Friday, November 04, 2011

:: PPSMI : Ape sebenarnya... dan telah muktamad ditamatkan ?


PPSMI

PPSMI, Apa sebenarnya?


TERTARIK dengan apa yang berlaku ketika menunggu membeli juadah di sebuah gerai di pusat membeli-belah di pinggir Bandaraya tempoh hari.

Kelihatan dua orang pelajar sekolah menengah, seorang pelajar perempuan Melayu yang berbaju kurung manakala seorang lagi seorang pelajar perempuan Cina juga berbaju kurung, dan agak kagum kerana pelajar Melayu itu berbual dengan rakannya itu menggunakan bahasa Cina dengan fasih.

Dapat dibayangkan, kemungkinan pelajar Melayu itu sedang belajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan kebarangkalian bertutur bahasa itu hanya di sekolah sahaja memandangkan mukanya langsung tiada iras kecinaan.

Secara automatik terlintas di fikiran, bagaimana kemampuan pelajar Melayu itu boleh menghadam dan menguasai bahasa tersebut dengan mempelajarinya walaupun bukan bahasa ibundanya.

Apakah akan terhakis bahasa ibunda dan jati dirinya apabila beliau mempelajari bahasa lain?

Begitulah juga yang cuba diterapkan di sekolah kebangsaan apabila enam tahun lalu kerajaan memperkenalkan sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin mendedahkan bahawa kira-kira 57 peratus calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di bawah PPSMI yang pertama kali diperkenalkan pada tahun ini menjawab dalam bahasa Inggeris.

Menurut beliau, keputusan untuk meneruskan dasar PPSMI itu akan dibuat berdasarkan beberapa ciri bagi memastikan masa depan para pelajar tidak terabai.

Katanya, perkara tersebut akan dibincangkan dalam sesi meja bulat yang diadakan buat kali ketujuh berhubung pelaksanaan dasar ini.

Melihat pula pada sikap negatif pihak-pihak tertentu terhadap PPSMI yang mana mereka yang menentang itu sama ada tidak langsung mahu memahami objektif sebenar perlaksanaannya demi kemajuan anak-anak bangsa dari peringkat awal lagi, atau sememangnya hati, perasan, nafsu dan akal mereka telah diselimuti sehinggakan sanggup mengorbankan masa hadapan anak-anak bangsa bak kata pepatah ‘orang lain sudah ke bulan, kita masih di takuk lama’.

Bagi memastikan program yang diperkenalkan itu berjaya, kerajaan memberikan insentif kepada guru yang berkaitan iaitu Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP), sebanyak 5% tambahan daripada gaji bagi guru berijazah dan 10% bagi pemegang Diploma.

Imbuhan yang berikan pula bertujuan meningkatkan keupayaan dan kecekapan bahasa Inggeris masing-masing (seperti membeli buku atau menghadiri kelas tuisyen bahasa Inggeris).

Tujuan kerajaan memperkenalkan PPSMI adalah merupakan satu kaedah untuk meningkatkan pengetahuan pelajar supaya dapat menguasai Sains dan Matematik dalam bahasa antarabangsa itu.

Ini secara tidak langsung akan memudahkan golongan pelajar lepasan SPM dan STPM kelak apabila mereka melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi yang mana kebanyakan buku rujukan dalam bahasa Inggeris dan sudah semestinya apabila belajar luar negara, walaupun di negara yang majoriti rakyatnya bukan berbangsa Inggeris.

Niat kerajaan hanyalah satu iaitu untuk melahirkan generasi yang mempunyai nilai tambah dan berdaya saing di peringkat global.


Berita Bertarikh 3 March 2009 Pada 12:45 PM


.........................................................................................



Keputusan Memansuhkan PPSMI Adalah Muktamad - Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah muktamad.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau akan membuat penjelasan terperinci bagaimana kedudukan PPSMI dan bagaimana pelaksaan Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) akan dilaksanakan, khususnya yang berkaitan peralihan berikutan keputusan kerajaan untuk memansuhkan dasar itu.

“Kabinet pada 2009 sudah buat keputusan PPSMI tidak akan diteruskan. (Esok)kita akan jelas satu persatu ‘concern’ ibu bapa dan bagaimana untuk menangani masalah ini di masa hadapan,” katanya selepas merasmikan majlis perjumpaan dengan Guru-Guru Bahasa Inggeris:SMR HR Group di sini, hari ini.

Justeru katanya, beliau mahu semua polemik berhubung isu itu dihentikan kerana kementerian tidak akan tunduk lagi pada sebarang desakan daripada mana-mana pihak memandangkan keputusan pemansuhan PPSMI sudah muktamad.

Mengenai desakan beberapa pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk PendidikanMalaysia(Page) yang mahu kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan PPSMI secara pilihan di sekolah, Muhyiddin berkata, terserah kepada rakyat untuk menilai mereka.

Jelas beliau lagi segala persoalan berhubung pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan MBMMBI akan terjawab esok.

Muhyiddin berkata beliau akan membuat penjelasan terperinci bagaimana kedudukan PPSMI dan bagaimana MBMMBI akan dilaksanakan, khususnya yang berkaitan peralihan berikutan keputusan kerajaan untuk memansuhkan dasar itu.


Lagi Berita Berkaitan :


Berita Bertarikh 3 November 2011 Pada 3:41 PM

http://umno-online.com/?p=48667


............................................................................................................................................


Keputusan muktamad
Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bharian.com.my
2011/11/04

  • Kerajaan tak tunduk ugutan

  • TPM beri penjelasan hari ini
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, keputusan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah muktamad dan tidak akan tunduk kepada ugutan berbaur politik. Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, mahu polemik isu berkenaan dihentikan.
"Ini bukan soal membuat keputusan terburu-buru. Kita bukan membuat keputusan berdasarkan politik, sebaliknya apa yang difikirkan terbaik untuk rakyat dan negara"

Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri

Katanya, beliau akan memberi penjelasan terperinci segala persoalan dan kebimbangan ibu bapa berhubung peralihan yang perlu dilalui anak mereka, kedudukan PPSMI serta pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), hari ini.

"Kerajaan tidak boleh bertindak `terdesak dan tertunduk' kepada kumpulan kecil yang berterusan menuntut PPSMI dikekalkan, kerana majoriti rakyat memahami serta menerima keputusan yang dibuat pada 2009 untuk memansuhkan dasar itu,” katanya.

Beliau menyifatkan pihak yang lantang menyuarakan desakan itu, termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE), sebagai melewati tempoh dan ketinggalan kerana membuat tuntutan selepas hampir dua tahun keputusan diumumkan dan dasar MBMMBI juga sudah dilaksanakan di sekolah.
“Sejak mengumumkannya (pemansuhan PPSMI) pada 2009, kita tidak menerima reaksi negatif. Sebahagian besarnya menerima baik. Saya bawa kepada Kabinet, diluluskan. Saya bawa ke Parlimen, ia dibincang dan dibahas, semua pihak bersetuju, termasuk pembangkang, pada waktu itulah. Sekarang apabila ada kumpulan begitu membuat desakan, mungkin pihak pembangkang pun hendak lompat masuk ke sana.

“Bagi kita, ini bukan soal Kementerian Pelajaran membuat keputusan terburu-buru. Kita bukan membuat keputusan berdasarkan politik, sebaliknya apa yang difikirkan terbaik untuk rakyat dan negara kerana kementerian memiliki cukup data dan maklumat mengenai bagaimana PPSMI dilaksanakan, apa hasil pelaksanaan itu sehingga kita membuat penilaian dan keputusan untuk tidak meneruskannya, ada asas yang kukuh.

“Sebab itu jika ada pihak yang mendesak, kita faham negara ini demokrasi dan tidak menyekat atau menghalang sesiapa bersuara walaupun mereka kadang-kadang sudah melebihi batas sehingga hendak mengugut, tetapi kerajaan tidak akan tunduk kepada tekanan sebegini,” katanya selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan guru Bahasa Inggeris yang menyertai Program Mentor Pengajaran Bahasa Inggeris (ELT) anjuran SMR HR Group di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SMR Group, Datuk Dr R Palan.

Program itu membabitkan 120 mentor dari seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand dan United Kingdom.

Mengulas ugutan berbaur politik, Muhyiddin berkata, terserah kepada masyarakat untuk menilai pihak terbabit.

“Sebenarnya soal PPSMI sudah tutup. Saya pun sudah mengatakan bahawa PPSMI sudah tidak ada lagi. Mulai tahun ini, ia tidak lagi dilaksanakan. Kita sudah melaksanakan dasar baru (MBMMBI) di sekolah seluruh negara. Muktamad. Noktah.

“Yang rakyat ingin tahu ialah bagaimana peralihan itu kerana ada pelajar yang sudah berada dalam sistem (PPSMI) sebelum kita hendak memansuhkannya. Oleh itu, kita mahu proses pembelajaran mereka tidak tergendala.

“Mereka ini mungkin kita akan beri pertimbangan, esok (hari ini) saya akan jelaskan secara terperinci bagaimana peralihan itu berlaku supaya ibu bapa tidak risau.

“Saya ada menerima SMS daripada ibu bapa yang bimbang, saya faham, saya pun ada anak, saya tahu. Kita tidak mahu ganggu mereka, jadi saya akan umumkan bagaimana kelonggaran dan proses peralihan itu akan dilakukan,” katanya.

Mengenai kenyataan MCA dan MIC yang turut meminta kerajaan mengkaji semula keputusan memansuhkan PPSMI pula, Muhyiddin berkata, dua parti komponen BN itu tidak menyatakan bantahan tetapi sekadar memberi pandangan tambahan.

Sambil berpendapat pihak berkenaan akan memahami apabila penjelasan diberikan, beliau berkata, MCA dan MIC juga adalah sebahagian daripada kerajaan di mana wakil mereka dalam Kabinet turut bersetuju ketika keputusan memansuhkan PPSMI dibuat.


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2011110402553020111104025530/Article/