Friday, May 21, 2010

:: Bungan-Dalat: Sikap guru kita ?

Guru disyaki cabul lima murid sekolah

by Michael Ubam
SIBU: Disebabkan isterinya sedang sarat mengandung, seorang guru dipercayai telah mengambil kesempatan untuk memuaskan nafsunya ke atas lima murid sekolah rendah di Kampung Bungan, Dalat dekat sini. Menurut sumber, perbuatan cabul itu dipercayai berlaku di sebuah makmal sekolah berkenaan, di mana guru terbabit dikatakan mengarah mereka ke sana tanpa sebab.

Katanya, guru yang telah berkahwin itu berkemungkinan sering melakukan perbuatan terkutuk itu ke atas murid-muridnya sehinggalah ditemui oleh pihak sekolah.

Ibu bapa lima murid yang menjadi mangsa guru terbabit tidak sama sekali menyangkakan insiden seumpama itu akan berlaku jika tidak dimaklumkan oleh pihak sekolah.

Salah seorang daripada ibu mangsa berkata, anak perempuannya terpaksa tinggal di asrama sekolah kerana jarak ke sekolah dari rumahnya terlalu jauh.

“Saya sangat terkejut kerana perkara ini terjadi kepada anak saya apabila dimaklumkan oleh pihak sekolah,” katanya.

Empat daripada mangsa berkenaan merupakan pelajar Tahun Enam dan seorang lagi adalah pelajar Tahun Lima.

Kesemua mangsa diiringi oleh guru besar sekolah berkenaan dan salah seorang daripada ibu mangsa untuk membuat aduan polis di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Shafie Ismail ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan kes berkenaan.

“Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan perubatan,” katanya dan menambah polis sedang menyiasat kes tersebut untuk menentukan sama ada guru yang terbabit akan didakwa atas kesalahan rogol atau mencabul kehormatan.

Suspek dalam lingkungan umur 30-an dan berasal dari pekan Kanowit, merupakan guru sains dan tinggal di asrama sekolah berkenaan bersama isterinya sejak 10 tahun lalu.


berita berkaitan:

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Gurucabullimamurid/Article
http://www.theborneopost.com/?p=31024