Monday, January 09, 2012

:: Politik Sarawak: SPDP 5 menukar arah ?


Krisis dalaman SPDP makin parah
Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my
2012/01/08


KUCHING: Krisis dalaman Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) semakin meruncing apabila Presidennya, Tan Sri William Mawan Ikom, menganggap tindakan empat pemimpin parti itu yang bertindak keluar parti sebagai tidak memberi sebarang kesan kepada SPDP.

"Itu hak mereka untuk meninggalkan parti. Lagipun, mereka sudah memisahkan diri daripada aktiviti parti sejak sekian lama. Tindakan mereka keluar parti tidak memberi kesan," katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, empat pemimpin SPDP, Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tekhee Lafe; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Peter Nansian Ngusie; ADUN Bekenu, Rosey Yunus dan ADUN Batu Danau, Paulus Palu @ Gumbang mengumumkan keluar parti tetapi tetap anggota Barisan Nasional (BN).
Mereka berempat mengambil keputusan berkenaan susulan pemecatan keahlian rakan mereka yang juga ADUN Marudi, Datuk Sylvester Entri Muran, pada 25 November lalu, selain pengguguran mereka daripada jawatan dalam parti.

Entri adalah juga Menteri Muda Kemudahan Awam dan Menteri Muda Pertanian Sarawak, manakala Nansian - Menteri Muda Pembangunan Pertanian dan Menteri Muda Perkhidmatan Komuniti dan Rosey - Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga.

Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial berkata, selama ini pintu SPDP sentiasa terbuka untuk kelima-lima pemimpin terbabit, tetapi mereka tidak mahu memanfaatkan peluang.

SPDP kini mewakili enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan empat daripadanya bersama 'kumpulan 5'. Selain Mawan yang juga ADUN Pakan, seorang lagi yang masih dalam SPDP ialah ADUN Meluan, Wong Judat.
Mawan berkata, SPDP akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan tindakan empat wakil rakyat itu dan cadangan anggota 'Kumpulan 5' yang mahu menubuhkan dan bergerak menggunakan jentera 'Kelab Barisan Nasional'.

Sambil menganggap empat wakil rakyat terbabit sebagai sengaja mencuri tumpuan dengan bertindak sedemikian, beliau berkata, jika mereka benar setia kepada BN, mereka tidak akan memburukkan imej SPDP.

SPDP mula bergolak selepas persidangan tiga tahun sekali 2009 apabila Entri mempersoalkan tindakan Mawan menukar jawatannya daripada Setiausaha Agung kepada Naib Presiden.

berita berkaitan:

http://www.theborneopost.com/2012/01/08/seats-stay-with-party-mawan/

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KrisisdalamanSPDPmakinparah/Article