Thursday, February 10, 2011

:: Daud: ada ADUN Sarawak berbohong...?



Ada ADUN berbohong: Daud


by Rusnan Mustafa. Posted on February 8, 2011, Tuesday

Segelintir wakil rakyat BN tidak berterus terang dalam pertemuan dengan PM


KOTA SAMARAHAN: Terdapat beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak ‘bercakap bohong’ semasa pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad lepas.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, ada segelintir ADUN tidak memberitahu perkara yang sebenar terutama ketika ditanya mengenai peluang kemenangan BN di DUN masing-masing.

“Ada segelintir ADUN meluahkan rasa terlalu yakin bahawa dia akan memenangi kerusi yang disandangnya kepada Perdana Menteri sedangkan beliau (Perdana Menteri) tahu bahawa peluang ADUN terbabit untuk menang adalah sangat tipis,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mengadakan mesyuarat tentang sam-butan Maulidur Rasul peringkat Negeri di Pejabat Residen Samarahan di sini semalam.

Seramai 63 ADUN daripada Barisan Nasional (BN) telah mengadakan pertemuan ‘dari hati ke hati’ dengan Perdana Menteri yang telah berlangsung di Miri pada Ahad.

Menurut Daud lagi, ADUN-ADUN terbabit tidak menceritakan perkara yang sebenarnya kepada Perdana Menteri, kerana mahu meraih peluang untuk bertanding semula bagi mempertahankan kerusi mereka pada pilihan raya ne-geri yang akan datang.

Dalam pada itu, Daud turut menafikan bahawa beliau antara beberapa orang ADUN BN Sarawak yang menawarkan diri untuk tidak bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Saya tahu siapa yang meluahkan hasrat untuk tidak bertanding itu, tetapi biarlah Ketua Menteri (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) sahaja yang mengumumkan keputusan rasmi mengenai perkara itu,” ujar beliau lagi.

Daud memberitahu walaupun ADUN-ADUN terbabit meluahkan hasrat untuk tidak bertanding, namun jika rakyat di kawasan mereka masih memerlukan dan memberi sokongan yang padu, mereka mungkin akan dicalonkan semula kerana diyakini boleh menang.

Hadir sama pada sidang media itu semalam ialah Residen Samarahan, Rodziah Morshidi, Yang Di-pertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen serta Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Abang Shamsuddin Abang Seruji.