Monday, January 23, 2012

:: Kho Ying Qi... dicelah akar bakau tua di Sejingkat ?


Mayat Kho akhirnya ditemui di Sejingkat

Posted on January 22, 2012, Sunday

KUCHING: Mayat Kho Ying Qi, pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang, yang terjatuh ke dalam longkang di Jalan Rock di sini pada 5 Januari lepas, dijumpai di tebing Sungai Sarawak pada kira-kira jam 9 pagi semalam.


PENCARIAN BERAKHIR: Mayat mendiang Kho semasa dibawa ke HUS.


Mayat Kho, 19, ditemui oleh penduduk kampung yang mencari siput sedut di tebing sungai berhampiran stesen jana kuasa elektrik arang batu di Sejingkat, berdekatan Muara Tebas.


Mayat mangsa dijumpai di celah-celah akar pokok bakau liar dalam keadaan yang masih sempurna.


Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Roslan Bek Ahmad mengesahkan penemuan tersebut selepas bapa mangsa, Kho Khiew Teck mengecam mayat tersebut adalah anaknya berdasarkan kunci kereta yang masih terdapat di dalam poket baju seragam sekolahnya.


Mayat mangsa dihantar ke Rumah Mayat Hospital Umum Sarawak (HUS).


Semasa ditemui pemberita, Khiew Teck memberitahu mereka sekeluarga tidak pernah berputus asa mencari mangsa dan amat menghargai sokongan, sumbangan dan pertolongan yang telah disalurkan pelbagai pihak.


“Saya dimaklumkan oleh pihak polis mengenai penemuan tersebut sekitar jam 11.30 pagi dan mereka meminta saya datang ke tempat tersebut bagi mengenal pasti mayat yang dijumpai.


“Kami sebelum ini memang tidak pernah berputus asa mencari dia, dan sekarang kami reda dengan perkara ini,” katanya.


Beliau turut memberitahu, mayat mangsa akan disemadikan dalam satu upacara di Bau hari ini.


Operasi mencari mangsa yang digerakkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis dihentikan beberapa hari lalu apabila ia memasuki tempoh dua minggu lebih.


Dalam kejadian pada kira-kira jam 7.30 pagi, 5 Januari lepas, Kho dikatakan terjatuh ke dalam longkang yang berarus deras ketika banjir kilat melanda bandar raya ini.


Mendiang dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah apabila sekolah mereka ditutup berikutan paras air semakin naik.


Melihat kejadian itu, seorang pekerja lelaki stesen minyak Shell yang terletak berhampiran, terjun ke longkang dalam usahanya menyelamatkan Kho.


Bagaimanapun, Herman Sihas, 29, turut lemas dan dihanyutkan arus deras.


Mayat Herman atau nama Islamnya, Mohamed Sulaiman Abdullah, dijumpai pada 7 Januari di Sungai Maong.



Friday, January 20, 2012

:: Hospital Taiping... anak kudung... Nur Amani Nasuha...


Hospital Taiping mahu jumpa ibu bapa bayi malang


Oleh NOR IDAYU BOSRO
idayu.bosro@kosmo.com.my

UMI KALSUM menunjukkan keadaan kaki kanan anaknya yang dipotong
akibat jangkitan kuman di Desa Aman Puri, Kepong, Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR - Pihak pengurusan Hospital Taiping akan mengadakan pertemuan dengan pasangan suami isteri kepada bayi malang yang kakinya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman, Mohd. Hasmadi Mohd. Nor, 30, dan Umi Kalsum Baharuddin, 24, pada Rabu depan di hospital berkenaan.

Pertemuan itu adalah bagi menjelaskan kes anak perempuannya, Nur Amani Nasuha secara lebih terperinci setelah pasangan itu mendakwa kecacatan anak mereka berpunca daripada kecuaian doktor yang lambat bertindak selepas kaki kanan bayi itu dijangkiti kuman dan akhirnya terpaksa dipotong.

Mohd. Hasmadi ketika dihubungi berkata, pengarah hospital berkenaan telah menghubunginya pagi semalam setelah berita mengenai anaknya itu dipaparkan pada muka depan Kosmo! semalam.

"Saya menerima panggilan telefon daripada dia (pengarah) dan dia mahu bertemu dengan kami sekeluarga bagi memberi penjelasan lanjut.

"Saya juga mahu mereka lihat sendiri keadaan terkini Nur Amani," katanya dengan menambah anak perempuannya itu sihat dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

Kosmo! semalam melaporkan mengenai kecacatan yang dialami oleh Nur Amani selepas kaki kanan bayi itu didakwa terpaksa dipotong tiga minggu selepas dilahirkan ekoran kelewatan pihak hospital lambat bertindak untuk merawat kakinya yang dijangkiti kuman.




.......................................................................................................................


Salahkan doktor anak kudung

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my

MOHD. HASMADI dan Umi Kalsum menunjukkan kaki kanan
Nur Amani Nasuha yang telah kudung di rumah mereka di Kepong, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Impian sepasang suami isteri untuk menimang cahaya mata yang sempurna sifatnya tidak kesampaian selepas kaki kanan bayi perempuan mereka terpaksa dipotong tiga minggu selepas dilahirkan awal bulan lalu.

Walaupun reda dengan apa yang berlaku, ibu bapa bayi itu, Mohd. Hasmadi Mohd. Nor, 30, dan Umi Kalsum Baharuddin, 24, tetap terkilan kerana mereka mendakwa kakitangan Hospital Taiping yang merawat anak sulung mereka itu, Nur Amani Nasuha lambat bertindak sehingga menyebabkan pergelangan kakinya terpaksa dipotong pada 1 Disember lalu.

Mohd. Hasmadi berkata, kakitangan hospital mendapati jari kaki kanan Nur Amani Nasuha telah dijangkiti kuman dan bertukar menjadi biru seawal 19 November lagi.

“Pihak hospital mengambil masa dua minggu untuk memantau apa yang berlaku sehingga semuanya sudah terlewat dan kaki anak kami terpaksa dipotong.

“Kalau mereka cepat bertindak mungkin jari anak saya sahaja yang dipotong dan bukan pergelangan kaki, hancur luluh hati kami dibuatnya,” kata Mohd. Hasmadi kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Desa Aman Puri, Kepong di sini semalam.

Dia yang bekerja di kilang pemasangan kenderaan di sini memberitahu, Nur Amani Nasuha dilahirkan tidak cukup bulan pada 7 November tahun lalu di hospital itu dan ditempatkan di wad kerana masalah pernafasan.

“Saya lihat jururawat di situ mengambil sampel darah dan memberi suntikan antibiotik setiap hari di bahagian kaki kanan.

“Tapi pada 19 November, doktor memberitahu ibu jari serta dua jari lain kaki kanan anak saya bertukar biru akibat jangkitan kuman,” ceritanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2012&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Wednesday, January 18, 2012

:: Kisah guru j-QAF...



‘Guru j-Qaf perlu sedia terima tugas’
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim dan H Hifzuddin Ikhsan

2012/01/18

KUALA LUMPUR: Guru j-Qaf diminta bersedia menerima tugas dipertanggungjawabkan kepada mereka walaupun terpaksa bertugas di pedalaman, termasuk Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kementerian bersimpati dengan nasib guru j-Qaf di sana, namun perlu memberi keutamaan kepada pelajar yang berdepan masalah kekurangan guru.
Beliau berkata, meskipun kementerian membuat perjanjian guru j-Qaf boleh memohon bertukar ke Semenanjung selepas berkhidmat tiga tahun, permohonan perlu melalui mesyuarat berpusat e-GTukar, yang diadakan dua tahun sekali.
“Mesyuarat ini mempertimbangkan beberapa perkara terutama masalah pengganti guru kerana jawatan guru j-Qaf adalah di luar norma, yang mana pengganti diperlukan jika pertukaran diluluskan.

“Keterbatasan tempat di negeri asal dimohon bertukar juga menyebabkan kelulusan pertukaran diberi terhad dan mengikut keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu guru j-Qaf di Sarawak yang sukar bertukar walaupun sudah mencukupi tempoh perkhidmatan.

Lebih 1,000 guru j-Qaf mula dihantar bertugas ke Sarawak sejak 2005 masih belum dapat bertukar ke Semenanjung meskipun sudah melebihi tempoh berkhidmat sehingga mengakibatkan guru berkenaan menghadapi tekanan.

Bagaimanapun, katanya, kementerian berusaha mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan masalah pertukaran itu diatasi sebaik mungkin.

“Sejak tahun lalu, kementerian cuba menyeimbangkan jumlah pengambilan guru dengan dasar 30:30:40 iaitu 30 peratus guru masing-masing dari Sabah dan Sarawak, manakala 40 peratus lagi guru Semenanjung,” katanya.

Di KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) meminta Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan kementerian bersikap sensitif dan bertimbang rasa ketika berdepan isu perpindahan guru j-Qaf ke Semenanjung.

Tindakan tidak membenarkan guru j-Qaf berpindah hanya akan menyebabkan guru berkenaan bertugas dalam keadaan tidak rela dan gembira dengan kesannya akan dihadapi murid atau pelajar sekolah tempat mereka bertugas.




Tuesday, January 17, 2012

:: Dato' Dr Asariah Meor Shaharuddin yang dikenali...



November 8, 2011 by
Filed under Wanita



Peluang bertemu personaliti wanita minggu ini merupakan satu bonus buat penulis. Bukan sahaja ramah malah dirinya penuh dengan pengalaman dalam bidang pendidikan yang diceburi selama lebih 35 tahun.

Meskipun sudah menamatkan perkhidmatannya sejak tiga bulan lalu (ketika artikel ini ditulis), Dato” Dr Asariah Mior Shaharuddin, 58 masih bergiat aktif dengan bengkel, seminar serta pembentangan kertas kerja yang dianjurkan bagi mendapat khidmat nasihatnya.

Boleh dikatakan hampir setiap minggu jadual hariannya pasti penuh dengan jemputan. Sungguhpun begitu, wanita berjiwa kental ini masih sudi meluangkan masa biarpun seketika untuk diwawancara. Janji temu yang diatur berlangsung seperti yang diharapkan. Dengan senyuman manis yang terukir di bibir ibu kepada tiga cahaya mata ini, kami dijemput masuk ke kediamannya di Bukit Damansara.

Melihatkan kawasan sekitar jelas menunjukkan bahawa dia gemar pada kehijauan. Apabila soalan diajukan nyata jawapan yang diberi bertepatan dengan telahan penulis.

“Saya memang sukakan alam semula jadi. Melihatkan tumbuh-tumbuhan yang menghijau serta kepelbagaian warna bunga membuatkan perasaan tenang dan damai. Sebab itu, bila ada masa terluang saya akan berkebun, membaja atau memotong mana-mana bahagian tanaman yang sudah rosak. Seandainya sibuk, saya akan panggil tukang kebun untuk lakukannya. “Walaupun dah bersara tetapi rasanya kesibukan itu masih sama. Kadang-kadang nak rehat di rumah pun tak sempat. Sekejap ke sini, sekejap ke sana. Tetapi saya gembira kerana ilmu serta pengalaman saya masih diperlukan. Insya-Allah, selagi hayat di kandung badan, saya akan cuba membantu semampu yang mungkin bagi memartabatkan institusi pendidikan negara,” jelasnya panjang lebar.

Sinonim dengan profesion yang diceburi, buku tentunya dekat di hatinya. Hampir setiap hari, dia sedaya upaya mencari masa untuk membaca. Bila ditanya genre bacaan yang digemari, segera bibir wanita ini menguntum senyuman. Jelasnya, bacaan berbentuk ilmiah dan motivasi sentiasa mencuri perhatiannya.

“Terbaru, saya baru sahaja selesai menghabiskan buku tulisan Jim Collins berjudul Good To Great. Menarik sangat isi kandungannya. Sememangnya memberi motivasi serta panduan pada saya untuk memperbaiki kelemahan diri.

“Sebenarnya, dengan membaca buku-buku sebegini secara tidak langsung menggalakkan kita untuk berfikir secara positif selain menambah ilmu pengetahuan. Kalau nak tahu, membaca adalah hobi saya. Walau sibuk macam mana sekalipun, saya akan curi masa untuk membaca. “Pada anak-anak pun saya tekankan perkara ini dan alhamdulillah, mereka juga berkongsi minat yang sama. Seronok sangat kerana selepas habis membaca, kami akan berkongsi cerita tentang buku-buku tersebut.

“Secara tidak langsung situasi ini mengeratkan silaturahim di samping menguji ingatan mengenai isi kandungan buku-buku berkenaan,” ulas nenek kepada empat cucu ini penuh ceria.

Bangga Jadi Guru
Menceritakan tentang latar belakangnya dahulu, mantan Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia ini memulakan kerjaya sebagai pendidik sebelum menjadi pensyarah di maktab perguruan. Dari situ, dia mendaki tangga hingga akhirnya dipanggil oleh Kementerian Pelajaran untuk menabur jasa selama lebih dua puluh tahun.

“Saya bangga menjadi guru dan bersara dalam bidang yang sama. Biarpun situasi berbeza di mana guru mendidik di bilik darjah sementara kerjaya akhir saya di pejabat namun objektifnya tetap sama.

“Jiwa raga saya hanya pada profesion mulia ini. Syukur Alhamdulillah dengan apa yang dinikmati sepanjang perkhidmatan saya dahulu. Secara peribadi, saya sangat puas dengan sumbangan kepada perancangan dan pembangunan bidang perguruan di Malaysia.

“Paling menjadi ingatan dan bermakna ialah penglibatan secara langsung dalam usaha meningkatkan taraf keguruan di Malaysia seperti menaik taraf Maktab Perguruan kepada Institusi Pendidikan Guru yang menawarkan program ijazah,” ujar Dato” Dr Asariah.

Selain itu, wanita itu juga terlibat dengan usaha-usaha meningkatkan tahap akademik serta kualiti guru dari guru-guru diploma kepada guru-guru siswazah.

“Di sini, saya membuka peluang kepada guru-guru wanita khasnya untuk menyambung pengajian kerana seperti diketahui banyak kekangan berlaku pada golongan ini. Mereka berhadapan dengan banyak cabaran dan tanggungjawab sama ada pada suami, anak-anak serta keluarga berbanding guru-guru lelaki. Malah ada di antaranya terpaksa meninggalkan insan-insan tersayang semata-mata mendapatkan pendidikan yang lebih tinggi.

“Dengan adanya pengajian program jarak jauh, guru-guru wanita dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. Tidak lagi berhadapan dilema atau kerisauan yang sebelum ini menyelubungi fikiran.

“Walaupun usaha ini telah dilakukan lebih kurang sepuluh tahun yang lalu namun sekarang ia lebih diperhebat bagi mencapai objektif rancangan Malaysia ke-10 untuk melahirkan guru-guru yang berkelulusan sekurang-kurangnya Ijazah Pertama,” ceritanya yang masih bersemangat untuk meneruskan perjuangan bagi memartabatkan profesion perguruan di peringkat yang lebih tinggi.

Sabar Dan Komited
Mendengar bicara yang disampaikan jelas membuktikan bahawa dirinya masih belum bersedia untuk bersara. Selagi diri masih diperlukan, Dato” Dr Asariah akan terus menabur bakti bagi menaikkan profesion yang dicintai.

“Sebenarnya, masih banyak yang boleh dilakukan untuk mengangkat profesion ini. Umum sedia maklum, guru adalah satu kerjaya yang mulia dan menuntut banyak pengorbanan.

Mengajar dan mendidik adalah dua elemen berbeza dan tentunya pendekatan yang perlu digunakan tidak sama.

“Sama ada di peringkat rendah mahupun menengah, guru perlu banyak bersabar dan komited mencurahkan ilmu kepada anak bangsa. Meskipun dikritik atau difitnah, guru perlu tabah dan kuat mengharungnya bagi melahirkan generasi pelapis yang berjaya sama ada di dunia mahupun akhirat.

“Jujur dikatakan saya merasa sangat puas dengan apa yang telah dilakukan. Rasanya, saya dah berikan semua yang terbaik untuk memartabatkan profesion ini. Sekalipun tidak lagi terikat dengan jadual kerja di kementerian tetapi saya tak pernah rasa sunyi atau sedih.

“Secara zahirnya saya dilihat sudah bersara tetapi hakikatnya, usaha serta cinta saya masih di bidang ini. Saya tetap sibuk seperti dahulu tetapi kali ini diberi lebih masa untuk keluarga tercinta.,” luahnya sambil menunjukkan beberapa keping foto kenangan sewaktu berkhidmat dengan kementerian.

Friday, January 13, 2012

:: SBPA disemak atau ditangguh...?



Khamis Januari 12, 2012
SPBA Disemak Semula - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula.

Semakan tersebut bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA.

"Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuatkuasa mulai1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Beliau berkata, Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya pelaksanaan SBPA itu disemak semula.

Katanya, semakan SBPA itu dibuat setelah berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Najib berkata, semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini. Najib juga berkata, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.

"Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak," katanya. Satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat, katanya.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari ini, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lepas.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.

Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana. - BERNAMA

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2012/1/12/mstar_berita/20120112201039&sec=mstar_berita

http://www.sinarharian.com.my/nasional/najib-sahkan-skim-gaji-baru-ditangguh-1.17852

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

http://www.nst.com.my/latest/cabinet-to-review-new-public-service-remuneration-scheme-1.31455

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SBPAditangguh_Najib/Article

http://www.bernama.com/bernama/v6/newsindex.php?id=639718

http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2012/1/12/nation/20120112201750&sec=nation

Tuesday, January 10, 2012

:: Majlis Perutusan Tahun 2012 Kementerian Pelajaran Malaysia

T.S.MUHYIDDIN diiringi robot diberi nama Cikgu Murni pada majlis pelancaran Tahun Inovasi Kementerian Pelajaran selepas menyampaikan perutusan khas kepada warga kementerian di PICC, Putrajaya, semalam (10.01.2012).


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah), Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Dr Mohd Puad Zarkashi (kanan) diiringi robot ketika merasmikan Tahun Inovasi Kementerian Pelajaran 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini (10.01.2012) sempena Majlis Perutusan Tahun 2012 Kementerian Pelajaran Malaysia.







Monday, January 09, 2012

:: Politik Sarawak: SPDP 5 menukar arah ?


Krisis dalaman SPDP makin parah
Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my
2012/01/08


KUCHING: Krisis dalaman Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) semakin meruncing apabila Presidennya, Tan Sri William Mawan Ikom, menganggap tindakan empat pemimpin parti itu yang bertindak keluar parti sebagai tidak memberi sebarang kesan kepada SPDP.

"Itu hak mereka untuk meninggalkan parti. Lagipun, mereka sudah memisahkan diri daripada aktiviti parti sejak sekian lama. Tindakan mereka keluar parti tidak memberi kesan," katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, empat pemimpin SPDP, Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tekhee Lafe; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Peter Nansian Ngusie; ADUN Bekenu, Rosey Yunus dan ADUN Batu Danau, Paulus Palu @ Gumbang mengumumkan keluar parti tetapi tetap anggota Barisan Nasional (BN).
Mereka berempat mengambil keputusan berkenaan susulan pemecatan keahlian rakan mereka yang juga ADUN Marudi, Datuk Sylvester Entri Muran, pada 25 November lalu, selain pengguguran mereka daripada jawatan dalam parti.

Entri adalah juga Menteri Muda Kemudahan Awam dan Menteri Muda Pertanian Sarawak, manakala Nansian - Menteri Muda Pembangunan Pertanian dan Menteri Muda Perkhidmatan Komuniti dan Rosey - Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga.

Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial berkata, selama ini pintu SPDP sentiasa terbuka untuk kelima-lima pemimpin terbabit, tetapi mereka tidak mahu memanfaatkan peluang.

SPDP kini mewakili enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan empat daripadanya bersama 'kumpulan 5'. Selain Mawan yang juga ADUN Pakan, seorang lagi yang masih dalam SPDP ialah ADUN Meluan, Wong Judat.
Mawan berkata, SPDP akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan tindakan empat wakil rakyat itu dan cadangan anggota 'Kumpulan 5' yang mahu menubuhkan dan bergerak menggunakan jentera 'Kelab Barisan Nasional'.

Sambil menganggap empat wakil rakyat terbabit sebagai sengaja mencuri tumpuan dengan bertindak sedemikian, beliau berkata, jika mereka benar setia kepada BN, mereka tidak akan memburukkan imej SPDP.

SPDP mula bergolak selepas persidangan tiga tahun sekali 2009 apabila Entri mempersoalkan tindakan Mawan menukar jawatannya daripada Setiausaha Agung kepada Naib Presiden.

berita berkaitan:

http://www.theborneopost.com/2012/01/08/seats-stay-with-party-mawan/

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KrisisdalamanSPDPmakinparah/Article

Friday, January 06, 2012

:: Banjir di Sarawak... dan mayat Herman Sinas dijumpai

mayat Herman Sinas dijumpai

Fire and Rescue Department personnel carrying the body
of a drowned victim (Herman Sinas) found in Sungai Maong, Kuching,
Sarawak after the flash flood that hit Kuching last 2 days.
Pix by Mohd Radzi Bujang.

enam buah kampung di Matu dan Daro

cikgu Josh Haikal... antara mangsa banjir di Kpg Asajaya

sebahagian penduduk Kpg Moyan Lidan Asajaya
di pusat pemindahan banjir

Sujie Abang dari Moyan Lidan Asajaya
berperahukan tudung tangki air

mangsa banjir di pusat pemindahan di Kompleks Sukan Asajaya

berakit batang pisang setelah
terputus hubungan di Kpg Arus, Sebuyau

penduduk di Kpg Sampun bermain air
di padang bola yang dibanjiri di Asajaya

di Kota Samarahan / Asajaya

persimpangan Jalan Rock, Jalan Permata dan Jalan Laksamana Cheng Ho


sedang menimba air yang memasuki rumah di Tabuan Dayak

aliran air yang deras di Jalan Tabuan Dayak memasuki sungai

kenderaan tersadai di kawasan berhampiran IPGK Batu Lintang

deretan rumah di tebing Sg. Tabuan



Thursday, January 05, 2012

:: Rumah Dayak terbengkalai...

BILA AKAN SIAP?: Projek Rumah Dayak yang terbengkalai lebih daripada 10 tahun iaitu sejak tahun 1997


Projek di Jalan Satok ini terbengkalai lebih 10 tahun, sehingga kini tiada tanda ia akan siap dilaksana

Read more: http://www.theborneopost.com/2012/01/03/rumah-dayak-terus-terbengkalai/#ixzz1iWs4JuL2

KUCHING: Projek Rumah Dayak yang terletak di Jalan Satok terbengkalai lebih daripada 10 tahun dan sehingga kini belum menampakkan sebarang tanda-tanda ia akan siap dilaksanakan.


Dimulakan pada 1997, projek tersebut bukan sahaja gagal dilaksanakan malah bangunan yang bakal menjadi simbol perpaduan Dayak itu kini hampir rebah sebelum berjaya disiapkan.


Tinjauan Utusan Borneo ke lokasi tapak projek semalam mendapati bangunan yang belum siap itu bukan sahaja terbengkalai malah terbiar tanpa pengawasan sehingga menimbulkan pemandangan yang menyakitkan mata.


Pengerusi Jawatankuasa Rumah Dayak Dr John Brian Anthony ketika dihubungi berkata, kerja-kerja pelaksanaan projek tersebut tidak dapat diteruskan disebabkan beberapa masalah yang agak merumitkan.


Katanya, disebabkan pelan lukisan dan struktur bangunan tidak diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan pada ketika itu, maka kerja-kerja pembinaan tidak dapat diteruskan.


Beliau turut mendakwa bahawa campur tangan daripada pihak tertentu telah menambahkan lagi kerumitan ke atas projek tersebut sehingga membawa kepada kegagalan pelaksanaannya.


“Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) selaku pelopor kepada projek Rumah Dayak tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan projek ini telah diserahkan kepada pemaju berkaitan.


“Disebabkan ia terlalu rumit, Jawatankuasa Pelan Rumah Dayak SDNU berhasrat untuk menjual bangunan ini namun ada pihak yang tidak membenarkannya.


“Justeru, jawatankuasa memutuskan untuk menyerahkan perkara ini kepada mahkamah bagi mencari punca masalah dan penyelesaian yang paling wajar,” katanya.


Mengulas mengenai projek tersebut, perjanjian telah ditandatangani antara SDNU dan pemaju berkenaan pada 1997 yang mana pemaju diberi 80 peratus daripada pemilikan harta manakala SDNU menerima 20 peratus.


Kontrak projek berkenaan kemudiannya diserahkan semula kepada pemaju lain dan kerja-kerja pembinaan gagal dilaksanakan disebabkan masalah yang sukar dijelaskan.


Selepas tiga kali mesyuarat bersama pemaju, pengesahan dibuat dengan pemaju bahawa tempoh pelaksanaan dilanjutkan sehingga 29 Januari 2009 namun sekali lagi projek yang menelan kos sekitar RM8 juta itu gagal disiapkan mengikut jadual.



http://www.theborneopost.com/2012/01/03/rumah-dayak-terus-terbengkalai/