Sunday, November 04, 2007

:: Mengacau


DANG SETIA

JIKA anda berdepan pelbagai masalah, sama ada pelajaran, rakan sebaya, keluarga, alam percintaan atau menjalani kehidupan seharian, anda boleh mengemukakannya kepada kami. Insya-Allah Dang Setia akan berusaha meleraikan permasalahan itu. Hantarkan masalah kepada :

Dang Setia (Metro Ahad), 31, Balai Berita Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.
Faksimili : 03-22848390
E-mel: dangsetia@hmetro.com.my



Cinta palsu suami orang


Soalan:

APA yang saya cuba sampaikan di sini bertujuan memberi peringatan kepada remaja sebaya saya dan sesiapa yang berkaitan. Saya berumur 21 tahun dan pelajar diploma di tahun akhir.

Saya berkawan dengan teman lelaki hampir dua tahun. Umurnya sebaya saya. Dia melayan saya dengan baik sekali dan dia juga baik kepada keluarga saya. Ibu saya juga suka kepadanya.

Namun apakan daya, saya jatuh cinta pula dengan orang lain yang umurnya enam tahun lebih tua. Biar saya namakan dia H. Lebih menyedihkan, orang yang saya jatuh cinta itu sudah berkahwin.

Disebabkan janji manis dan layanan baik diberikan kepada saya, saya buta dan tinggalkan teman lelaki saya, biarpun ketika itu saya baru mengenali H tidak sampai seminggu.

Awal perkenalan kami, semuanya berjalan lancar. H berjanji untuk tidak buat saya rasa dia sudah berkahwin dan dia berjaya lakukannya. Bagaimanapun selepas beberapa bulan, isterinya dapat menghidu hubungan kami.

Saya cuba untuk undur diri, tapi H menghalang saya. H masih nak teruskan hubungan kami. H berjanji akan berkahwin dengan saya. H kuatkan semangat saya dan berkata sayalah yang ada di hatinya, bukan isterinya.

Dia tidak pandang isteri di depan mata. H cuba ugut saya dengan berkata, kalau saya tinggalkan dia, isterinya juga akan dia tinggalkan. Saya jadi takut kerana tidak mahu perceraian berlaku disebabkan saya.

Saya langsung tidak tahu saya diperbodohkan. Selama 10 bulan perkenalan saya dengan H, macam-macam yang saya lalui. Walaupun masih belajar, saya tetap buat kerja sambilan di tempat kerja H semata-mata untuk bersamanya.

Duit saya banyak habis untuk H. Saya penuhi segala permintaan dia, sedangkan teman lelaki saya dulu tidak pernah sedikitpun susahkan hidup saya. Saya bukan saja habis duit, tapi maruah diri saya juga tergadai. Semuanya kerana cinta.

Selama hampir dua tahun bersama teman lelaki saya dulu, kami tidak pernah buat kerja terkutuk itu. Kini H dengan senang hati meninggalkan saya. Baru saya tahu lelaki memang ayat manis. Banyak yang saya pelajari sepanjang bersama H.

Saya juga terlepas peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah kerana H tidak benarkan saya sambung belajar. Dia nak saya bersama dia, tapi semuanya tipu belaka.

Di luar sana, saya nak nasihatkan remaja wanita supaya jangan mudah percaya pada lelaki. Hargailah apa yang ada di depan mata. Jangan sesekali benarkan diri anda dinodai.

Yang paling, penting jangan percayakan suami orang! Cinta mereka hanya kerana seks semata-mata. Jangan jadi seperti saya yang kini menyesal seumur hidup.

YANG MENYESAL



Jawapan:

Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman di ruangan ini untuk menjadi iktibar kepada orang lain.

Rasanya, tidak perlu Dang Setia mengulas panjang lebar mengenai nasib yang menimpa saudari.

Sebagaimana saudari, Dang Setia juga berharap pengalaman pahit saudari mampu memberi pengajaran kepada pembaca. Sekurang-kurangnya ia memberi perspektif baru kepada penggemar ruangan ini.

Maksudnya, jika Dang Setia menyatakan jangan bercinta dengan suami orang kerana mungkin mereka hanya inginkan tubuh anda, mungkin ramai beranggapan Dang Setia tidak betul dan lebih percayakan teman lelaki mereka.

Namun, apa yang saudari alami secara jelas membuktikan betapa besarnya kesilapan yang saudari lakukan. Selain kehilangan teman lelaki yang baik, maruah diri saudari juga tergadai serta gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Kesimpulannya, kepada remaja wanita, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi di luar sana yang kini asyik mahsyuk bercinta dengan suami orang, beringatlah sebelum kena. Janganlah sudah terhantuk, baru nak tengadah.