Sunday, December 13, 2009

:: Jodoh 3 jam : Teh Affifah & Mohd Ariff

Tragedi pengantin baru

Oleh Rashidi Karim


TEH Affifah Shahirah Abd Hamid tidak dapat menahan sebak ketika menziarahi jenazah suaminya, Mohd Ariff Ab Kadir yang maut bersama tiga lagi dalam kemalangan di Kangar tengah hari semalam, selepas pulang dari majlis akad nikah di rumahnya, di Alor Setar. Beliau sempat bersalaman dengan suaminya dan menerima kucupan pada dahinya pada majlis membatalkan wuduk selepas pernikahan pada jam 10 pagi sebelum kemalangan pada jam 1.05 minit tengah hari.

Bakal pensyarah bersama bapa, ibu dan rakan maut nahas dengan bas

KANGAR: Penuntut universiti, Teh Affifah Shahirah Abd Hamid, hanya sempat bergelar isteri selama tiga jam selepas suami yang dinikahinya pagi semalam, meninggal dunia dalam kemalangan ngeri sejurus majlis akad nikah di rumahnya, di Taman Berlian, Alor Setar.

Suaminya, Mohd Ariff Ab Kadir, 23, lulusan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal universiti di United Kingdom, meninggal apabila kereta yang dinaikinya untuk pulang ke rumah di Taman Melati Indah, Beseri, dekat sini bertembung dengan bas persiaran di Kilometer 7 Jalan Kangar-Padang Besar pada jam 1.05 minit tengah hari, selepas bernikah kira-kira jam 10 pagi.

Lebih menyedihkan kemalangan turut mengorbankan bapa Mohd Ariff iaitu Ab Kadir Awang, 55, yang memandu kereta dan ibunya, Apsah Othman, 58, serta rakannya, Mohd Farhan Musa, 18 tahun.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Zull Aznam Haron, berkata semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah

Katanya, siasatan awal mendapati kereta Proton Iswara yang dipandu Ab Kadir, pembantu makmal di Sekolah Menengah Sains Syed Putra, di sini dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas berkenaan.

MOHD Ariff dan isteri pada majlis akad nikah mereka, semalam.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat.

Zull Aznam berkata, pemandu dan 27 penumpang bas persiaran dari Klang, Selangor yang dalam perjalanan pulang dari Padang Besar tidak cedera.

"Kita sudah mengambil keterangan pemandu serta beberapa penumpang bas persiaran terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, abang Mohd Ariff, Mohd Hazly Ab Kadir, 32, berkata beliau bersama rombongan pengantin lelaki menaiki empat kereta untuk majlis akad nikah Mohd Ariff yang juga anak bongsu tiga beradik itu dengan Teh Affifah, 23 tahun.

ORANG ramai melihat kereta yang remuk bertembung dengan bas mengorbankan tiga beranak (Ab Kadir Awang, Apsah Othman, Mohd Ariff) dan seorang rakan (Mohd Farhan), semalam.

"Saya menaiki kereta lain dan sampai ke rumah terlebih dulu. Tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan daripada bapa Mohd Farhan memaklumkan kemalangan itu," katanya.

Beliau berkata, keluarga pengantin lelaki sudah mengadakan persiapan untuk majlis kenduri esok, manakala pihak perempuan hari ini di Taman Berlian.

Katanya, Mohd Ariff mendaftar untuk memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara Arau, pada Rabu depan.

Mohd Hazly berkata, Mohd Ariff dan Teh Affifah Shahirah, seorang penuntut di sebuah universiti di Australia, berkenalan sejak di bangku sekolah sebelum mengambil keputusan berkahwin.

"Selepas majlis akad nikah, saya melihat arwah adik serta ibu dan bapa begitu ceria dan tidak menduga keriangan mereka berakhir dengan tragedi," katanya.

Kenduri kahwin bertukar majlis tahlil

ALOR SETAR: Majlis kenduri meraikan perkahwinan Teh Affifah Shahirah Abd Hamid, 23, bersama suaminya Mohd Ariff Ab Kadir, 23, yang maut dalam nahas di Kilometer 7 Jalan Kangar-Padang Besar bertukar majlis tahlil dengan pengurusan diambil alih Jawatankuasa Surau Taman Berlian, Anak Bukit, bermula malam tadi.

Setiausaha Jawatankuasa Surau Taman Berlian, Abd Jabir Mokhtar, 50, berkata pada mulanya pihak pengantin perempuan berhasrat mengadakan majlis khatam al-Quran pada sebelah malam diikuti kenduri kahwin hari ini, namun kedua-duanya terpaksa ditukar kepada majlis tahlil.

"Perkara berlaku tanpa diduga dan kami sebagai jiran mengambil alih pengurusan majlis yang tetap perlu diteruskan.

"Kita jalankan majlis seperti biasa dengan menerima 1,500 tetamu yang sudah dijemput selain pihak perempuan juga mengeluarkan belanja besar sekitar RM12,000 untuk majlis ini.

"Sekarang menjadi tugas kami untuk menjayakan majlis tahlil itu dan memastikan semua tetamu dilayan dengan baik.

"Kami bersimpati dengan Teh Affifah dan keluarga kerana mereka memang dikenali sebagai orang yang baik dan mempunyai hubungan akrab dengan jiran.

"Teh Affifah juga seorang gadis yang lemah lembut dan baik budi pekerti," katanya ketika di temui di sini, semalam.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian di tempat persiapan kenduri di homestay G Glamour di Taman Kancil 3, Anak Bukit semalam mendapati segala persiapan termasuk pelamin dan bilik pengantin sudah disiapkan dengan rapi oleh pihak pengantin perempuan.

Bagaimanapun tiada ahli keluarga di situ kerana berada di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis berikutan kejadian tidak diingini itu.

Kelihatan lapan daripada sembilan dulang hantaran pengantin lelaki kepada pengantin perempuan di homestay itu yang tersusun dengan kemas untuk majlis yang bakal berlangsung hari ini.

.........................................................................................................


Pengantin sempat kirim SMS terakhir

PADANG BESAR 12 Dis. - "Jangan terkejut tengok pakaian abang esok."

Gurauan itu dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh Mohd. Ariff Abd. Kadir, 23, buat isterinya, Teh Afifah Syahirah Abdul Hamid, 23, selepas mereka diijab kabul semalam.

Namun siapa pun tidak menyangka gurauan itu membawa makna serta kesan berpanjangan buat Teh Afifah.

Mohd. Ariff mengirimkan SMS tersebut sebelum pulang dari rumah isterinya selepas majlis akad nikah di Masjid Intan Safinaz, Anak Bukit di Alor Setar, Kedah, kira-kira pukul 10.45 pagi.

Perkara itu dinyatakan oleh abang Allahyarham Mohd. Ariff, Dr. Mohd. Hafiz, 26, ketika ditemui di rumah bapanya di Taman Melati Indah di sini hari ini.

"SMS tersebut dihantar selepas majlis akad nikah, iaitu sebelum kami balik ke Perlis. Dia menghantar SMS itu untuk memaklumkan bahawa pakaian yang akan dipakai ke majlis persandingan hari ini cantik dan tidak diketahui oleh Teh Afifah Syahirah.

"Namun lain pula yang berlaku dan kami menerima ketentuan Allah itu dengan reda," ujarnya.

Beliau juga menyatakan, kenduri kahwin yang dijadualkan di rumah mereka esok untuk kira-kira 1,500 jemputan juga telah ditukar kepada majlis tahlil.

"Esok kami hanya akan buat tahlil. Tetamu yang dijemput tentunya sedia maklum berhubung kemalangan seperti yang disiarkan oleh akhbar hari ini," ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang semalam, pengantin yang baru bergelar suami kira-kira tiga jam itu, maut bersama bapanya, Ab. Kadir Awang, 55, dan ibunya, Apsah Othman, 59, serta jurugambar pengantin, Mohd. Farhan Musa, 18.

Kejadian berlaku di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar di sini, selepas kereta Proton Iswara Aeroback yang dipandu Ab. Kadir dari arah Kangar itu bertembung dengan bas pelancong.

Tragedi itu berlaku selepas keretanya terbabas akibat tayar meletup hingga memasuki laluan bertentangan.

Kereta tersebut yang dalam perjalanan menuju ke rumah mereka di Taman Melati Indah di sini, remuk hingga terperosok ke bawah bahagian hadapan bas.

Menurut Dr. Mohd. Hafiz, pasangan itu sepatutnya bersanding di rumah Teh Afifah Syahirah di Taman Berlian, Alor Setar hari ini, manakala kenduri menyambut menantu sebelah pengantin lelaki pula esok.

Teh Afifah Syahirah penuntut tahun akhir pengajian kejuruteraan kimia di Auckland, New Zealand pulang ke tanah air untuk melangsungkan perkahwinan.

Mohd. Ariff pula yang baru menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal di United Kingdom tahun ini akan melaporkan diri sebagai pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau di sini pada 16 Disember ini.

Jenazah tiga beranak itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Darat, manakala Mohd. Farhan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung, Beseri, di sini malam tadi.

................................................................................................


Mohd. Ariff tolak tengok pelamin

ALOR SETAR 12 Dis. - Allahyarham Mohd. Ariff Ab. Kadir, 23, pengantin yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya selepas tiga jam bernikah semalam, tidak sempat melihat pelamin dan bilik pengantin.

Ibu mertuanya, Siti Aishah Baharom, 58, berkata, dia mempelawa Allahyarham melihat pelamin dan bilik pengantin yang telah siap dihias di Inap Desa di Taman Kancil 3, Anak Bukit di sini, namun Mohd. Ariff menolak.

Katanya, ini kerana selepas selesai majlis akad nikah, Mohd. Ariff dan keluarganya itu ingin segera pulang ke Kangar.

"Namun saya tidak rasa apa-apa yang pelik, cuma arwah kelihatan seperti hendak cepat," katanya ketika ditemui di Inap Desa berkenaan yang terletak tidak jauh dari rumahnya di Taman Berlian di sini hari ini.

Dalam pada itu, Siti Aishah memberitahu, anaknya, Teh Afifah Syahirah Abdul Hamid, 23, yang menuntut di New Zealand pulang kira-kira dua minggu lalu bagi melangsungkan perkahwinannya dengan Mohd. Ariff.

Katanya, pasangan pengantin itu sebelum ini banyak berhubung menggunakan Internet memandangkan mereka jarang berjumpa.

Menurutnya, kira-kira seminggu lalu, Teh Afifah ada memberitahunya yang dia berasa tidak sedap hati sehingga tidak ada selera makan.

"Saya agak pelik melihat perubahannya itu, tapi tidak tahu pula apa puncanya," katanya.

Sementara itu, Teh Afifah yang masih terkejut dan sedih dengan kejadian itu enggan bertemu pemberita.

..................................................................................................


Detik gembira bertukar air mata


TEH Afifah Syahirah (tiga dari kiri) menemui ibunya, Siti Aishah Baharom yang turut membaca surah Yassin bersama tetamu pada majlis kenduri tahlil di Inap Desa Taman Kancil 3, Anak Bukit, Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 12 Dis. - Hari ini keluarga Abdul Hamid Zakaria, 71, dan isterinya, Siti Aishah Baharom, 58, sepatutnya meraikan perkahwinan anaknya, Teh Afifah Syahirah, 23, yang diijabkabulkan semalam dalam suasana gembira.

Segala persiapan telah disusun rapi termasuk merancang mengadakan majlis kenduri meraikan perkahwinan anak keempat daripada lima beradik itu di Inap Desa Taman Kancil 3, Anak Bukit di sini.

Inap Desa berkenaan terletak tidak jauh dari rumah keluarga Abdul Hamid di Taman Berlian.

Pelamin juga telah disiapkan hanya menunggu saat pasangan pengantin disandingkan.

Namun detik indah yang dirancang tidak kesampaian, sebaliknya deraian air mata menyelubungi majlis kenduri perkahwinan itu hari ini yang digantikan dengan majlis tahlil.

Takdir Ilahi menentukan Teh Afifah hanya sempat bergelar isteri selama tiga jam selepas suaminya, Mohd. Ariff Ab. Kadir, 23, meninggal dunia dalam kemalangan ngeri sejurus majlis akad nikah semalam.

Pada majlis berkenaan, para jemputan mengambil kesempatan memberi kata-kata semangat kepada Teh Afifah dan keluarganya agar tabah menghadapi dugaan.

Kenalan keluarga tersebut juga saling memeluk Teh Afifah dengan titisan air mata tanda simpati mereka terhadap ujian yang terpaksa ditempuhi wanita itu.

Abdul Hamid dan isterinya, Siti Aishah Baharom, 58, serta ahli keluarga mereka pula kelihatan tenang melayan tetamu yang datang ke majlis berkenaan seperti biasa.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, keluarganya tidak membatalkan majlis kenduri perkahwinan yang dirancang itu cuma menukarnya menjadi majlis tahlil.

"Ini dugaan yang harus anak saya dan keluarga kami hadapi," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut hari ini.

Pasangan Mohd. Ariff dan Teh Afifah bernikah di sebuah masjid di Anak Bukit di sini kira-kira pukul 10 pagi semalam, sebelum pengantin lelaki maut dalam kemalangan jalan raya kira-kira tiga jam kemudian.

Turut maut dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar itu ialah ibu dan bapa Mohd. Ariff, Apsah Othman, 58, dan Ab. Kadir Awang, 55, serta rakannya, Mohd. Farhan Musa, 18.

................................................................................................


Wedding Feast Turns Into Tahlil Prayer

KANGAR, Dec 12 (Bernama) -- As relatives still grieving over the lost of a bridegroom, Mohd Ariff Ab Kadir, who was killed in an accident Friday, his wedding feast at Taman Melati Indah here tomorrow will be turned into a tahlil prayer.

The deceased's brother, Dr Mohd Hafiz, 26, said, however, the guest list would be reduced to 400 instead of 1,500.

He said despite the lost of his brother, the wedding gifts worth RM12,000 would be handed to the bride, Teh Afifah Syahirah Abdul Hamid, 23.

Mohd Ariff, an engineering graduate, was killed three hours after he had solemnised his marriage in Anak Bukit, Kedah.

The groom died along with his parents, Ab Kadir Awang, 53, and Apsah Othman, 58, and his friend, photographer Mohd Farhan Musa, 18, when the car they were travelling in collided head-on with a tour bus at Km7 Jalan Kangar-Padang Besar at 1.05pm.

Mohd Ariff met Teh Afifah Syahirah when they studied at Mara Lower Science College Beseri, Perlis.

The groom, who studied in the United Kingdom was supposed to report for duty as a lecturer at Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau on Wednesday while Teh Afifah Syahirah is pursuing higher studies in Australia.

-- BERNAMA

..............................................................................................


Pengantin tiga jam reda takdir

Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my


SANAK saudara serta rakan yang hadir pada hari perkahwinan yang bertukar menjadi majlis tahlil di homestay G Glamour Taman Kancil 3, Anak Bukit dekat Alor Setar, semalam.

Wanita terlalu sedih terkenang suami maut nahas ngeri

ALOR SETAR: Pengantin perempuan yang kehilangan suami selepas hanya tiga jam melangsungkan perkahwinan di Taman Berlian Anak, Bukit di sini kelmarin reda dengan nasib yang menimpanya yang dianggapnya sebagai ketentuan Ilahi bagi menguji iman hamba-Nya.

Inilah penjelasan Teh Affifah Shahirah, 23, kepada bapanya, Abdul Hamid Zakaria, 71, ketika pemberita meminta kebenaran untuk mendapatkan reaksi beliau berhubung insiden menyayat hati yang menyebabkan beliau bergelar pengantin dan balu pada hari sama selepas kehilangan suaminya, Mohd Ariff Ab Kadir, 23, dalam kemalangan di Kangar, Perlis, kelmarin.

Mohd Ariff maut bersama ibu dan bapanya, Apsah Othman dan Ab Kadir Awang dalam nahas di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang.

Abdul Hamid berkata, anaknya yang dipanggil sebagai Teh, enggan berjumpa sesiapa kerana terlalu sedih dengan kejadian itu dan hanya mendiamkan diri di dalam bilik pengantin dengan ditemani ibunya, Siti Aishah Baharum, 58, sejak pulang dari Kangar, kelmarin.

"Biarlah Teh tenangkan diri. Dia terlalu sedih dan tidak mahu jumpa sesiapa buat masa ini.

TEH Afiffah Shahirah (kiri) ditenteramkan sanak saudara.

"Mereka berdua sudah kenal lama tetapi berkawan rapat sejak dua tahun lalu dan banyak berhubung melalui internet kerana berjauhan. Teh melanjutkan pelajaran di Univerisiti Auckland, New Zealand manakala suaminya di United Kingdom (UK).

"Saya kenal menantu saya dan saya memang bersyukur dikurniakan menantu seperti arwah. Ketika mahu melamar Teh, Mohd Ariff bertanya pada anak saya sudikah beliau melahirkan zuriatnya yang seterusnya membawa kepada hal nikah kahwin semalam (kelmarin)," katanya ketika ditemui di majlis tahlil yang sepatutnya menjadi majlis perkahwinan di sini, semalam.

Katanya, beliau juga sempat mengarang 12 rangkap pantun untuk menyambut kedatangan rombongan pengantin lelaki hari ini (semalam) yang kini sebaliknya hanya tinggal kenangan.

Terdahulu, Teh dilihat masuk ke 'homestay' G Glamour Taman Kancil 3, Anak Bukit yang disewa khas untuk melangsungkan majlis perkahwinannya yang kemudian bertukar kepada majlis tahlil pada kira-kira jam 12.30 pagi.

GAMBAR kenangan Allahyarham Mohd Ariff mencium dahi Teh Afiffah selepas majlis akad nikah, kelmarin.

Beliau yang kelihatan sugul dilihat bersalaman dan berpelukan dengan saudara terdekat selain kenalan rapat yang sedia menanti sejak awal pagi. Teh kemudian dilihat masuk ke dalam bilik pengantin dengan ditemani ibunya yang turut membawa baju pengantin berwarna ungu bersama mereka.

Pada kira-kira jam 1 tengah hari, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hadir bagi memenuhi jemputan namun beliau juga terkejut apabila diberitahu mengenai kejadian itu.

Sementara itu, Siti Aishah berkata, anaknya sering berasa tidak sedap hati dan tidak lalu makan seminggu sebelum melangsungkan perkahwinannya.

"Teh selalu mengadu tak sedap badan selain berasa seperti ada sesuatu yang tidak kena hingga menyebabkan lesu dan lemah," katanya.

........................................................................................


Pengantin Baru Antara Empat Terbunuh Dalam Kemalangan

KANGAR, 11 Dis (Bernama) -- Seorang pengantin lelaki yang baru empat jam bernikah adalah antara empat orang yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan pertembungan sebuah kereta dan bas di kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Perlis, ACP Zull Aznam Harun berkata, pengantin yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 1.05 tengah hari itu dikenali sebagai Mohd Ariff Abdul Kadir, 23, seorang jurutera.

Turut terbunuh ialah ibu bapa Mohd Ariff iaitu Abdul Kadir Awang, 53, dan Aspah Osman, 58 serta seorang jurugambar, Mohd Farhan Musa, 18, yang juga rakan Mohd Ariff.

Katanya kejadian berlaku ketika kesemua mangsa yang menetap di Taman Melati Indah dekat sini sedang dalam perjalanan pulang daripada majlis akad nikah di Anak Bukit, Kedah.

Kesemua mereka terbunuh di tempat kejadian manakala 27 penumpang serta pemandu bas yang datang dari arah bertentangan menghala Kangar tidak mengalami sebarang kecederaan.

--BERNAMA

..................................................................................................................

Grieving with bride on her wedding day

2009/12/13

ALOR STAR: It was to have been a day of joy yesterday to celebrate the union of Teh Affifah Shahirah Abdul Hamid and Mohd Ariff Ab Kadir, as husband and wife.

The couple, both 23, would wear a matching purple Malay traditional wedding costume, but the clothes have now been left untouched.

There was sadness at a majlis tahlil held at a homestay in Taman Kancil here, after Ariff, his parents and a friend died in an accident in Perlis on Friday.

The event replaced the couple's wedding kenduri.

Guests and relatives who attended the ceremony nodded in silence when they passed by the wedding dais inside the house.

Sorrow was visible on Teh Affifah's face when she arrived at the majlis tahlil at noon.

Abdul Hamid Zakaria, 71, said his daughter, the fourth of five siblings, was still very much saddened over the accident.

"All of us were shocked and still sad over what had happened.

"My daughter is weak at the moment, but I know that she will regain her strength soon.

"I am also relieved that the majlis tahlil went on smoothly."

He said his daughter, who is a final-year chemical engineering student at Auckland University in New Zealand, will continue her studies in February.

Ariff, his parents, Ab Kadir Awang, 55, Apsah Othman, 58, as well as his 18-year-old neighbour Mohd Farhan Musa were killed when their car collided with a tour bus at Km7 Jalan Kangar-Padang Besar in Perlis at 1pm on Friday.

The four were on their way home to Taman Melati Indah, Beseri in Perlis, after attending the couple's solemnisation ceremony here earlier.

The late Mohd Ariff Ab Kadir and his wife, Teh Affifah Shahirah Abdul Hamid, at their solemnisation ceremony in Alor Star on Friday.
The late Mohd Ariff Ab Kadir and his wife, Teh Affifah Shahirah Abdul Hamid, at their solemnisation ceremony in Alor Star on Friday.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/PixGaleri/P0091