat perkaumanlah. Bahasa Melayu juga dikecam dengan pelbagai pendapat, termasuklah bahasa Melayu itu tidak sesuailah dengan zaman. Oleh sebab itu orang Melayu hendaklah menguasai bahasa Inggeris supaya selamat.

Biarlah mereka mengemukakan bermacam-macam komen, tetapi sudah ditakdirkan orang Melayu dilahirkan Melayu. Bukan pilihan mereka menjadi Melayu. Tetapi semenjak lahirnya dia sudah menjadi Melayu. Tidaklah juga menjadi persoalan bahawa ada antara Melayu itu yang keturunannya bukan Melayu, malah ada yang tidak miliki darah setitik pun keturunan Melayu, tetapi mereka mahu menjadi Melayu.

Hakikatnya Melayu bukannya kaum yang berdasarkan darah keturunan. Melayu adalah bangsa yang berasaskan budaya tersendiri. Sesiapa mengamalkan budaya berkenaan, jadilah dia Melayu. Tetapi menjadi Melayu mempunyai keseronokannya tersendiri.

Walaupun orang Melayu banyak ketinggalan, dan ramai daripadanya jahil dan miskin, tetapi tidak pula mereka mahu bertukar menjadi bangsa lain; menjadi bangsa Amerika umpamanya, atau China, Arab dan lain-lain. Mereka tetap mahu menjadi Melayu.

Ciri utama orang Melayu Malaysia adalah agamanya. Walaupun banyak orang Melayu lemah dalam amalan agamanya, atau jahil tentang agamanya tetapi mereka tetap mahu berpegang pada Islam. Tetapi bukan sebarang Islam. Agama yang diamalkan oleh orang Melayu adalah Sunnah wal Jamaah, jenis mazhab Syafii. Kecuali Perlis.

Walaupun ada orang Melayu yang mempunyai fahaman liberal tentang agama, tetapi pada asasnya dalam kehidupan masyarakat mereka mahu mengamalkan agama seperti yang digariskan oleh ulama-ulama Melayu.

Golongan ulama inilah yang antaranya bekerja dengan pihak berkuasa negeri-negeri yang mentafsirkan agama supaya diikuti oleh orang Melayu. Ulama ini antaranya adalah seperti mufti; mufti itu dilantik oleh Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing dan Yang di-Pertuan Agung bagi negeri yang tidak beraja.

Agama

Maka agama di negara ini dikaitkan pula dengan Raja-Raja Melayu. Inilah juga ciri-ciri orang Melayu, iaitu meletakkan kedaulatan raja-raja mereka. Mungkin segelintir orang Melayu bersifat antifeudal dan republikan, tetapi umumnya orang Melayu tetap mempertahankan raja mereka.

Daripada istana-istana ini, mengalirlah budaya bagi adat-adat istiadat Melayu, baik di peringkat pertabalan raja-raja hinggalah kepada amalan masyarakat. Orang Melayu menganut dua sistem adat iaitu; Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Adat Perpatih hanya berlaku di Negeri Sembilan. Walaupun orang Melayu sudah moden dan kurang memerhati adat tetapi apabila mereka bertunang dan berkahwin, terserlahlah bahawa mereka masih mahu mengikut adat Melayu.

Bila hari raya pula, mereka bersungguh-sungguh menyambutnya mengikut adat Melayu. Mereka seronok menjadi orang Melayu. Mereka menggunakan bahan-bahan kraf tangan Melayu. Mereka pakai pakaian Melayu. Mereka makan kuih Melayu dan makanan tradisional lainnya. Di atas segala-galanya ini, mereka suka mendengar lagu Melayu, menonton konsert dan teater Melayu. Klasik Nasional menjadi rakaman jiwa Melayu.

Bahasa

Namun begitu, ciri utama yang menjadikan Melayu istimewa adalah penggunaan bahasa Melayu. Walaupun ada pihak menghina bahasa Melayu yang tersiar dalam akhbar-akhbar bahasa Inggeris, tetapi bahasa Melayu mempunyai keindahannya tersendiri yang tidak akan dilepaskan oleh orang Melayu.

Mereka mungkin bertutur dalam bahasa rojak. Atau, mereka sudah menguasai bahasa Inggeris bagi memajukan kerjaya mereka. Tetapi bahasa Melayu akan mereka pertahankan dan kembangkan juga. Mereka akan menjunjung sastera Melayu. Buku-buku dalam bahasa Melayu akan terus ditulis dan diterbitkan walaupun ia tidak tersebar ke seluruh dunia.

Mengapa pula orang Cina mempertahankan bahasa China dan orang India mempertahankan bahasa Tamil tidak dihina sebegitu rupa berbanding dengan apabila orang Melayu mempertahankan bahasanya sendiri?

Agama, raja, adat istiadat, budaya dan bahasa mencirikan orang Melayu. Tetapi bukan itu saja. Ada dua lagi yang menjadikan kehidupan orang Melayu menyeronokkan. Pertama adalah negara dan kedua usaha memajukan diri.

Seringkali disebut bahawa perjuangan orang Melayu adalah mempertahankan agama, bangsa dan tanah airnya. Walaupun orang Melayu bersedia untuk berkongsi tanah air dengan kaum lain yang menjadikan Malaysia negara mereka, tetapi orang Melayu tetap menganggap negara ini asas dan asalnya adalah Melayu. Biarlah orang menamakan Tanah Melayu itu Malaya. Tetapi ia tetap asal dan asasnya negeri-negeri Melayu. Malaysia hanyalah sebuah persekutuan tetapi entiti sebenar adalah negeri-negeri yang bergabung di dalamnya.

Dari Perlis hingga ke Sabah, inilah tanah air orang Melayu yang hidup bersama dengan kaum-kaum lain. Walaupun ada antara mereka merantau ke seluruh dunia, tetapi jika diberi pilihan, kebanyakannya mahu kembali bermastautin di Malaysia, terutama di kampung-kampung. Apabila setelah bersara, kebanyakan orang Melayu akan menghabiskan masa hidupnya berkisar kepada surau dan masjid yang berhampiran dengan rumahnya. Dan jikalau dia mampu, hendak rasanya mereka membina rumah berseni bina Melayu.

Akhir sekali, ciri penting orang Melayu adalah kesediaannya untuk berubah bagi mencapai kemajuan dalam pendidikan dan ekonomi untuk diri dan bangsanya.
Sejarah pendidikan orang Melayu dan usaha untuk memajukan diri dalam ekonomi sentiasa menjadi tema para cendekiawan Melayu, baik dari kalangan agama mahupun sastera dalam tahun-tahun 1920-an. Orang Melayu sentiasa sedar tentang kelemahan bangsanya dan dari situ akan terus berusaha untuk maju.