Kementerian akui cadang pinda AUKU tanpa pandangan IPTA
KEMENTERIAN Pengajian Tinggi mengakui cadangan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini tidak mengambil kira pandangan majoriti institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan. Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, kementerian itu, Mohd Yusof Kassim, berkata pihaknya hanya sempat berbincang dengan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) beberapa tahun dulu serta maklum balas daripada dua Naib Canselor IPTA. “Cadangan pindaan AUKU sudah lama dirancang. Setelah tiga menteri pengajian tinggi bertukar baru tahun ini ia direalisasikan dan akan dibacakan buat kali kedua pada sidang Dewan Rakyat Ogos depan.
“Walaupun tidak mendapatkan maklum balas MPP sesi 2007/2008 ini, kementerian pernah mengadakan perjumpaan dengan wakil MPP beberapa tahun dulu untuk mendapatkan input mengenai pindaan akta berkenaan. “Kementerian juga mendapatkan pandangan dua Naib Canselor IPTA dalam dua majlis berasingan di ibu negara, baru-baru ini. “Justeru, bukan tidak ada langsung rundingan dan rujukan dibuat dengan wakil universiti tempatan, namun ia tidak dilakukan secara menyeluruh,” katanya pada forum sempena Konvensyen MPP IPTA, di Institut Latihan Keselamatan Sosial KWSP, di Kajang, Selangor, baru-baru ini.
Terdahulu, seorang ahli panel forum yang juga Presiden Persatuan Universiti Malaysia, Tan Sri Nordin Kardi, menempelak Kementerian Pengajian Tinggi kerana melakukan pindaan AUKU tanpa merujuk Naib Canselor dan MPP IPTA dengan alasan mengelakkan konflik. “Tahu-tahu saja, sudah sampai di parlimen. Jadi, biarlah golongan cerdik pandai itu menentukan hala tuju universiti kita. “Sebelum ini, saya dan beberapa Naib Canselor pernah terbabit dalam pindaan bidang pengajian tinggi termasuk penjenamaan semula Lembaga Akreditasi Negara kepada Agensi Kelayakan Malaysia tetapi tidak pula timbul banyak konflik,” katanya.