Monday, January 02, 2012

:: SURAT : CUEPACS bersuara hal SBPA...?




Surat Pembaca: Mengapa sekarang CUEPACS bersuara?


2011/12/19

TERKEJUT apabila Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah opsyen yang terkandung dalam Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Perdana Menteri ketika membentangkan bajet juga menyatakan bahawa pelaksanaan SBPA mengandungi 'dasar pemisah.'

Sepatutnya pada waktu itu, CUEPACS mengambil langkah proaktif untuk mengkaji apakah dasar ‘exit policy’ yang akan dilaksanakan dan mengemukakan cadangan balas, bukan mengambil tindakan membantah apabila dasar itu bakal dilaksanakan. Sebelum ini pemimpin CUEPACS sentiasa mengucapkan terima kasih setiap kali perjumpaan diadakan kerana kerajaan sedia berunding dalam apa saja perkara membabitkan penjawat awam.

Tetapi mengapa sekarang CUEPACS menyatakan mereka tidak pernah diajak berbincang?

Sebagai penjawat awam, kita seharusnya memahami kandungan pekeliling yang dikeluarkan, jika faham kita tidak akan membantah sebaliknya mengemukakan cadangan untuk penambahbaikan.

Mengenai pergerakan gaji tahunan mengikut kadar peratus yang dimaklumkan, kita perlu melihat jadual gaji yang diberi kepada kumpulan perkhidmatan yang ditawarkan. Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana yang ditetapkan Gaji Sebaris (JGS) mengikut kadar pergerakan gaji tahunan dari RM80 hingga RM320 dan ia lebih tinggi daripada Skim Saraan Malaysia (SSM).

Kadar peratus yang dinyatakan untuk kumpulan Premier yang gajinya ‘single point’ dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi yang mempunyai Jadual Gaji Minimum dan Maksimum saja. Kita juga perlu faham dengan kaedah ini kerana bukannya semua jadual gaji dapat melaksanakan kaedah peratusan.

Pemimpin CUEPACS menasihatkan kepada sesiapa yang tidak berkaitan supaya jangan campur tangan dalam hal ini. Tetapi sedarkah bahawa mereka sendiri yang mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju sekiranya kerajaan melaksanakan pengambilan ‘orang luar’ untuk mengisi jawatan dalam kumpulan Premier sedangkan kumpulan Premier dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi bukan anggota CUEPACS.

Sudah tiba masanya CUEPACS berbincang dalam majlis kongres apa sebenarnya yang terkandung dalam pelaksanaan SBPA.

BAKAL PESARA SETUJU SBPA,
Jitra, Kedah