Monday, December 14, 2009

:: Sarawak : Di mana silapnya ?

Menteri Muda Sarawak Sedih Ramai Ketinggalan Rebut Peluang Pekerjaan Portal Jobsmalaysia

KUCHING, 13 Dis (Bernama) - Seorang Menteri Muda Sarawak pada Ahad, melahirkan rasa kecewa dan sedih apabila ramai lepasan sekolah dan universiti ketinggalan daripada merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam portal JobsMalaysia.gov.my berikutan kadar penetrasi internet yang rendah khususnya di pinggir bandar di Sarawak.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Sumber Manusia dan Latihan), Datin Fatimah Abdullah berkata walaupun banyak syarikat telah mengiklankan jawatan kosong di portal tersebut tetapi ia mendapat sambutan dingin berikutan pencari kerja khususnya di pinggir dan luar bandar di negeri ini yang masih tidak boleh mengakses internet.

"Saya berasa sangat sedih kerana ramai pencari kerja ketinggalan maklumat, peluang dan tawaran pekerjaan yang diklankan dalam portal JobsMalaysia.

"Sehubungan itu, saya berharap karnival JobsMalaysia, anjuran Jabatan Tenaga Kerja Sarawak dapat mengadakan karnival sebegini sekerap mungkin di bandar utama dan pinggir-pinggir bandar di negeri ini agar pencari kerja dapat merebut peluang yang disediakan," katanya.

Beliau berkata kesukaran untuk mendapatkan surat khabar di kawasan-kawasan luar bandar juga menyebabkan kebanyakan lepasan sekolah di negeri ini mengganggur.

Fatimah yang juga Menteri Muda Pembangunan Wanita berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival JobsMalaysia 2009 di sini hari ini.

Sementara itu, Fatimah berkata Jabatan Tenaga Kerja Sarawak akan sentiasa memantau syarikat yang terlibat dalam karnival JobsMalaysia di negeri ini untuk memastikan pencari kerja tidak terperangkap dengan tipu muslihat pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Setakat ini tiada syarikat yang tidak berkredibiliti terlibat dalam karnival JobsMalaysia di negeri ini. Kalau ia berlaku, kita akan siasat kerana kita tidak mahu memberi harapan salah kepada pencari kerja.

"Sekiranya terdapat syarikat yang tidak berkredibel dan mempunyai niat lain, kita akan senarai hitam syarikat tersebut daripada terlibat dalam karnival JobsMalaysia kerana kita mahu melindungi pencari kerja di negeri ini daripada ditipu. Kita tidak mahu ia berlaku," katanya.

Portal JobsMalaysia merupakan gerbang perkhidmatan pekerjaan untuk sektor awam dan swasta di negara ini untuk meningatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber manusia negara berasaskan laman web dan perkhidmatan secara online.

-- BERNAMA