Am
06 Ogos, 2008 12:38 PM
Permatang Pauh: Penamaan Calon 16 Ogos, Pengundian 26 Ogos
06 Ogos, 2008 12:38 PM
Permatang Pauh: Penamaan Calon 16 Ogos, Pengundian 26 Ogos
PUTRAJAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang pada 16 Ogos dan jika ada pertandingan, pengundian pada 26 Ogos ini. Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mengumumkan perkara itu berkata sehubungan itu, SPR menentukan Daftar Pemilih Induk 2007 yang diwartakan pada 5 Februari dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2008 yang diwartakan pada 19 Jun dan dikemaskinikan sehingga 31 Julai lalu digunakan dalam pilihan raya kecil itu. "Seramai 58,459 pemilih yang terdiri daripada 57,969 pemilih biasa dan 490 pemilih pos adalah layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil bagi P.44 Permatang Pauh ini, " katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan selepas SPR mengadakan mesyuarat khas mengenai pilihan raya kecil itu.
Kenyataan itu diberikan oleh Pegawai Perhubungan Awam SPR Sabri Said kepada para wartawan di lobi Ibu Pejabat SPR di sini hari ini. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan sebagai wakil rakyat berkuatkuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada pilihan raya kecil nanti.
Dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas, Wan Azizah memperoleh 30,338 undi bagi menewaskan Datuk Pirdaus Ismail dari Barisan Nasional dengan majoriti 13,388. Kerusi itu juga pernah diwakili oleh Anwar semasa beliau masih dalam Umno. Abdul Rashid berkata writ pilihan raya kecil itu akan dikeluarkan esok (7 Ogos) manakala notis pula dikeluarkan hari berikutnya (8 Ogos). Katanya, SPR telah melantik untuk pilihan raya itu, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah Roslan Yahaya sebagai Pegawai Pengurus dan tiga penolong Pegawai Pengurus iaitu Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai Zainol Abidin Md Noh, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan) Seberang Perai Tengah Kamarul Haizal Koderat, dan Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Seberang Perai Tengah Azizal Ahmad.Abdul Rashid mengingatkan dalam tempoh pilihan raya kecil ini dijalankan, amat penting semua pihak mematuhi arahan pihak keselamatan dalam menjaga ketenteraman dan keselamatan awam. "Oleh itu, semua pihak terutamanya parti-parti politik, calon-calon, petugas-petugas parti dan individu lain yang terlibat perlu sentiasa mematuhi undang-undang pilihan raya serta tatasusila berkempen yang telah ditetapkan.-- BERNAMA