Mayat Kho, 19, ditemui oleh penduduk kampung yang mencari siput sedut di tebing sungai berhampiran stesen jana kuasa elektrik arang batu di Sejingkat, berdekatan Muara Tebas.
Mayat mangsa dijumpai di celah-celah akar pokok bakau liar dalam keadaan yang masih sempurna.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Roslan Bek Ahmad mengesahkan penemuan tersebut selepas bapa mangsa, Kho Khiew Teck mengecam mayat tersebut adalah anaknya berdasarkan kunci kereta yang masih terdapat di dalam poket baju seragam sekolahnya.
Mayat mangsa dihantar ke Rumah Mayat Hospital Umum Sarawak (HUS).
Semasa ditemui pemberita, Khiew Teck memberitahu mereka sekeluarga tidak pernah berputus asa mencari mangsa dan amat menghargai sokongan, sumbangan dan pertolongan yang telah disalurkan pelbagai pihak.
“Saya dimaklumkan oleh pihak polis mengenai penemuan tersebut sekitar jam 11.30 pagi dan mereka meminta saya datang ke tempat tersebut bagi mengenal pasti mayat yang dijumpai.
“Kami sebelum ini memang tidak pernah berputus asa mencari dia, dan sekarang kami reda dengan perkara ini,” katanya.
Beliau turut memberitahu, mayat mangsa akan disemadikan dalam satu upacara di Bau hari ini.
Operasi mencari mangsa yang digerakkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis dihentikan beberapa hari lalu apabila ia memasuki tempoh dua minggu lebih.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 7.30 pagi, 5 Januari lepas, Kho dikatakan terjatuh ke dalam longkang yang berarus deras ketika banjir kilat melanda bandar raya ini.
Mendiang dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah apabila sekolah mereka ditutup berikutan paras air semakin naik.
Melihat kejadian itu, seorang pekerja lelaki stesen minyak Shell yang terletak berhampiran, terjun ke longkang dalam usahanya menyelamatkan Kho.
Bagaimanapun, Herman Sihas, 29, turut lemas dan dihanyutkan arus deras.
Mayat Herman atau nama Islamnya, Mohamed Sulaiman Abdullah, dijumpai pada 7 Januari di Sungai Maong.