Saturday, August 09, 2008

:: Merdeka 2008: RM40 juta kepada RM20 juta ?


Mutakhir

Shafie: Tiada percikan bunga api sambut kemerdekaan kali ini
08-08-2008 08:54:13 PM
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menyediakan peruntukan untuk membiayai kos bunga api bagi sambutan kemerdekaan ke-51 negara tahun ini selain mengurangkan peruntukan tahunan sambutan kepada RM20 juta daripada purata RM40 juta sebelum ini, kata Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Shafie Apdal.
"Setelah sekian lama, sambutan kemerdekaan kali ini dibuat tanpa bunga api. Kalau pihak swasta hendak buat, mereka boleh buat," katanya.

Beliau berkata kemerdekaan pada tahun ini walaupun disambut secara sederhana tanpa percikan bunga api tetapi ia tetap akan meriah dengan pelbagai aktiviti menarik yang telah diatur.
"Seperti tahun tahun sebelum ini, kita juga menjalankan pelbagai upacara keagamaan termasuk sembahyang hajat dan khutbah Jumaat khas oleh masyarakat beragama Islam menjelang sambutan kemerdekaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pada majlis itu, Shafie turut melancarkan logo baru sambutan bulan kemerdekaan serta lagu baru kemerdekaan ke-51 negara.

Hadir sama pada pelancaran itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri Penerangan Datuk Tan Lian Hoe.
Sambutan kemerdekaan tahun ini bertemakan "Perpaduan Teras Kejayaan" akan bermula 16 Ogos dan berakhir 18 Okt depan di Kota Kinabalu, Sabah.
Sambutan Ambang Merdeka malam 30 Ogos ini akan disambut di tiga lokasi utama iaitu Dataran Merdeka, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Bukit Bintang.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan bersama rakyat mengira detik 12 malam di Dataran Merdeka manakala Timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pula akan berada di KLCC. BERNAMA