Wednesday, September 14, 2011

:: SURAT : Pelajar tak seimbang di IPT...?




Tangani segera jurang bilangan pelajar wanita, lelaki di IPT


2011/09/14

SABAN tahun negara dikejutkan dengan isu nisbah tidak seimbang apabila bermulanya sesi kemasukan mahasiswa baru ke institusi pengajian tinggi (IPT). Hakikatnya, jumlah pelajar wanita meneruskan pengajian di IPT jauh lebih ramai berbanding lelaki sudah menjadi fenomena sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia diakui Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyatakan nisbah antara bilangan pelajar lelaki dan wanita di beberapa universiti untuk kemasukan sesi ini ialah 30:70 di Universiti Kebangsaan Malaysia dan 33:67 di Universiti Putra Malaysia.
Walaupun terdapat pandangan yang menyatakan perkara ini tidak begitu membimbangkan tetapi jurang tidak seimbang antara pelajar lelaki dan perempuan akan memberikan implikasi jangka panjang sekiranya langkah kawalan dan tindakan bersepadu semua pihak tidak dilaksanakan.
Ke manakah pergi pelajar lelaki selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia? Tidak mustahil majoriti pelajar lelaki ini berada dalam persimpangan selepas tamat alam persekolahan atau mereka ini mempunyai pertimbangan tersendiri dalam menentukan hala tuju.

Justeru, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran dengan kerjasama pihak universiti perlu melaksanakan kajian khusus dalam mencari punca dan kaedah penyelesaian konkrit dalam menyelesaikan persoalan ke mana perginya pelajar lelaki lepasan sekolah ini. Memang benar sesetengah daripada mereka mengambil jurusan vokasional dan teknikal tetapi kebanyakan sekadar mempunyai kelulusan sijil atau diploma.

Ada juga yang terjebak dengan najis dadah, memenuhi pusat serenti selain memasuki pasaran buruh tidak berkemahiran tinggi malah kekal berpendapatan rendah kerana tiada kelulusan.

Jika nisbah ini dibiarkan dan kehadiran 70 peratus pelajar wanita di IPT ini berterusan saban tahun, ia pasti mendatangkan beberapa implikasi dan kesan buruk bersifat jangka panjang.
Justeru, langkah Kementerian Pengajian Tinggi merangka program untuk menarik lebih ramai pelajar lelaki bagi merapatkan jurang dan membaiki aliran nisbah tidak seimbang wajar disokong dan didukung semua pihak.

AHMAD FAHMI MOHD SAMSUDIN, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.