Sabah&Sarawak: Jalan tikus dalam belantara
Oleh Abd Rahman Adam bhnews@bharian.com.my
Oleh Abd Rahman Adam bhnews@bharian.com.my
Laluan haram dikenal pasti jadi tumpuan penyeludup, pendatang keluar dan masuk.
KUCHING: Sebanyak 62 'jalan tikus' atau laluan haram menerusi hutan yang terletak berhampiran sempadan negeri ini dengan negara jiran, dikenal pasti menjadi laluan 'penyeludupan' keluar dan masuk pendatang asing tanpa izin di Sarawak. Kebanyakan jalan tikus itu terletak dalam Daerah Serian iaitu 12 laluan, diikuti Lubok Antu (9); Baram (6); Lundu (6); Belaga (5); masing-masing empat laluan di Sri Aman, Bau dan Kuching; masing-masing tiga laluan di Lawas, Kapit dan Song, Limbang (2) dan Simunjan (1).
Jalan tikus yang yang terletak dekat sempadan Sarawak-Indonesia itu dipercayai menyumbang kepada kemasukan ribuan pendatang asing tanpa izin ke Sarawak pada setiap tahun. Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini saja, seramai 223 pendatang asing tanpa izin ditangkap di Sarawak dalam 34 operasi yang dilancarkan Jabatan Imigresen Negeri. Jumlah itu bagaimanapun berkurangan 18 kes berbanding 241 pendatang asing tanpa izin ditahan di negeri ini bagi tempoh sama tahun lalu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Imigresen Negeri Sarawak, Kadir Sapian, berkata daripada jumlah itu kebanyakan yang ditangkap adalah warganegara Indonesia iaitu 209 orang, diikuti Bangladesh (10), manakala Pakistan dan China masing-masing (2). Beliau berkata, warga asing terbabit ditahan menerusi beberapa operasi bersepadu iaitu operasi Kutip, Sapu, Bolos, Mahir, Selera dan Jaja dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negeri (MKN), polis serta Rela. "Setakat ini, seramai 256 pendatang asing tanpa izin termasuk 22 wanita kini berada dalam tahanan di Depot Tahanan Imigresen Semuja, Serian, dekat sini. Seramai 232 daripada mereka adalah warga Indonesia, diikuti Filipina dan Thailand masing-masing (9), Bangladesh (4), manakala China dan Myanmar masing-masing seorang," katanya kepada Berita Harian Sementara itu, bagi Depo Tahanan Bekenu di Miri, seramai 179 pendatang asing tanpa izin termasuk 14 wanita kini sedang ditahan dan daripada jumlah itu 147 warga Indonesia, Vietnam (13), Filipina (11), Bangladesh (4), Myanmar (3) dan Pakistan (1).
Kadir berkata, faktor geografi termasuk keluasan Sarawak menyukarkan pihaknya mengesan penyeludupan masuk warga asing menerusi jalan tikus. "Sebagai contoh, pendatang asing terbabit tidak menggunakan laluan sama untuk menceroboh masuk ke negeri ini, sebaliknya sering mengubah laluan yang digunakan bagi mengelirukan pihak berkuasa," katanya. Beliau juga tidak menolak kemungkinan kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negeri ini ada kaitannya dengan sindiket yang didalangi penduduk tempatan. "Ini ekoran kos buruh khususnya dari Indonesia lebih murah berbanding pengambilan pekerja tempatan, selain sikap mereka yang terlalu memilih pekerjaan menyukarkan majikan mendapatkan tenaga buruh, sekali gus membuat keputusan menyeludup pendatang asing," katanya. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini juga, seramai 1,059 pendatang asing tanpa izin dihantar pulang ke negara asal mereka. Daripada jumlah itu, seramai 976 adalah dari Indonesia diikuti China (68), Filipina (6), Pakistan (3) manakala Bangladesh, Vietnam dan Thailand masing-masing dua orang.