Monday, September 19, 2011

:: Sulaiman...dijulang buaya di Sg. Sebelak, Kabong

Buaya julang mayat

SULAIMAN... maut dibaham buaya.

SULAIMAN... maut dibaham buaya.

Buaya julang mayat

Oleh ALIAS ABD RANI
lias@nstp.com.my










SARATOK: “Saya melihat buaya itu muncul di permukaan air sambil menjulang tubuhnya sebelum menghilangkan diri secara perlahan-lahan ke dasar sungai,” kata Safri Hassan, 20, ahli keluarga Sulaiman Abdullah, 66, yang dikhuatiri maut selepas dibaham buaya di Sungai Sebelak, dekat Kampung Roban, di sini, awal pagi semalam.

Safri yang menceritakan perkara itu berkata, dia terserempak dengan buaya itu ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat bersama beberapa penduduk di sekitar tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, buaya berkenaan muncul sambil menjulang tubuh mangsa. Saya terkejut namun tidak sempat berbuat apa-apa sebelum reptilia itu menghilangkan diri.

“Tindakan buaya berkenaan menunjukkan tubuh mangsa seolah-olah ‘meminta izin’ daripada kami untuk memakannya,” katanya.

Dalam kejadian itu, Sulaiman bersama anaknya, Endoi, 40, serta cucunya, Nazri, 9, keluar menangkap udang di sungai berkenaan, jam 4.30 pagi.

Kejadian berlaku ketika mangsa memunggah jaring menangkap udang ke dalam perahu, namun tiba-tiba seekor buaya sepanjang tiga meter muncul berdekatan perahunya sebelum menyambar kaki mangsa lalu mengheret ke sungai.

Difahamkan, anak dan cucu mangsa tidak sempat membantu menarik mangsa berikutan cuaca gelap selain bimbang diserang reptilia berkenaan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada penduduk.

Ini kejadian kedua sepanjang tahun ini membabitkan buaya mengganas di sungai berkenaan di mana sebelum ini penduduk, Menkay Goheh maut selepas dibaham buaya ketika mencuci tangan, Mei lalu.

Kejadian berlaku ketika Menkay keluar bersama rakannya menangkap udang, jam 12 tengah malam menggunakan bot.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Lee Thai Lein berkata, mangsa bersama anak dan cucu dikatakan keluar menangkap udang jam 3 pagi ketika air sungai surut.

Beliau berkata, setakat ini operasi dijalankan membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan penduduk masih diteruskan bagi mengenal pasti sama ada mangsa masih hidup atau meninggal dunia.

“Operasi bermula jam 10 pagi tadi (semalam) dan tertumpu di sekitar lokasi kejadian, termasuk di beberapa lubuk sungai berkenaan.

“Ini kerana mangsa mungkin dibawa ke sana (lubuk). Setakat ini operasi masih diteruskan untuk mencari mangsa,” katanya.




Buaya julang mayat mangsa
Oleh M Hifzuddin Ikhsan

2011/09/18

SARATOK: Kebimbangan buaya ganas di Sungai Sebelak, Kabong, akan 'membalas dendam' selepas pihak berkuasa melancarkan operasi memburu reptilia itu Julai lalu, menjadi kenyataan apabila seorang penduduk Kampung Roban menjadi mangsa terbaru dibaham buaya, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa Sulaiman Abdullah, 66, bersama anak, Endoi, 40, dan cucunya, Nazri, 9, dikatakan sedang menangkap udang di kawasan sungai berdekatan kampung mereka sebelum seekor buaya sepanjang tiga meter, menerkamnya.
Sulaiman yang sedang berdiri di dalam perahu terjatuh ke dalam sungai dengan anak dan cucunya gagal membantu kerana cuaca gelap serta bimbang diserang buaya.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Lee Thai Lein, berkata tiga beranak itu dilaporkan turun ke Sungai Sebelak pada jam 3 pagi untuk memasang perangkap udang ketika air sungai surut.

Balai Polis Roban menerima laporan mengenai serangan pada jam 7 pagi sebelum operasi mencari mangsa dilancarkan pihak berkuasa bersama penduduk kampung di sekitar Sungai Sebelak, katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Kebimbangan 'Bujang Sebelak' akan mengganas kembali timbul selepas penduduk kampung mendakwa melihat banyak reptilia itu timbul di kawasan berdekatan kampung selepas operasi membunuh reptilia itu dilakukan pihak berkuasa sebelum ini.

Sementara itu, saksi yang melihat mayat mangsa dijulang buaya, Safri Hassan, 20, berkata ketika dia melalui kawasan lubuk sungai pada jam 10 pagi dan melihat seekor buaya menjulang mayat mangsa yang juga bapa saudaranya.
Kami cuba memburu buaya berkenaan namun ia kembali tenggelam apabila bot yang dinaiki pencuba menghampirinya... saya percaya mayat manusia yang dijulangnya adalah bapa saudara saya berdasarkan pakaiannya, katanya.

Sehingga lewat petang, mayat mangsa masih gagal ditemui dengan operasi mencari terpaksa ditangguhkan sementara berikutan faktor cuaca.