Saturday, February 08, 2014

:: Ketua Menteri Sarawak menamakan penggantinya...

MT PBB Mahu Taib Namakan Pengganti Sebelum Berundur

KUCHING, 8 Feb (Bernama) -- Majlis Tertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan kaukus parti itu hari ini mahu Presiden PBB Tan Sri Abdul Taib Mahmud menamakan penggantinya sebelum beliau berundur.

Pengerusi Tetap PBB Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata MT dan kaukus parti yang bermesyuarat hari ini turut bersetuju menyerahkan sepenuhnya kepada Taib yang juga Ketua Menteri Sarawak, untuk mengumumkan pengganti beliau tanpa menetapkan tempoh masa.

"Ini perlu diselesaikan dahulu sebelum berundur. Tiada tempoh ditetapkan namun masih dalam jangka masa yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat lebih lima jam di ibu pejabat PBB di Jalan Bako di sini.

Katanya Ketua Menteri meninggalkan mesyuarat itu sebelum resolusi berkenaan diluluskan.

Resolusi itu diusul oleh Anggota MT Tan Seri Adenan Satem dan disokong oleh Timbalan Presiden Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, katanya.

Asfia berkata mesyuarat itu juga bersetuju untuk menyokong penuh siapa sahaja yang dinamakan oleh Taib sebagai penggantinya.

Selain itu, Asfia berkata mereka turut bersetuju untuk mencadangkan Taib dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang baharu apabila penggal Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng berakhir pada 28 Feb ini.

"Cadangan itu dibuat kerana MT berpandangan beliau paling layak menjadi Yang Dipertua Negeri yang baharu berdasarkan sumbangan dan perkhidmatan beliau yang cemerlang," katanya.

Ditanya sama ada pelantikan Yang Dipertua Negeri yang baharu itu akan dibuat hujung bulan ini, Asfia berkata perkara berkenaan di luar bidang kuasanya.

"Anda (wartawan) yang buat spekulasi (mengenai Taib dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri hujung bulan ini). Saya tidak ada kuasa untuk mengulas (perkara itu) kecuali menyatakan beliau (Taib) layak jadi Yang Dipertua Negeri yang baharu," katanya.

-- BERNAMA