Ghairah budaya 'A' dalam pelajaran mengundang padah, salah siapa?
Ali Bukhari Amir Wed Nov 21, 07 9:37:56 am MYT
Salahkah memasang niat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan? Hal ini tentu tidak menyalahi moral dan bercanggah dengan akhlak sejagat. -->
Tapi, di mana silapnya sehingga membawa padah ke atas Subashini yang tidak mencapai 4A dalam UPSR baru-baru ini?
S Subashini, 12, pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah Nibong Tebal menjangka dia mendapat 4A sehinggalah keputusan adalah sebaliknya.
17 November lalu, beliau dijumpai tergantung di jeriji tingkap bilik tidur dengan sehelai kain selimut oleh kakaknya. Menurut bapanya, G. Sivakumar, 36, anaknya menunjukkan sikap seperti biasa termasuk makan bersama dan menonton televisyen bersama adik-adik.
"Kira-kira pukul 1.40 petang, kakak dia masuk bilik dan nampak dia tergantung dengan kain selimut di tingkap. Tapi masa itu dia masih bernyawa lagi lalu kami terus bawa dia ke Hospital Sungai Bakap," kata Sivakumar.
Selepas keputusan UPSR, dikeluarkan 15 Nov lalu, menurut bapanya, Subashini murung kerana tidak mendapat keputusan seperti yang diharapkan iaitu sekurang-kurangnya 4 A. "Saya beritahu dia keputusan itu sudah cukup baik kerana dia ambil tujuh mata pelajaran dan saya berjanji untuk beri dia tuisyen Bahasa Malaysia tahun depan. Saya berjanji akan beri satu cincin untuk setiap A yang dia dapat sebagai semangat untuk dia berusaha.
"Selepas hari itu dia nampak normal dan ceria macam biasa tetapi tidak sangka dia boleh ambil tindakan nekad dengan menggantung dirinya, saya cukup sedih dan terkejut dengan tindakannya," kata Sivakumar.
Sikap membunuh diri dalam kalangan pelajar kerana tidak mencapai keputusan terbaik ini dibimbangi akan merebak jika tidak dibendung sejak awal. Sebenarnya, ada masalah yang mungkin lebih berat daripada itu.
Dalam realiti pendidikan di Malaysia misalnya tuntutan kecemerlangan akademik dalam pendidikan boleh dikatakan terlalu kuat dengan pengaruh media yang lazim menfokuskan persoalan ini dari segi sekolah terbaik sehinggalah kepada kecemerlangan akademik itu.
Tapi, masalah yang dihadapi oleh para pelajar ini ialah kesukaran memahami ilmu dalam bahasa ibunda menyekat perkembangan pembelajaran termasuklah para guru sendiri yang turut menghadapi tekanan yang sama untuk mengajar pelajar tersebut.
Sikap pihak atasan yang menagih kecemerlangan dan dalam masa sama menutup peluang dengan menyukarkan pelajar untuk berjuang mendapat ilmu adalah suatu tekanan juga.
Di Singapura, jumlah individu yang membunuh diri meningkat dari 346 pada tahun 2003, kepada 419 tahun lalu. Namun, perangkaan ini tidaklah membabitkan pelajar. Sebaliknya, kebanyakan mereka adalah lelaki berusia 40-an dan wanita berusia 50-an. Sebuah badan Melayu menyatakan bahawa golongan ini tidak boleh diwawancarai kerana takut mereka kembali kepada kecenderungan mereka. Orang yang pernah membunuh diri menurut sesetengah ahli psikologi sukar dipulihkan kerana mereka akan terus mencuba membunuh diri setiap kali ada masalah besar. Golongan terhimpit ini tertekan akibat tanggungjawab menanggung ibu-bapa yang sudah tua, sakit-sakit, ditambah dengan kos kerana kos perubatan yang tinggi, termasuklah kos pendidikan anak-anak sekolah yang juga mahal.
Menurut Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 2006 di negara pulau itu, jumlah Melayu Muslim yang membunuh diri adalah 5.5%. Perangkaan ini dianggap masih kecil. Namun, ia tetap membimbangkan bukan kerana kuantitinya kecil, malah sikap membunuh diri itu sendiri sudah menunjukkan amalan yang parah!
Hal membunuh diri itu kebanyakannya bermotifkan ekonomi selain daripada putus cinta. Di Kuantan, seorang wanita menelan racun tikus kerana keinginannya memiliki pinggan mangkuk berjenama Leno tidak dipenuhi suaminya. Menurut laporan, si suami menolak permintaan itu kerana mereka sudah memiliki banyak pinggan mangkuk. Walaupun berjaya diselamatkan, tapi kes itu tetap disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh diri. Maknanya, pesakit kejiwaan dalam kes ini bukan lagi dirawat, tetapi dihukum kerana dilihat sebagai suatu jenayah.
Tekanan ke atas pelajar untuk mendapat kecemerlangan juga memiliki unsur bermotifkan ekonomi. Lazimnya dibisikkan kepada pelajar melalui ucapan menteri, guru dan ibu bapa bahawa akademik adalah 'lesen' mendapat pekerjaan. Kerjaya adalah aset ekonomi. Jadi, sememangnya tindakan membunuh diri ada kaitan rapat dengan ekonomi.
Akhir-akhir ini, fenomena pengangguran menyebabkan kita perlu fikirkan semula adakah benar tanggapan ini. Hal tekanan ini menjadi-jadi dengan kebanjiran pekerja asing yang menutup ruang pekerjaan rakyat di Malaysia.
Suatu kemujuran di negara ini, kerana setakat ini masih belum dijumpai kes pengganggur yang tertekan, membunuh diri kerana sulit mencari kerja atau dibuang kerja. Tapi, sampai bilakah ucapan ini boleh bertahan? Iaitu, ucapan menyatakan ilmu sebagai aset kerjaya?
Singapura mempunyai gejala membunuh diri dalam kalangan pelajarnya yang agak tinggi berbanding negara jiran di rantau Asean ini. Tidak mustahil gejala ini akan merebak ke Malaysia kalau sikap terlalu mengejar kecemerlangan ini tidak ditampung ucapan positif melalui media dan menteri: "Tapi, kalau tidak berjaya pun tak apa, teruskan kehidupan."
Kurangnya kata-kata tampungan ke atas seruan yang ghairah menyeru ke arah cemerlang akademik ini mungkin antara hal yang menyebabkan mereka akhirnya berasa tiada guna lagi meneruskan kehidupan jika terkandas dalam peperiksaan.
Mengulas masalah bunuh diri dalam kalangan pelajar ini, seorang pakar kaunseling dari Fakulti Pendidikan UM, Dr Mariani Mohd Nor dalam Selamat Pagi Malaysia kelmarin menyimpulkan bahawa hal ini berpunca daripada keghairahan seluruh ahli masyarakat.
"Sebenarnya, kita mahukan individu yang mempunyai sahsiah yang seimbang, jadi bukan cemerlang akademik saja. Semua yang terlibat dalam dunia pendidikan itu perlu tahu apa semangat yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
"Kalau kita cuma sebut A pada akademik, tapi sosial dan emosinya tidak A, ini bukanlah budaya A yang kita mahukan. Apa yang terjadi sekarang ialah, apabila keputusan keluar, kita mula menyebutkan bahawa sekolah ini terbaik kerana ramai mendapat A.
"Akhirnya, kita sebut bahawa ini negeri terbaik kerana ramai pelajarnya dapat A. Adakah negeri lain tak baik? Ini menyebabkan guru sekolah dan guru besar cenderung menyusun pelbagai aktiviti semata untuk mengejar nama. Akhirnya, semua pihak tension," katanya.
Ringkasnya, budaya A atau ghairah mencari A ini terbina melalui ucapan pimpinan serta diikuti guru-guru sekolah termasuklah ibu bapa murid-murid itu. Bermula sekarang, kita perlu membiasakan diri melafazkan ucapan semangat menagih A ini yang kemudiannya ditampung, diikuti dan diiringi ucapan positif jika ditemukan kecacatan dalam usaha.
Dalam konteks yang lebih luas, pengajaran yang ditemui di sini antaranya - kaum menteri jangan hendaknya kerap menyebut cemerlang-gemilang-terbilang sebab ia mendatangkan ketegangan menyeluruh jika kerajaan sendiri gagal memenuhi hasrat dan cita-cita menuju Wawasan 2020 dan Misi 2057.
Bertambah tegang lagi rakyat jika mereka ingin menuntut kecemerlangan di dalam politik tetapi hakikatnya apa yang ditemukan ialah pilihan raya yang tidak bersih, tidak adil serta berat sebelah. Inilah yang menyebabkan mereka tegang di jalanan.
Jikalau gejala ucapan "bekerjalah bersama saya", "Cemerlang, Gemilang dan Terbilang", "mengangkasa bangsa", "mengglokalkan Malaya" tidak dibendung, tidak juga ditampung ucapan tawaduk, "Saya ingin bertaubat", "Maafkan daku Altantuya" dan lain-lain ucapan bersifat merendah diri, makin membuak-buaklah tension dan ketegangan di pihak rakyat.
Maka, luapan ketegangan ini meruap ke serata negeri, merebak ke jalan raya melalui aksi hadhari polis FRU dan lagak ngeri para demonstran kuning pula adanya. - mks.
-->