Friday, June 25, 2010

:: Retreat BN Sarawak di Royal Mulu Resort

Pilihan raya Sarawak akan diadakan tahun ini
Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my

2010/06/24

Semua wakil rakyat hadiri retreat BN dua hari di Mulu

KUCHING: Pilihan raya Negeri Sarawak dijangka diadakan dalam tahun ini, dengan semua pemimpin dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dipanggil untuk menghadiri retreat BN Sarawak di Royal Mulu Resort, di Mulu, utara Sarawak, kelmarin dan semalam.

Retreat dua hari dua malam itu diketuai sendiri Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, selaku Pengerusi BN Sarawak dengan tumpuan tunggal pada persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10.

Difahamkan Abdul Taib sudah mengarahkan semua jentera BN supaya bersiap sedia sepenuhnya untuk pilihan raya negeri akan datang.

Biarpun tiada indikasi mengenai tarikh sebenar pilihan raya itu, Abdul Taib dikatakan memberi bayangan ia akan diadakan pada bila-bila masa saja.

Semua pemimpin empat parti komponen BN, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP); Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) hadir pada retreat berkenaan, selain semua 62 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Sarawak.

Sarawak mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), membabitkan 62 kerusi BN, DAP (enam), Bebas (dua) dan satu kerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) berdasarkan keputusan pilihan raya negeri 2006.
Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Stephen Rundi Utom, yang dihubungi di Mulu, mengesahkan retreat BN diadakan di Mulu kelmarin dan semalam, namun enggan mengulas lanjut apa yang dibincangkan.

Presiden PRS, Datuk Seri Dr James Jemut Masing, yang turut berada di Mulu semalam mengesahkan retreat BN yang diadakan itu berkisar kepada persiapan menjelang pilihan raya.

"Ia tidak bermakna pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat, cuma Ketua Menteri minta kita semua bersiap sedia sepenuhnya," katanya kepada Berita Harian.

Masing juga menafikan Ketua Menteri ada memanggil mesyuarat BN pada hujung minggu ini seperti dipetik BERNAMA dan retreat juga cuma diadakan dua hari bukan mulai Isnin hingga Jumaat seperti dilaporkan BERNAMA.

Sementara itu, sumber lain berkata, biarpun Pengerusi BN Sarawak itu tidak memberikan indikasi bila pilihan raya negeri akan diadakan, bayangan yang diberikan menunjukkan ia akan diadakan dalam tahun ini.

"Semua wakil rakyat juga diminta supaya 'masuk gear lima' dan bersiap sedia sepenuhnya," kata sumber berkenaan.

Tempoh DUN Sarawak akan berakhir pada 24 Julai tahun depan, dengan sejarah lalu menyaksikan pilihan raya negeri kebanyakannya diadakan dalam tempoh antara enam bulan hingga setahun sebelum tempoh DUN berakhir.