Thursday, September 01, 2011

:: Politik Sarawak: Anak Taib..Bekir ganti Sulaiman ?



Dato Sri Mahmud Abu Bekir Taib


KUCHING: Dato’ Sri Mahmud Abu Bekir Taib telah disebut-sebut akan menggantikan adiknya, Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Samarahan dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Abu Bekir merupakan anak sulung Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, beliau sentiasa berminat dalam politik negeri ini.

“Saya sentiasa berminat dalam politik Sarawak tetapi tiada siapa yang memanggil saya lagi,” katanya memberitahu media pada majlis rumah terbuka Hari Raya bapanya yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau mendedahkan bahawa bapanya belum lagi menyebut apa-apa mengenai penggantian adiknya dalam pilihan raya akan datang.

“Saya fikir beliau mempunyai seseorang di dalam fikiran, tetapi saya tidak tahu siapa,” katanya.

Abu Bekir mendedahkan beliau sudah menjadi ahli PBB cawangan Kuching sejak berusia 19 tahun.

Sementara itu, adiknya, Sulaiman telah meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan selepas ibunya Puan Sri Laila Taib meninggal dunia pada 29 April 2009.

Minggu lepas, Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan memberitahu Sulaiman tidak akan mempertahankan kerusinya pada pilihan raya parlimen yang akan datang.

Beliau menambah PBB, parti komponen Barisan Nasional (BN) terbesar di negeri ini akan mencalonkan beberapa muka baru untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Awang Tengah menambah parti itu sentiasa menilai peluang semua calon yang berpotensi, termasuk menilai penjawat kini untuk menentukan siapa yang harus dikekalkan atau digugurkan.

Penggal parlimen dijangka tamat dalam tempoh 18 bulan dari sekarang tetapi spekulasi bertiup kencang bahawa ia boleh diadakan lebih awal, iaitu dalam bulan November tahun ini.

http://www.theborneopost.com/2011/08/31/bekir-ganti-sulaiman/

http://www.theborneopost.com/2011/08/31/taib%E2%80%99s-eldest-son-a-possible-candidate-for-kota-samarahan/

http://www.malaysiakini.com/news/174483