Saturday, November 05, 2011

:: Isu PPSMI ke MBMMBI...?



Pelaksanaan penuh pada 2021





KERAJAAN pada tahun 2009 telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Dengan pemansuhan PPSMI, murid di sekolah rendah akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, bahasa Cina di SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dan bahasa Tamil di SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil). Di sekolah menengah, bahasa Malaysia akan digunakan sepenuhnya dalam pengajaran Matematik dan Sains.

Untuk membolehkan murid menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa dalam tempoh peralihan dasar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009 juga telah membenarkan Kementerian Pelajaran melaksanakan pendekatan soft-landing.

Berdasarkan keputusan tersebut, Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 telah menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada tahun 2011 di mana murid Tahun 1 pada tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya. Sebagai langkah intervensi untuk mempercepatkan proses peralihan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia di semua peringkat persekolahan, kementerian juga memutuskan bermula tahun 2012, murid Tingkatan 1 akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Bagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan 1 bermula tahun hadapan telah menimbulkan kerisauan ibu bapa kerana dibimbangi anak-anak mereka yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan peralihan bahasa secara mendadak.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=1105&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm