Ketiadaan Internet hampir menutup peluang belia Orang Ulu menjadi guru
by Sudan AjangJune 26, 2010, Saturday
MIRI: Meskipun gagal memohon Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM) gara-gara tidak mempunyai kemudahan Internet, namun ini tidak mematahkan semangat 25 belia Orang Ulu dari Baram untuk menjadi guru.
Dengan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Lihan Jok, mereka mengambil bahagian dalam program temu duga terbuka selepas pengambilan pada Jun melalui online ditutup.
Menurut Lihan, seramai 300 pemohon menyertai program temu duga terbuka ini, namun hanya 25 yang terpilih untuk menyertai KPLSPM yang menawarkan kursus peringkat ijazah selama lima tahun.
Katanya, semua pemohon yang berjaya akan menjalani latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, Kampus Rajang, Kampus Perlis, Kampus Sultan Abdul Halim, Kampus Tun Hussein Onn, Kampus Tun Abdul Razak dan Kampus Keningau.
“Saya lihat ramai anak-anak tempatan di Baram berminat mahu menjadi guru, namun mereka tidak dapat memohon kemasukan kerana di sana tiada kemudahan Internet. Keadaan inilah yang berlaku semasa ambilan Jun lalu.
“Justeru, saya mengambil inisiatif mengadakan temu duga terbuka bagi memberi peluang kepada mereka untuk memohon melalui program ini,” kata Lihan semasa sidang media di pejabatnya semalam.
Terdahulu beliau menerima kunjungan daripada empat pemohon yang berjaya memasuki KPLSPM.
Mereka ialah Alice Ubong Lian dari Long Moh, Paul Ding Lah dari Long Pilah, Peterus Balan Sing dari Long Liam dan Sharon Lawai dari Long Bemang.
“Menjadi guru sudah menjadi impian saya sejak kecil lagi. Apabila mendapat peluang ini, ia seperti orang mengantuk disorongkan bantal.
“Saya amat berterima kasih kepada Lihan kerana mengambil inisiatif ini,” kata Petrus.
Keempat-empat mereka turut menyatakan bahawa mereka sanggup bertugas di pedalaman demi membantu anak-anak tempatan mendapat pendidikan yang terbaik.
Sementara itu, Lihan agak kecewa dengan pengambilan pelatih KPLSPM yang disifatkannya amat sedikit berbanding jumlah pemohon yang datang memohon.
“Kami perlukan lebih ramai guru-guru di kalangan anak-anak tempatan untuk mengajar di sini. Ini kerana mereka lebih arif mengenai budaya dan persekitaran di sini berbanding guru dari kawasan lain.
“Sebelum ini, terdapat guru-guru dari luar tidak dapat menjalankan tugas mengajar di kawasan Baram kerana gagal menyesuaikan diri.
“Apabila ini berlaku, murid-murid yang akan menjadi mangsa menyebabkan pelajaran mereka terjejas,” katanya.
Justeru Lihan berharap, lebih ramai kalangan anak-anak tempatan yang layak diterima masuk untuk pengambilan pada Januari tahun depan.