Tuesday, November 15, 2011

:: Projek perintis guru kerja 9 jam sehari di Sarawak...




antara pandangan para pendidik

19 Sekolah Di Sarawak Laksana Projek Perintis Guru Kerja 9 Jam

KUCHING: Kementerian Pelajaran memilih 19 buah sekolah rendah dan menengah di Sarawak, kesemua terletak di bandar raya ini, untuk melaksanakan projek perintis guru bekerja sembilan jam sehari mulai Januari depan.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) William Ghani Bina berkata daripada jumlah itu, 11 buah melibatkan sekolah rendah dan bakinya sekolah menengah.

"Sekolah rendah yang dipilih ialah SK Chung Hua No 2, SK Chung Hua Sungai Buda, SK Bako, SK Bandar Semariang, SK Combine, SK Kenyalang, SK Madrasah Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, SK Satria Jaya, SK St Mary dan SK St Theresa," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Ghani berkata sekolah menengah yang terpilih ialah SMK Bandar Kuching No.2, Sekolah Seni Kuching, SMK Tabuan Jaya, Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, SMK St Joseph, Kolej Vokasional Batu Lintang, SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor Stampin dan SMK Agama Tun Ahmad Zaidi.

"Diharapkan selepas pelaksanaan projek perintis, gambaran sebenar beban tugas guru dapat diketahui kerana kini ada persepsi yang menganggap tugas guru hanya terhad pada hari Isnin hingga Jumaat sahaja," katanya.

Beliau berkata ramai tidak mengetahui ada sebilangan guru bekerja sehingga hari Ahad untuk mengendalikan aktiviti kokurikulum, menghadiri kursus dan aktiviti sekolah selain daripada tugas hakiki sebagai guru.

"STU mahu kesemua sekolah terlibat menyampaikan laporan yang sebenar dan jujur supaya persepsi ini dapat ditepis sama sekali," katanya.

Selain Sarawak, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong hari ini dipetik berkata projek perintis itu akan dilaksanakan di Melaka, Pahang dan Johor.

Seramai lebih 5,000 guru dan 104 sekolah di seluruh negara terbabit dalam projek perintis tersebut dengan guru sebelah pagi bertugas di sekolah mulai pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan guru sebelah petang bertugas pukul 9.30 pagi hingga 6.30 petang.

Dr Wee juga memberi jaminan ia tidak akan diperluaskan ke seluruh sekolah di negara ini sehingga keputusan penuh projek perintis tersebut diketahui. BERNAMA.


http://www.2dayblogger.com/blog/2011/11/13/guru-bakal-berkerja-9-jam-sehari-mulai-2012-adakah-ia-rasional/

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/11/13/mstar_berita/20111113164703&sec=mstar_berita