Friday, September 23, 2011

:: Rombakan kabinet Sarawak minggu depan?




Kabinet dirombak minggu depan


by Agnes Tugong. Posted on September 23, 2011, Friday

Rombakan gambarkan strategi baru kerajaan laksana pelbagai polisi pembangunan: Taib

TAIB

KUCHING: Rombakan dan keanggotaan baru kabinet negeri akan diumumkan pada minggu depan yang bakal menggambarkan strategi baru kerajaan dalam melaksanakan pelbagai polisi pembangunan.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, rombakan tersebut tidak akan menyaksikan banyak perubahan keanggotaan tetapi mengutamakan pendekatan berbeza.

“Kami ada membincangkan mengenai perkara ini pada mesyuarat hari ini, tetapi saya tidak akan memberitahu anda.

“Barisan kabinet negeri baru tidak banyak beza dengan yang lepas. Tetapi kami akan melakukan dengan cara yang baru,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

Taib bagaimanapun enggan mengulas lanjut sehingga tiba masanya untuk berbuat demikian.

Rombakan kabinet dilakukan berikutan Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 16 April lepas yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh mandat untuk memerintah semula.

Keputusan pilihan raya itu turut menyaksikan kekalahan beberapa anggota kabinet yang memerlukan ia dirombak bagi mengisi kekosongan.

Antaranya, bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan yang tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau, bekas Menteri Muda Peladang dan Koperasi Datuk Peter Nyarok Entrie di DUN Krian. Dr Chan merupakan Presiden SUPP, manakala Nyarok Timbalan Presiden SPDP.

SUPP turut menyaksikan kekalahan bekas Menteri Muda Industri Makanan Datuk David Teng di DUN Repok manakala bekas Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Dr Soon Choon Teck tidak dicalonkan semula di DUN Dudong.

Bagi PBB pula, bekas Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Abang Abdul Rauf Abang Zen tidak berada dalam kabinet selepas pilihan raya tersebut apabila mengundur diri daripada bertanding mempertahankan kerusi DUN Demak Laut.

Tan Sri Adenan Satem daripada PBB yang dahulunya merupakan penasihat di Pejabat Ketua Menteri, kini dilantik menjadi Menteri Tugas-tugas Khas.

Bekas Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Larry Sng juga tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi DUN Pelagus kerana beliau bukan ahli PRS.

Bagaimanapun, Larry kini memegang jawatan Penasihat Hal Ehwal Belia di Pejabat Ketua Menteri.

PBB kini mempunyai 13 orang menteri penuh dan menteri muda yang terdiri daripada Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Dato Sri Michael Manyin,Datuk Daud Abdul Rahman, Datin Fatimah Abdullah, Mohd Naroden Majais, Abdul Wahab Aziz, Dr. Stephen Rundi, Datuk Talib Zulpilip, Datuk Gramong Juna termasuk Adenan dan Taib sendiri.

SUPP pula mempunyai tiga orang menteri penuh dan menteri muda terdiri daripada Dato Sri Wong Soon Koh, Datuk Lee Kim Shin dan Datuk Francis Harden Hollis.

Sementara itu, PRS turut diwakili oleh tiga menteri penuh dan menteri muda sebagai anggota kabinet terdiri daripada Tan Sri James Masing, Mong Dagang dan John Sikie Tayai.

Bagi SPDP, keanggotaan diwakili oleh tiga menteri penuh dan menteri muda terdiri daripada Tan Sri William Mawan Ikom, Datuk Peter Nansian Ngusie dan Sylvester Entri Muran.


http://www.theborneopost.com/2011/09/23/kabinet-dirombak-minggu-depan/