Tuesday, December 29, 2009

:: Murai, GLC dan enjin jet ?

Kenapa tiada laporan audit dua enjin jet hilang?
Tan Keng Liang Dis 24, 09 12:16pm

Saya merujuk isu kecurian dua buah enjin jet pejuang Tentara Udara Diraja Malaysia (TUDM). Kecurian enjin tersebut didakwa berlaku sekitar tahun 2007.

Selain daripada enjin, Kementerian Pertahanan juga dilaporkan menyatakan terdapat peralatan-peralatan lain yang mungkin turut lesap.

Ketika ini, kementerian berkenaan dan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan untuk melakukan siasatan penuh terhadap kes tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya kepada mereka yang terbabit, yang turut dilabel sebagai "pengkhianat" negara kita.

Sudah jelas, kecurian harta pertahanan negara, tanpa mengira nilainya, suatu tindakan pengkhianatan negara. Harta pasukan tentera dibeli untuk mempertahankan kedaulatan negara dan dibiayai dengan wang rakyat.

Dalam perkara ini, adalah membimbangkan kenapa kehilangan dan kecurian harta pertahanan negara yang sebegitu besar tidak dibangkitkan dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara bagi tahun 2007 atau 2008?

Kejadian ini berlaku pada 2007 dan Kementerian Pertahanan menfailkan laporan polis pada tahun yang sama.

Sudah pasti perkembangan itu sewajarnya mencetuskan kewaspadaan kepada proses audit harta kementerian tersebut.

Bawah Seksyen 6 Akta Audit 1957, pengauditan Ketua Audit Negara termasuklah menentukan sama ada perhatian yang sewajarnya telah diambil untuk memberikan penjelasan mengenai - dan untuk memastikan - penggunaan, pengawalan, penyenggaraan dan pelupusan yang sepatutnya segala harta awam pihak bawah auditannya.

Seksyen 9(5) akta tersebut memperuntukkan bahawa Ketua Audit Negara boleh - dalam apa-apa laporan yang dikemukakan mengikut Perkara 107(1) Perlembagan Persekutuan (lebih dikenali sebagai Laporan Tahunan Ketua Audit Negara) - membuat syor dan boleh secara umum memberikan ulasan tentang semua perkara yang berhubungan dengan akaun, wang dan harta awam.

Berhubung kehilangan harta pertahanan negara tersebut, Ketua Audit Negara seharusnya membangkitkan penyelewengan itu dalam laporan tahunannya kerana ia membabitkan kepentingan awam.

Oleh itu, Ketua Audit Negara perlu memberi penjelasan kenapa penyelewengan tersebut tidak dibangkitkan dalam laporan tahunannya sehingga kini?

Kerajaan juga harus mengambil tindakan untuk memastikan Ketua Audit Negara akan membangkitkan dalam laporan tahunannya semua penyelewengan yang membabitkan harta kerajaan pada masa hadapan.

Tan Keng Liang ketua Pemuda Gerakan Kedah


.................................................................................


Siasat penyelewengan RM160 juta di GLC
Dis 28, 09 5:44pm

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini diminta menyiasat mengenai dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam anak syarikat sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membabitkan kira-kira RM160 juta.

Setiausaha agung Kelab Belia Graduan 1Malaysia, Ezaruddin Abd Rahman berkata kelab itu menerima maklumat bahawa penyelewengan yang dilakukan dalam anak syarikat GLC yang berusia lebih 50 tahun itu dikesan sejak 2006.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum mengenai dakwaan penyelewengan itu kepada penolong kanan penguasa SPRM Azlin Mohd Ali di pejabat SPRM di Putrajaya untuk siasatan.

Memorandum itu antara lain mendakwa pemberian tender yang tidak mengikut prosedur dan syarikat yang diberikan tender tersebut merupakan syarikat di mana seorang daripada anggota lembaga pengarah GLC itu mempunyai kepentingan di dalamnya.

Memorandum itu turut mendakwa mesin yang dibekalkan oleh syarikat tersebut juga menimbulkan masalah dan kerugian.

Ezaruddin berkata pihaknya juga akan menyerahkan memorandum itu kepada Pejabat Perdana Menteri.

Kelab Belia Graduan 1Malaysia merupakan NGO yang terdiri daripada golongan profesional muda pelbagai bidang di seluruh negara yang ditubuhkan pada 10 November lepas dan kini mempunyai 8,000 anggota. BERNAMA

..................................................................................


Warga emas dihukum kes lagakan burung murai
Dis 28, 09 6:59pm

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur diminta memandang berat kesalahan melaga-lagakan binatang bagi tujuan hiburan kerana aktiviti itu tidak berperikemanusiaan.

Timbalan pendakwa raya Norhanum Hassan berkata walaupun hanya melibatkan dua ekor burung murai, tetapi perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diabaikan.

Beliau berhujah demikian ketika memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap seorang warga emas Khoo Khang Huat, 70, dan 13 lelaki yang dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah kelab rekreasi peminat burung di Jinjang, Kuala Lumpur, pada 9.30 pagi, 13 Disember lalu, mengikut Seksyen 44(1)(g) Ordinan Binatang 1953.

Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir memerintahkan mereka yang berumur antara 27 hingga 70 tahun itu, masing-masing didenda RM130 dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Kesemua mereka, yang merupakan pesara dan penganggur, diwakili peguam Ahmad Ridza Mohd Noh.

Pada masa yang sama, seorang lagi warga emas Chen Long, 72, bersama-sama 12 yang lain turut dikenakan denda yang sama oleh Majistret Aina Azahra Ariffin di mahkamah yang berlainan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang sama.

Mereka yang berumur antara 27 hingga 72 tahun itu juga merupakan pesara dan penganggur diwakili peguam Khairul Amir Abdullah.

Pendakwaan dilakukan oleh timbalan pendakwa raya Aidatul Azura Zainal Abidin. BERNAMA

................................................................................