Thursday, August 06, 2009

:: Kemarau menyerang Sarawak?


Main Page » Utusan Borneo » Tempatan »
Thursday, August 6th, 2009

Sekolah berasrama mungkin ditutup

KUCHING: Sekolah-sekolah berasrama yang berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan air pada musim kemarau ini mungkin akan ditutup jika keadaan bertambah buruk, kata Pengarah Pelajaran Sarawak Dr Julaihi Bujang.
“Kita sekarang memantau keadaan di SMK Suai (Miri) dan SMK Belawai (Mukah). Pada masa sekarang kita mampu mengatasi masalah di SMK Suai,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, Jabatan Pelajaran Negeri bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Negeri serta Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam urusan membekalkan air ke sekolah yang terjejas.

Kesan fenomena El Nino mula dirasai di negeri ini apabila dianggarkan 18,000 penduduk khasnya di kawasan pesisir pantai Sarawak terjejas dan berhadapan dengan masalah kemarau sejak hampir sebulan lalu.

Isnin lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata lapan bahagian di Sarawak yang terjejas teruk akibat kemarau setakat ini adalah Kuching, Samarahan, Betong, Sarikei, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang. Menurutnya fenomena El-Nino dijangka akan berlarutan sehingga bulan September ataupun Oktober dan ia menyebabkan cuaca kering dan kurangnya jumlah taburan hujan sehingga 50 peratus.

Sementara itu, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata penutupan sekolah merupakan langkah terakhir yang diambil jika masalah kekurangan bekalan air bersih berlaku di sekolah-sekolah berikutan musim kemarau akibat fenomena El Nino.

Beliau berkata, musim kemarau yang berlaku di beberapa bahagian negeri ini ketika ini memberi kesan serius terutama melibatkan sekolah-sekolah luar bandar yang bergantung sepenuhnya kepada air hujan dan sungai. “Tindakan menutup sekolah merupakan langkah terakhir yang dilakukan oleh kerajaan dalam situasi berdepan masalah kemarau kerana Jawatankuasa Bantuan Bencana Negeri sentiasa memantau dan menghulurkan bantuan kepada sekolah-sekolah yang terjejas. “Kerajaan juga telah membuat persediaan kerana keadaan kemarau dijangka bertambah buruk dalam tempoh dua bulan dari sekarang berikutan fenomena El Nino,” katanya ketika ditemui pemberita. Beliau berkata demikian dalam majlis ‘Sarawak Roundtable: Boosting The Calibre Of Today’s Graduates’ anjuran Angkatan Zaman Mansang (AZAM) di Pusat Penerangan Islam di sini, semalam.

Fatimah berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat kini juga giat mengagihkan bekalan air bersih terutama air minuman kepada rakyat di kawasan yang terjejas.
Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata para graduan perlu mengambil kira keperluan majikan dan pasaran kerja hari ini. “Kerajaan membuat pelbagai program untuk melahirkan tenaga kerja yang mapan berasaskan ilmu pengetahuan yang bertepatan dari segi jumlah dan jenis padanan dengan keperluan industri-indusri di bawah SCORE,” tambahnya.